Wednesday, May 21, 2008

Pengalaman bersama bakal-bakal Jundullah

Salam Mujahid,

Pagi tadi saya baru sampai dari melawat sekolah saya di Ipoh, iaitu Sekolah menengah teknik Persiaran Brash, Ipoh, Perak. Saya bertolak ke Ipoh pada jam9.30 pagi semalam untuk menziarahi guru-guru yang pernah mengajar saya suatu ketika dahulu (tingkatan 4-5, sesi 2002/03). Selain itu saya gunakan kesempatan ini untuk melihat suasana sekolah dan asrama, tidak lupa gelagat para pelajar SMTI(singkatan sekolah teknik saya).

Saya mengambil peluang dalam kesempatan masa yang ada untuk membuat dua kali pertemuan. Pertemuan pertama adalah di antara saya dengan para pelajar tingkatan 4 muslimin yang mengikuti usrah dan AJK Surau SMTI muslimin. Ia lebih kepada mewujudkan suasana perbincangan seperti usrah ringkas untuk bertaaruf sesama kami. Saya seronok melihat bilangan yang mengikuti usrah, tak kurang dari 15 orang. Pada saya, ini merupakan permulaan yang baik untuk mewujudkan sistem pentarbiyahan yang lebih teratur pada masa akan datang.

"Abang, malam ni ada perjumpaan lagi tak? Tak puas la dengan perjumpaan tadi".

Ini feed back yang adik Aizat, selaku Pengerusi Surau SMTI sesi kali ini. Saya bersyukur pada Allah swt kerana hati mereka ditanamkan sifat kasihkan ilmu dan cintakan pengetahuan Islam. Perbincangan pada petang itu lebih berkisar tentang jenis-jenis tauhid, sekadar muqadimah pada petang itu. Asalnya sekadar untuk berta'aruf, tapi alhamdulillah, Allah berikan ilham untuk berkongsi tentang jenis-jenis tauhid yang perlu di ketahui oleh setiap Muslim. Mungkin juga sekadar 'flash-back' buat diri saya dan mereka. Saya juga memaklumkan pada mereka bahawa mereka dikira beruntung kerana diusia seawal mereka, mereka sudah didedahkan dengan usrah dan motivasi tentang ilmu-ilmu Islam dan isu-isu semasa hal ehwal Islam. Sedangkan saya sendiri barun hanya dapat merasai usrah ketika berada ditahun pertama di universiti.

Untuk melengkapkan lagi objektif saya bertemu dengan adik-adik pada kali ini, saya bercadang untuk membuat satu lagi perjumpaan khas dengan Ajk Surau SMTI Muslimin dan Muslimat selepas maghrib. Alhamdulillah, perjumpaan pada malam itu juga berjalan lancar. Pengisian lebih kepada memberi kesedaran tentang tanggungjawab sebagai pimpinan dalam satu organisasi dakwah dan sebagai seorang da'ie. Saya berkongsi serba sedikit tentang cabaran dan realiti yang berlaku sama ada di IPT ataupun di dunia luar atau masyarakat Islam ketika ini. Oleh itu, setiap da'ie perlu kepada persiapan berupa aqidah yang teguh, pemantapan ilmu fardhu 'ain dan fardhu kifayah, mengetahui isu-isu semasa dan perlunya mereka bergerak secara kolektif. Menjadi AJK Surau adalah sebagai permulaan untuk melatih diri bergerak secara kolektif. Ini di antara perkongsian yang dilakukan dengan AJK Surau yang hadir pada malam itu.

Malam tadi, saya tidur di rumah Akhi Syawal, senior saya di UMS. Sekarang merupakan tenaga pengajar di Pondok moden yang terletak di Manjui. Esok pagi-paginya, saya minta tolong dia untuk hantar saya ke Medan Kidd. Saya perlu pulang awal kerana ada komitmen lain kepada keluarga.

Alhamdulillah, jam 10.00pagi tadi saya selamat sampai ke rumah dengan hati yang penuh kesyukuran kerana dapat berkongsi sesuatu dengan adik-adik yang berada di SMTI. Insyaallah, ada peluang, tahun hadapan saya akan kembali ke SMTI untuk berkongsi lagi dengan adik-adik yang lain agar mereka dapat lebih bersedia untuk menghadapi situasi umat Islam yang penuh cabaran pada hari ini. Semoga SMTI dapat menghasilkan lebih ramai Profesional Muslim seperti YAB Ir Mohammad Nizar, MB Perak yang dikasihi dan disegani kawan dan lawan.
"ISLAM 4 ALL"

Wednesday, May 14, 2008

Murtadnya Siti Fatimah Tan - Antara Kebimbangan dan Strategi

Ekoran dari keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang yang membenarkan Siti Fatimah Tan Abdullah keluar Islam, berbagai-bagai pihak mengambil sikap yang berbeza.
Ada sebilangan yang mengambil sikap menentang tindakan Mahkamah tersebut, samada secara jelas atau secara "sinis", lantaran bimbang berlaku kejadian yang sama terhadap saudara-saudara baru yang lain.
Dan ada pihak yang lain pula, menganggap tindakan Mahkamah itu adalah tindakan yang bijak, memandangkan dimasa akan datang, sudah pasti Non Muslim juga akan berani berinteraksi dengan Mahkamah Syariah, yang dengan itu Mahkamah Syariah menjadi kuat dan mempunyai kedudukan yang sama taraf dengan Mahkamah sivil.
PANDANGAN TOKOH POLITIK

Merujuk kepada artikel tulisan Saudara Roslan SMS dalam mengulas isu ini[1], beliau mengemukakan beberapa ulasan dari tokoh politik, yang antaranya adalah seperti berikut;
Presiden MCA, Ong Ka Ting;
"Ianya merupakan HAK Siti Fatimah untuk memeluk Islam sebagaimana beliau juga BERHAK untuk kembali ke agama asalnya. Ianya adalah sesuatu bagi beliau untuk memutuskan dan bukan pihak lain"
Dalam ulasan Roslan, beliau menggambarkan kebimbangan disebalik kenyataan Ong Ka Ting. Ini kerana, dengan kenyataan ini menggambarkan disana akan wujud satu suasana bahawa urusan masuk dan keluar Islam adalah hak yang wajib diberikan kepada mereka.
Disamping itu, Timbalan Presiden PAS iaitu Ustaz Nasaruddin Mat Isa juga ada mengeluarkan kenyataan, iaitu seperti berikut;
"Tindakan keluar dari Islam dilarang sama-sekali melainkan seseorang itu dipaksa memeluk Islam. Sekiranya seseorang memeluk Islam atas kerelaannya sendiri, ketika itu ianya mesti tertakluk kepada perundangan Islam, dan perundangan Islam melarang seseorang Muslim keluar dari agamanya, kerana ia melibatkan kepercayaan seseorang pada agama itu".
Kenyataan Timbalan Presiden PAS itu, menggambarkan betapa Islam meletakkan larangan bagi orang Islam keluar dari agamanya. Disamping itu juga, Islam tidak pernah memaksa Non Muslim masuk kepada Islam, melainkan mereka sendiri menawarkan diri untuk masuk Islam.
MASUK ISLAM ATAU BELUM ISLAM LAGI
Merujuk kepada ulasan dari Ustaz Ahmad Jailani, peguam bela kepada Siti Fatimah Tan dalam memohon agar mahkamah mengisytiharkan dirinya telah keluar dari Islam, bahawa permohonan yang dibuat oleh siti Fatimah itu, BUKAN PERMOHONAN KELUAR ISLAM, tetapi PERMOHONAN DALAM MENENTUKAN STATUS AGAMANYA, adakah Islam atau tidak.
Ekoran dari itulah, ketua hakim syarie Perlis, iaitu Othman Ibrahim memerintahkan agar pihak MAIPP (majlis Agama Islam Pulau Pinang) supaya membatalkan sijil pemelukkan Islam Siti Fatimah Tan menandakan bahawa status agama bagi Siti Fatimah Tan adalah tidak Islam.
Secara peribadi, aku melihat ada benarnya hujjah ini, tetapi amat pelik pada sudut penggunaan peruntukan bidang kuasa dalam menentukan status agama siti Fatimah ini.
Apa yang dapat dilihat dari akhbar-akbar, kedudukan kes ini, peruntukan bidang kuasa yang digunakan, BUKANLAH dirujuk kepada PENENTUAN STATUS AGAMA, tetapi merujuk kepada kedudukan siti Fatimah, adakah SUDAH KELUAR DARI ISLAM ATAU TIDAK [2]? Bermakna, secara undang-undangnya, Mahkamah mengakui keislamannya, tetapi dibenarkan ia keluar Islam. Dari itu, aku melihat kes ini berbahaya kepada kedudukan orang-orang Islam yang mahu murtad. Kerana, sekadar pembacaanku, sesuatu kes akan dijadikan sebagai hujjah dalam mengendali kes yang agak sama di masa akan datang.
Maka dengan itu, tindakan berani Ustaz Ahmad Jailani ini, sedikit sebanyak memberi kesan bahaya dalam berurusan dengan mereka yang memohon keluar agama.
BENAR TAPI BAHAYA
Memang tidak dinafikan, dalam wawancara yang dilakukan oleh sahabat-sahabat dari Al-Ahkam.net bersama Ustaz Ahmad Jailani, beliau menyatakan bahawa, status agama Siti Fatimah bukanlah islam, disebabkan dia tidak pernah mengamalkan pengamalan Islam.
Dalam kes ini, pihak yang wajib dipersalahkan adalah pihak Jabatan Agama Islam yang tidak memandangkan kepentingan mendidik saudara-saudara baru atau muallaf. Ini membuktikan, kedudukan muallaf di Malaysia ini banyak diabaikan sehingga menyebabkan lahirnya banyak kes tuntutan keluar agama.
Lantaran itulah, adalah sewajibnya disokong dan didokong atas tindakan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin (PKR) berjanji akan membawa keperhatian SPB Yang Dipertuan Agong darihal kemelut murtad dan menyarankan langkah-langkah bagi mengelakkan kejadian seumpama Siti Fatimah berulang lagi di Pulau Pinang, apabila beliau diperkenankan mengadap Tuanku nanti. Begitu juga, sewajibnya diberikan sokongan terhadap kenyataan Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin yang menyarankan agar kuasa Wang Zakat diperluaskan, ianya adalah untuk disalurkan kepada golongan Muallaf bagi melunakkan hati mereka dengan Islam, lalu isu muallaf keluar dari islam dapat di hadapi dengan baik[3].
Merujuk kepada keberanian Ustaz Ahmad Jailani, ia mengharapkan dengan kejadian kes sebegini, akan lahirlah satu perbincangan dalam usaha memperkasakan Mahkamah Syariah dalam berurusan dengan isu murtad disamping memperkuatkan segala kelemahan dan kekurangan yang ada.
Pada pandangan peribadiku, tindakan itu adalah betul dan baik, tetapi apa yang membimbangkannya pula, sekadar manakah kemampuan yang boleh dilakukan dalam memenangkan isu ini kepada Islam, seperti usaha hendak mewujudkan undang-undang murtad di Malaysia dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Disamping itu juga, jika keadaan ini berjaya diusahakan juga dalam kerangka perlembagaan persekutuan, iaitu berjaya mewujudkan undang-undang murtad, tetapi apakah mereka yang mahu murtad akan merujuk kepada Mahkamah Syariah, sedangkan Mahkamah Sivil juga mempunyai kuasa dalam berurusan kes-kes seperti ini atas nama akta dan peruntukan yang lain. Yang dengan ini, sudah pasti, mereka yang mahu murtad, tidak akan merujuk kepada Mahkamah Syariah, kerana didapati disana terdapat hukuman yang akan dikenakan kepada mereka.
MURTAD DAN HUKUMANNYA
Secara hukum, murtad itu boleh berlaku dengan tiga unsur, samada dengan perkataan, perbuatan dan juga dengan 'itiqad[4]. Menunjukkan, tidak perlu kepada pengisytiharan dari Mahkamah pun sudah memadai untuk menentukan seseorang itu murtad. Pun begitu, dalam berinteraksi dengan Siyasah Syariyyah, disana terdapat satu perbincangan tentang hukuman yang perlu dikenakan semenjak di bumi lagi, iaitu perlunya dikenakan hukuman bunuh terhadap orang yang murtad. Hukuman itu dikenakan adalah bersebab, agar penyakit murtad ini tidak merebak kepada orang lain, disamping dapat membenteras sebaran palsu terhadap islam yang akan dilakukan oleh orang murtad.
Disebabkan Malaysia tidak mempunyai peruntukan undang-undang dalam mengenakan hukuman kepada orang murtad, penyelesaian kes Siti Fatimah Tan ini dilihat agak memberi bahaya kepada umat Islam, disebabkan ruang keluar dari Islam telah terbukti dengan kedudukan kes yang berlaku ini terjadi dari sudut perundangan. Yang dengan itu, apabila orang lain yang mahu keluar dari Islam, mereka akan merujuk kes ini untuk membenarkan hujjah mereka. Tidak dinafikan, jika mereka masih Islam pun, ada beberapa masalah yang timbul, iaitu seperti masalah mempusakai harta, hubungan suami isteri dan sebagainya. Tetapi, dari sudut siyasah syariyyahnya pula, apabila dilihat dengan kes ini, menyebabkan lahirnya pemikiran atas kemudahan untuk masuk dan keluar Islam, yang dengan itu Non Muslim akan masuk Islam, kemudiannya mereka bebas pula keluar dari Islam, yang akhirnya, akan menggambarkan mereka bermain-main dengan Islam. Perkara ini jelas, berdasarkan kepada kenyataan Ong Ka Ting yang kenyataan beliau telah dinukilkan di atas.
Di samping itu juga, selagi undang-undang hukuman terhadap orang murtad tidak dapat dilaksanakan, golongan murtad ini akan mudah menyebarkan kesangsian mereka terhadap islam kepada sesiapa sahaja, yang dengan itu, akan berlaku kemudharatan dalam agama.
PERUNTUKAN 121(1A) TIDAK KUAT ?
Mungkin bagi menguatkan lagi hujjah, perlunya dirujuk kepada artikle 121 (1A) yang menyatakan tentang kedudukan Mahkamah Syariah dalam perlembagaan persekutuan.
Menurut Perlembagaan persekutuan, Artikel 121(1A) menyatakan ;
"Mahkamah-mahkamah yang disebutkan pada Fasal (1) tidaklah boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah [5]"
Menurut Prof Ahmad Ibrahim, kuasa agama Islam dan undang-undang islam itu terletak di bawah kuasa negeri-negeri[6]. Maka dengan itu, bagi memastikan kewujudan undang-undang Murtad, perlunya persetujuan dalam dewan rakyat dalam menentukan kedudukan undang-undang itu benar-benar diwujudkan.
Pun begitu, jika ianya dapat diwujudkan, ianya agak mustahil untuk dilaksanakan. Ianya kerana, dibimbangi dihujjah oleh golongan non Islam dan Non Muslim, bahawa peruntukan itu bercanggah dengan perlembagaan persekutuan yang merujuk kepada kebebasan beragama di Malaysia, iaitu pada artikle 3 (1) :
"Agama Islam ialah agama bagi persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan[7]"
Mereka akan berhujjah, jika hukuman murtad dikenakan kepada orang murtad, ketika itu, seakan-akan menafikan hak beragama dalam negara. Kerana, kebiasaannya, orang yang murtad itu, bukan bermakna dia keluar Islam, dan dia hidup tanpa beragama, tetapi dia akan masuk kepada agama yang lain, yang dengan itu, mereka ada hak untuk beramal dengan agama yang baru mereka anuti.
Jika dilaksanakan juga hukuman murtad terhadap mereka, seakan-akan bercanggah pula dengan artikle 5 (1) yang menyatakan :
"tidak seseorang pun boleh diambil nyawa atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali menurut undang-undang [8]"
Sedangkan menurut menurut Artikel 4(1) pula;
"Perlembagaan ini (perlembagaan Persekutuan) adalah undang-undang utama persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas hari merdeka dan yang berlawanan dengan perlembagaan ini, hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu[9]"
Dari itu, jika undang-undang murtad berjaya diluluskan di Mahkamah Syariah diperingkat negeri-negeri, tetapi ianya agak mustahil berjaya dilaksanakan kerana dilihat seakan-akan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Maka dengan sebab itulah, tidak hairan, Prof Ahmad Ibrahim pernah mencadangkan agar ditambah satu lagi artikle dalam perlembagaan Persekutuan, iaitu;
"Jika terdapat mana-mana undang-undang di Malaysia yang bertentangan dengan undang-undang Islam, maka hendaklah undang-undang itu terbatal setakat mana ia bertentangan[10]"
Walaupun cadangan itu telah dikemukakan oleh Prof Ahmad Ibrahim, tetapi ianya tidak berjaya dilaksanakan sehingga kini.
Maka dengan itu, undang-undang murtad yang hendak ditubuhkan akan mengalami masalah, walaupun ianya berjaya diluluskan diperingkat Dewan Rakyat sekalipun.
PENUTUP
Secara peribadi, aku melihat isu dalam menentukan kewujudan peruntukan undang-undang bagi kes murtad ini, ianya tidak dapat dilaksakana melainkan dengan kuasa politik.
Ini kerana, segala kelulusan dalam sesuatu akta, enakmen atau undang-undang itu tertakluk kepada keputusan majlis dewan rakyat atau majlis Parlimen.
Perkara ini jelas melalui peruntukan dalam perkara 66, perlembagaan persekutuan yang menyatakan ;
"Kuasa bagi parlimen membuat undang-undang hendaklah dijalankan dengan rang undang-undang yang diluluskan oleh kedua-dua majlis Parlimen (atau dalam hal yang tersebut dalam perkara 68, oleh Dewan Rakyat) [11]"
Melihat keadaan politik sekarang, tidak diyakini usaha hendak mewujudkan undang-undang murtad ini akan berjaya, melainkan perlunya muslim yang mahukan Islam menguasai Majlis Parlimen atau Dewan Rakyat.
Apa yang berlaku sekarang, kebanyakkan Majlis Parlimen atau Dewan rakyat telah dikuasai oleh mereka yang non Islam dan dari parti non Islam, yang dengan ini, dalam keadaan sekarang, kejayaan itu dilihat agak mustahil.
Maka dengan itu, secara peribadi, pandangan Ustaz Ahmad Jailani dalam kes ini akan menjadi relevan, sekiranya Majlis Parlimen dan Dewan Rakyat dikuasai oleh mereka dari Parti Islam.
Sekian, Wallahua'lam
p/s : tulisan ini adalah sekadar pandangan peribadi, dan diharapkan ianya boleh dibincangkan secara ilmiyyah bagi menghasilkan natijah yang menguntungkan islam di malaysia.
[2http://www.malaysianbar.org.my/berita/komen_undang_undang/siti_fatimah_dibenar_murtad_keputusan_mahkamah_tinggi_syariah_p._pinang_itu_adalah_kes_pertama_di_negara_ini.html
[3]http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?
y=2008&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
[4] Mustika Hadis, muqaddimah dan jilid pertama : 1/415-420.
[5] Perlembagaan persekutuan : m.s 165
[6] Sekatan-sekatan dalam Perlaksanaan undang-undang Islam di Malaysia : Al-ahkam : 4/47.
[7] Perlembagaan persekutuan : m.s 2.
[8] Perlembagaan persekutuan : m.s 5.
[9] Perlembagaan persekutuan : m.s 3.
[10] Sekatan sekatan dalam perlaksanaan Islam di Malaysia, Al-Ahkam : 4/51.
[11] Perlembagaan Persekutuan : m.s 80.
P/S: Saya tertarik dengan artikel ini untuk diteliti bersama bahawa penting dan relevennya para pejuang Islam tanpa mengenal kumpulan-kumpulan NGO dan sebagainya yang benar-benar cintakan Islam untuk menyokong perjuangan Islam melalui PAS sebagai wasilah di Malaysia. Umat Islam perlu bersatu dan penerangan serta dakwah tentang Islam kepada masyarakat perlu dipergiatkan lagi agar Islam dapat difahami.....
"ISLAM 4 ALL"

Sunday, May 11, 2008

Permulaan Cuti Yang Menyedihkan

Salam Mujahid,

Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya menjejakkan kaki ke bumi Semenanjung Malaysia lebih kurang jam 1.00 petang di LCCT. Selepas sahaja solat di LCCT, saya mengambil bas ke KL Sentral sebelum ke rumah nenek di Puchong. Kalau saya balik Perak terus, alamatnya tak ke rumah neneklah jawabnya nanti. Jadi, sebaik sahaja tiba di KL, selalunya saya akan ke rumah nenek sebelum balik Perak.
Ukhwah antara Muslim
Selalaunya bila saya ke rumah nenek, saya akan jadikan Masjid Abdul Rahman bin 'Auf yang terletak diseberang jalan, berhadapan dengan rumah nenek untuk menunaikan solat. Kali ini saya menziarahi masjid itu, saya melihat sikap sesama muslim bersaudara yang kelihatan tidak mesra antara satu sama lain. Kalau di imbas kembali, mungkin kita akan sedar bagaimana rasanya rupa ahli jemaah sewaktu bersalaman dengan ahli jemaah yang lain. Kelihatan muka yang masam, tangan dihulur tapi mata ke arah lain, salam sesama saudara dalam keadaan seolah-olah 'acuh tak acuh' dan pelbagai lagi ragam ketika bersalam sesama ahli jemaah. Ringkasnya, kelihatan sebahagian besar daripada umat Islam kini seolah-olah tiada rasa kasih sayang diantara saudara seaqidah yang lain, walaupun mereka tidak pernah berjumpa. Saya faham, tidak adil rasanya kalau saya katakan mereka tidak sayang sesama muslim, mungkin mereka sedang menanggung masalah pribadi yang sangat dahsyat, tapi berat sangat kah untuk mengukir senyuman ketika bersalaman dengan sesama muslim walau tidak kenal? Susah sangatkah menunjukkan rasa menghargai sesama muslim dengan memandang muka saudara yang disalami? Padahal Rasulullah saw sentiasa memaniskan muka dengan para sahabatnya. Ini keadaan paling dekat, iaitu ketika solat. Belum lagi dinilai sikap saudara sesama muslim di tengah jalan seperti di Masjid Jamek, sekitar PWTC dan lain-lain tempat(ini tempat yang saya pergi untuk cari bahan bacaan dan berjalan). Saya terfikir, adakah mereka mempunyai rasa sayang sesama setiap muslim ditengah jalan sebagaimana mereka sayang ahli keluarga mereka? Tiada jawpan pada saya. Jawapan hanya ada pada yang membaca nukilan ini dan saudara sesama muslim diluar sana sama ada mempunyai rasa sayang sesama muslim dengan sebenar-benar sayang atau tidak. Tidak cukup hanya ada sayang sekadar melalui percakapan, tapi mestilah ditunjukkan melalui perbuatan.
Harapnya generasi baru pada masa ini yang sedar tentang perlunya kebangkitan Islam, ayuh kita tanamkan rasa sayang sesama muslim. Ayuh kita perbetulkan sikap kita dan cara berfikir kita(mind setting) terhadap saudara-saudara kita yang sedang hanyut dalam kelalaian. Tanamkan rasa sayang dengan mereka dan kita sama-sama fikirkan jalan penyelesaian untuk bantu mereka menggapai kasih Allah. Bukan mereka tak mahu kebaikan, cuma mereka terpengaruh dengan rakan-rakan dan tiada pembimbing. Janganlah kita selalu menghentam tanpa fikir untuk bantu mereka. Juga saya mengharapkan diri saya dan sahabat-sahabat yang lain supaya memaniskan muka ketika bersalaman sesama muslim dan memandang muka ketika bersalaman sesama muslim. Kita kena ingat bahawa kita bersalam dengan manusia yang ada perasaan. Syaitan takkan berdiam diri untuk menghasut dan menanamkan rasa sangsi dan buruk sangka pada saudara kita terhadap kita jika kita sendiri cuai dalam menjaga persahabatn dan sesama muslim. Sama-sama kita muhasabah diri di mana tahap ukhwah kita sesama muslim. Mungkin ini faktor akibat saudara Islam diluar sana menderita, tapi kita seronok bersuka ria memanjang tanpa usaha untuk membantu mereka dengan bersungguh-sungguh. Kalau saudara sesama muslim yang dihadapan kita pun kita seolah-olah tidak hargai, apatah lagi saudara semuslim di luar negara seperti di Palestin, Eropah dan sebagainya.
Tajamkan fikrah Islamiyyah
Waktu cuti adalah waktu untuk rehat bagi mahasiswa biasa. Ia juga adalah waktu untuk melancong atau bekerja mencari duit bagi mengisi poket. Bila sudah berada di alam mahasiswa, sudah wujud rasa mahu berdikari sepenunhnya tanpa bantuan ibu dan ayah. Sudah wujud juga keberanian untuk menzahirkan identiti tersendiri yang mungkin agak berbeza dengan orang lain. Bagi seorang mahasiswa Islam, semua ini mungkin menjadi sebahagian dari apa yang difikirkan. Malah sebenarnya, Mahasiswa Islam perlu tambah lagi tanggungjawab iaitu untuk memantapkan atau menajamkan lagi fikrah Islamiyyah. Masa yang ada perlu diisi dengan menghadiri majlis-majlis ilmu sama ada dimasjid berdekatan atau dimana-mana sahaja. Yang pasti, wajibkan diri mendapat pengisian rohani setiap minggu paling kurang sehari. Tapi lagi kerap, lagi bagus. Selain itu, Mahasiswa Islam atau ahli gerakan islam perlu banyakkan membaca. Tambahkan ilmu melalui pembacaan. Isu-isu semasa perlu sentiasa di 'up date' agar tidak ketinggalan dan sentiasa memikirkan strategi yang perlu dilakukan untuk memperbetulkan fahaman masyarakat terhadap Islam yang benar.
Harapannya, bila buka semester baru nanti, mahasiswa Islam akan mempunyai semangat baru dan hadir dengan fikrah yang jelas berkaitan dengan perjuangan yang didukung. Seterusnya dapat memberi komitmen dengan bersungguh-sungguh untuk bekerja untuk Islam dan belajar bersungguh-sungguh dalam bidang akademik. Semua ini dilakukan hanya untuk Islam. Hindarkan diri seboleh-bolehnya dengan menjadikan amal Islami sebagai penyebab kepada kejatatuhan akademik, padahal sebenarnya ia berkaitan dengan kelemahan diri kita dalam menguruskan masa dan diri.
Sebenarnya hati tertanya-tanya, bila Islam akan tertegak selagi mana umat Islam sendiri tidak mempunyai rasa kasih sesama saudara semuslim? Bila Islam akan tertegak kalau umat Islam memandang 'enteng' bab-bab ilmu yang sebenarnya adalah senjata yang ampuh selain doa untuk berhadapan dengan musuh Islam?
Semoga cuti kali ini dapat memberikan manfaat kepada mahasiswa islam dan seluruh mahasiswa am nya. Nukilan ini sekadar pendapat atau pandangan peribadi terhadap sesuatu isu yang dilihat berlaku dalam masyarakat dan untuk kita bermuhasabah diri.
Selamat bercuti....
"ISLAM 4 ALL"

Friday, May 9, 2008

Bye, bye Labuan....Just 4 a While....

Salam Mujahid,

Pagi ini, aku akan pulang ke semenanjung...flight jam 10.40 pagi...aIRaSIA..dah lama tak jenguk semenanjung... Selama hampir 6 bulan ini, hanya dengar melalui radio dan televisyen pihak BN yang berat sebelah dan melalui internet serta blog sahabat-sahabat. Realitinya, masih belum aku dapat lihat sendiri apa yang berlaku di sana... ntah kenapa, aku dapat rasa keyakinan untuk bergerak di bumi Selangor dan Perak lepas ini. Kenapa? Mungkin sebab negeri-negeri itu berada dibawah kerajaan Pakatan Rakyat(pada aku dah tak relevan dipanggil pembangkang..tapi sebenarnya kerajaan...).

Cuti yang mendatang ini, aku ada 'set' beberapa rancangan untuk diri dan keluarga tersayang. Ada peningkatan yang aku harapkan daripada kepulangan aku nanti dari segi fikrah diri dan keluarga ku terhadap Islam. Harapanku moga sahabat-sahabat dan kita semua dapat manfaatkan cuti semester pada kali ini dengan perkara-perkara yang berfaedah untuk diri dan Islam.

Buat adik-adik yang bakal masuk ke IPTA/S, selamat menjejakkan kaki ke IPTA/S. Sebelum terlupa, balik cuti ini dan kepada pelajar baru yang akan ke IPTA/S, jangan lupa untuk aktifkan akaun simpanan tanpa riba'. Sekarang dah banyak bank-bank yang menyediakan sistem perbankan Islam. Gunakan peluang masa cuti ini untuk tukar akaun dari sistem konvensional yang amalkan riba' kepada sistem perbankan Islam yang bebas dari riba'. Untuk post kali ini, tak cukup masa nak kongsi tentang larangan riba' kepada umat Islam bahkan kepada seluruh manusia. Ia berkaitan dengan keadilan sejagat. Moga hari-hari yang mendatang, akan ku kongsikan dengan sahabat-sahabat tentang apa itu riba' menurut Islam....Okey, nak g solat Subuh... Satu malam ni tak tidur sebab mengemas bilik. Lagipun, bimbang terlepas flight..hehe...

Kalau disemenanjung, naik bas trans, durian Burung dan sebagainya...Tapi kat sini, kami naik kapal terbang...hehe..jangan jeles...

Maaflah, pagi ni posting agak merapu dan santai....sekadar nak berkongsi perasaan betapa gembiranya balik kampung...hehe..

Pepun, perjuangan islam mesti diteruskan...TAKBIR!!!!

"ISLAM 4 ALL"

Tuesday, May 6, 2008

Tarbiyyah Amaliyyah


Rasulullah SAW mendidik para sahabat sebagai pendokong Islam bukan penyokong. Baginda membina ummah bukan membangunkan falsafah. Baginda berjaya dalam mendidik, sehingga keimanan Generasi Sahabat itu lahir dalam bentuk amali (praktik) hidup. Apabila Islam berhajatkan pengorbanan maka berlumba-lumba sahabat-sahabat menginfaqkan apa yang ada; dari harta kekayaan hinggalah sebiji kurma. Apabila Islam memerlukan para mujahid maka berlumba-lumba sahabat-sahabat menawarkan diri hinggakan tidak ada tolak ansur antara anak dan ayah; masing-masing ingin berjihad bersama Rasulullah SAW.

Generasi yang telah terdidik dengan tarbiyyah amaliyyah inilah yang dikeluarkan ke tengah masyarakat manusia yang menghuraikan Islam secara amali dan menjadi contoh kepada Aqidah yang mereka dakwahkan. Islam tidak hanya mengemukakan teori semata-mata dalam membentuk keperibadian Muslim tetapi ia membawa mereka ke jalan yang praktik (amali). Rasulullah s.a.w tidak semata-mata mendidik atau mengasuh para sahabat baginda di rumah Arqam bin Abi Al Arqam, tetapi baginda membawa jamaah sahabat itu keluar bersama-sama baginda mencabar segala fikiran dan kepercayaan masyarakat ketika itu. Akhirnya mereka menghadapi tentangan hebat dari masyarakat yang mengamalkan cara hidup Jahiliyyah.

Generasi yang terdidik dengan didikan Rabbani ini keluar membawa contoh-contoh aqidah dan bergaul dengan masyarakat dengan wajah-wajah keimanan hingga berduyun-duyun manusia menyertai kafilah dakwah ini. Kumpulan yang telah dilatih dan dibangunkan jiwa tauhid ini tidak lagi terpengaruh atau dipengaruhi oleh nilai tamakkan dunia. Malah hanya bercita-citakan keredhaan Allah s.w.t semata-mata. Kumpulan ini ketika mana mendengar panggilan Iman kepada Allah s.w.t dan kepada Rasul Nya, mereka merasakan kehidupan Jahiliyyah sudah tiada nilai lagi dan tidak lagi memberi kesan terhadap mereka. Jiwa mereka memberontak ketika berada di dalam cengkaman Jahiliyyah. Jiwa mereka tidak sabar-sabar lagi untuk pergi menyahut panggilan Iman kepada Allah s.w.t dan Rasul Nya. Setelah keyakinan tauhid benar-benar menguasai jiwa mereka, mereka terus menghulurkan tangan untuk mengikat janji setia dan penyerahan sepenuhnya dengan lafaz:- “Aku bersaksi bahawa Tiada Illah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah Pesuruh Allah”
Mereka menyerah jiwa raga mereka di bawah perintah Rasulullah s.a.w pada hal mereka mengetahui benar bahawa jiwa mereka diancam, hidup mereka tergugat dan mereka akan menghadapi berbagai kesulitan dan kesusahan untuk sampai kepada matlamat tersebut. Tetapi kumpulan yang dididik dan diasuh oleh Rasulullah s.a.w dengan al Quran al Karim ini memahami dan menyakini akan realiti tersebut. Firman Allah s.w.t terjemahannya :

“Alif laam miim. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan : Kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji lagi ? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
( Surah al’Ankabuut : 1-3 )

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan ) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu ?. Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman : Bilakah datangnya pertolongan Allah ? Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”
(Surah al Baqarah : 214 )

Segala kesulitan, kesusahan dan pahit getir perjuangan dan jihad di Jalan Allah s.w.t yang mereka tempuhi itu tidak sesekali melemahkan Iman mereka. Malah mereka kian bertambah yakin dan bertambah tabah menghadapi apa yang mereka sifatkan sebagai ujian dari Allah s.w.t. Ini dapat dilihat di dalam al Quran al Karim di dalam firman Allah s.w.t terjemahannya:-

“Dan tatkala orang-orang mu’min melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata : Inilah yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul Nya kepada kita. Dan benarlah Allah dan Rasul Nya . Dan yang demikian itu tidaklah menambahkan kepada mereka kecuali iman dan ketundukan.”
( Surah al Ahzab : 22 )

Begitulah Rasulullah s.a.w mengasuh jiwa mereka dengan al Quran al Karim, mendidik hati nurani mereka dengan Iman, mengajak mereka mematuhi Allah dalam melaksanakan segala kewajipan yang diwajibkan oleh Allah s.w.t. Dengan didikan demikian maka kian bertambah tinggilah jiwa dan hati mereka, bertambah luhurlah akhlaq mereka dan kian bertambah bebaslah mereka dari kekuasaan kebendaan dan rintihan hawa nafsu yang menyesatkan dan terpancarlah rasa cintakan Allah s.w.t, Pencipta langit dan bumi serta segala sesuatu yang berada di dalamnya. Rasulullah s.a.w juga mengajar mereka bersabar menghadapi kesusahan, mengajar mereka mengawal jiwa mereka yang pernah benar-benar terlatih dengan peperangan semasa Jahiliyyah seolah-olah mereka dilahirkan bersama-sama pedang. Mereka dihidup di zaman yang tidak pernah sunyi daripada peperangan dan pertumpahan darah, seperti peperangan Basus, Dahit dan peperangan Ghabra. Begitu juga dengan peperangan al Fijar belum lagi sejuk dan masih terasa bahangnya. Tetapi Rasulullah s.a.w melalui asuhan dan didikan al Quran al Karim mengikut proses yang ditentukan oleh Allah s.w.t membendung jiwa peperangan dan semangat kebangsaan dengan arahan baginda yang bermaksud :- “Hentikanlah kekerasan dan dirikan solah”
Maka secara patuh mereka menghentikan peperangan dan kekerasan serta bersabar dalam menghadapi siksaan Kuffar Quraisy. Ini bukanlah kerana lemah dan takut. Sejarah tidak pernah mencatatkan bahawa seseorang Muslim di tahap Makkah pernah mempertahankan diri dari kezaliman Quraisy dengan senjata meskipun ia berkemampuan untuk berbuat demikian. Inilah suatu sifat kepatuhan dan ketaatan kepada kepimpinan hasil daripada pembentukan Rasulullah s.a.w mengikut proses yang ditentukan oleh Allah s.w.t yang tidak ada tolok bandingnya di dalam sejarah kemanusiaan.

Dengan roh tauhid dan keImanan, dengan pengajaran Nabi yang sempurna, dengan pendidikan yang teliti dan bijaksana, dengan peribadi Rasulullah s.a.w yang luarbiasa dan dengan Kitab suci al Quran al Karim yang dipenuhi dengan mukjizat, maka Rasulullah s.a.w dapat membangunkan kehidupan yang baru kepada Generasi Pertama dahulu dan mengangkat kembali nilai kemanusiaan yang hampir musnah. Kemudian Rasulullah s.a.w meletakkan di tempat yang sewajarnya untuk mengisi hidup baru kepada kemanusiaan.
Hasil dari usaha-usaha Rasulullah s.a.w yang gigih lahirlah peribadi Muslim seperti Abu Bakr as Siddiq yang terkumpul pada sifat-sifat terpuji. Orang dahulunya tidak pernah menyangka dan tidak pernah disangka akan menjadi orang yang pertama meneruskan amanah Allah s.w.t yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w untuk memimpin manusia ini ke matlamat yang suci murni. Lahir juga peribadi Muslim seperti ‘Umar al Khattab yang dahulunya mengembala unta bapanya, al Khattab, meskipun padanya terdapat sifat-sifat tegas dan berani tetapi tidak pernah menyediakan tapak untuk meletakkan ke tempat yang tinggi dan tiada siapa yang menyangka dengan pimpinan dan didikan baginda Rasulullah s.a.w tiba-tiba ‘Umar muncul menggemparkan alam ketika itu dengan kepintaran dan ketegasannya serta keberaniannya dapat merobohkan singgahsana Kaisar Romawi.

Juga lahir peribadi-peribadi seperti ‘Ali bin Abi Talib, ‘Aisyah, Ibn Mas’ud, Ibn ‘Abbas, Ibn ‘Umar, Zaid bin Thabit, sebagai tokoh-tokoh ulama yang tiada bandingannya dari dahulu hingga sekarang dan mungkin juga di masa akan datang. Mereka ini adalah hasil daripada latihan dan didikan Madrasah Rasulullah s.a.w. Inilah satu revolusi pembentukan peribadi yang luarbiasa dan satu-satunya yang pernah berlaku di dalam sejarah kemanusiaan dan hingga kini revolusi seumpama itu tidak berulang kembali. Revolusi yang menghasilkan kumpulan Mu’min sejati tampil mengepalai kepimpinan alam ke arah kesejahteraan dengan sifat-sifat kepimpinan yang tinggi dan mulia bagi menjamin kesejahteraan dan kejayaan manusia di bawah kepimpinan tersebut.

Sumber: http://muflihun.com/node/186

P/S: Saya terfikir, boleh ke generasi yang diceritakan seperti di atas dapat 'dibangunkan semula'? Generasi yang berjiwa kental dan sanggup berkorban apa sahaja untuk Islam. Tanpa langsung fikirkan tentang diri sendiri..Adui...diri yang menulis pun masih jauh dari sifat-sifat di atas...tapi rindu rasanya ingin melihat generasi yang sedemikian rupa...Tatkala Islam memerlukannya, dia lantas bersedia. Segala program untuk membangunkan generasi seperti di atas, sentiasa dia hadiri atas dasar kefahaman dan kesungguhan untuk perbaiki diri. Jiwanya selalu dahagakan ilmu dan kasih sayang Allah..Semangat sentiasa membara dan dipandu oleh iman dan taqwa pada Allah dalam usaha untuk menyebarkan risalah Allah dimuka bumiNya...semoga kita tergolong dalam golongan yangs sentiasa mengislah diri dan sentiasa komited untuk mendaulatkan Islam...Ayuh kita lahirkan kasih sayang kita pada Allah dan Islam dengan melaksanakan perintahNya dan meninggalkan laranganNya...

"ISLAM 4 ALL"

Monday, May 5, 2008

Hanya Islam Yang Dapat Angkat Martabat Melayu-Presiden PAS

Sumber: www.harakahdaily.net


KUALA LUMPUR, 4 Mei (Hrkh) - PAS yakin bahawa martabat, keutuhan dan jatidiri bangsa Melayu hanya dapat diselamatkan melalui Islam, kata Presidennya, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

"Hanya apabila orang-orang Melayu kembali dan berpegang teguh kepada Islam, maka ketika itu barulah bangsa ini dapat memperolehi keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

"Sebarang usaha samada sengaja ataupun tidak untuk meninggal atau meminggirkan Islam akan mengakibatkan bangsa ini tidak selamat di dunia, apalagi di akhirat," katanya dalam satu kenyataan rasmi parti hari ini.

Masalah umat Melayu selama ini berpunca dari tindakan mereka meninggalkan kewajiban meletakkan Islam dilandas yang sebenar, katanya.

Malah kedudukkan Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan pun tidak dihargai, ujarnya.
PAS merasakan masalah umat Melayu berpunca dari sikap Umno yang telah meneruskan pembelengguan terhadap Islam yang diamalakan oleh penjajah British.
"Umno menerima kuasa dengan menambahkan lagi ikatan-ikatan yang sebenarnya telah menyekat taraf dan kedudukan Islam dan mengelirukan bangsa Melayu.

"Tindakan ini telah merosakkan pemikiran orang Melayu sehingga menjadikan mereka seolah bertuhankan Umno. Malah orang Melayu sehingga beranggapan yang Umno lah segala-galanya, yang memberikan rezeki dan memajukan mereka," tegasnya. Umno lah yang sesungguhnya telah menghakis beberapa ciri-ciri tamaddun Islam yang sedia terbentuk dalam masyarakat Melayu sebelum ini, katanya.

"Di antaranya ciri ilmu, dimana Umno lah yang bertanggungjawab menghapuskan penggunaan dan pengajaran tulisan Jawi di sekolah-sekolah, mengawal pengajian agama di masjid-masijd termasuklah khutbah-khutbah Jumaat, semata-mata untuk kepentingan politik mereka yang telah mengakibatkan kefahaman agama orang Meayu semakin longgar dan lemah," katanya.

Bagi PAS sekiranya agenda pemuafakatan dan penyatuan umat Melayu mahu dilangsungkan, maka ianya mestilah mengambil kira dan menceduk dari model yang telah dibentuk dengan jayanya oleh junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.

Ujarnya, Rasulullah s.a.w telah berjaya menyatukan kabilah-kabliah Arab di zamannya dengan Islam dan bukannya melalui nasionalisam atau semangat kebangsaan Arab.

PAS percaya orang Melayu akan dapat diangkat martabat mereka kiranya mereka serius menjadikan Islam sebagai pegangan, dasar dan matlamat hidup, katanya.

P/S: Islam adalah cara hidup. Hanya dengan Islam sahaja dapat menyatukan semua manusia....

Saturday, May 3, 2008

Mari berdakwah...

sALAM mUJAHID,

Makna etimologis Dakwah dapat dilihat dari kata dakwah dalam Al-Quran yang memiliki banyak erti, antara lain :

- Menyampaikan dan menjelaskan (lihat QS Fushilat:24, Yusuf : 108 dll)
- Berdo’a dan berharap (lihat QS Al-A’raf : 55)
- Mengajak dan mengundang (lihat QS Yusuf : 33)

Para ulama dan pemikir muslim memberi makna dakwah secara terminologi dengan definisi yang pelbagai seperti :

Ibnu Taimiyah : "Dakwah ke jalan Allah adalah dakwah untuk beriman kepada Allah dan kepada apa yang dibawa nabi Muhammad SAW, yang mencakup keyakinan kepada rukun iman dan rukun Islam (Lihat Al Fatawa al-Kubro 15/158, cet 1, Mathobi’al-Riyadh)

Al-Ustadz Al Bahi-al-Khuli : "Dakwah Islam yaitu menghantarkan umat dari satu tempat atau keadaan ke tempat atau keadaan yang lain (Tadzkiroh ad-Du’at hal:35,th.1379H, Daarul Qalam).

Rauf Syalabi : "Dakwah Islam adalah gerakan revitalisasi sistem Illahi yang diturunkan Allah kepada Nabi terakhir" (Ad-Dakwah al Islamiyah Fi 'Ahdiha al-Makky, Manahijuha wa Ghoyatuha, hal : 32)

Abu Bakar Dzikri : "Dakwah ialah bangkitnya para ulama Islam untuk mengajarkan Islam kepada umat Islam, agar mereka faham tentang agamanya dan tentang kehidupan, sesuai kemampuan setiap ulama. (ad-Dakwah ila al-Islam, hal:8 Maktabah Darul Arubah Mesir).

Penulis memahami definisi-definisi tersebut diatas secara utuh dan lengkap dengan menyimpulkan, bahwa "Dakwah Islam ialah menyampaikan Islam kepada umat manusia seluruhnya dan mengajak mereka untuk komitmen dengan Islam pada setiap kondisi dan dimana serta bila-bila saja, dengan metodologi dan sarana tertentu, untuk tujuan tertentu".

Sumber: http://kebunhikmah.com/article-detail.php?artid=286

P/S: Pendek kata, dakwah perlu berjalan setiap masa. Bagi seorang da'ie, perlu wujud dalam pemikiran mereka bagaimana hendak memperbaiki cara dakwah, bagaimana hendak mengajak orang mendekati Islam dan pelbagai lagi perancangan. Untuk membuat perancangan, memerlukan ilmu pengetahuan. Untuk diri saya juga, saya sarankan kepada sahabat-sahabat yang ingin memulakan dakwah untuk mencari buku seperti Jalan Ke Hati, oleh Ustaz Abbas As-Siisi dan Dasar-dasar dakwah, Jilid I & II, oleh Dr Abdul Karim Zaidan. Selain itu banyak lagi buku-buku yang boleh dijadikan panduan untuk mengetahui cara-cara untuk berdakwah. Cuma beberapa peringatan kepada sesiapa yang ingin ceburi bidang dakwah:

1) Mesti mempunyai ilmu yang minima tentang Islam (Fardhu ain, sirah, dan sebagainya)
2) Tidak cukup dengan ilmu dakwah sahaja, malah anda kena 'terjun' sendiri ke bidang dakwah, dari situ baru kita dapat tahu untuk atur strategi yang lebih baik pada masa akan datang.
3) Hiasi peribadi dengan akhlak Islamiyyah(jangan bermuka masaaam je, kena senyum selalu, pakaian kena 'proper' dan sebagainya)
4) Banyakkan bertanya kepada orang yang berpengalaman (contohnya akhi Yusri UM ke, kak Nurul UiTM ke, sahabat-sahabat lain dan ramai lagi ustaz or ustazah yang berpengalaman dalam berdakwah ni...jangan marah ye, akhi Yusri dan kak Nurul..sekadar contoh je...;-)..)
5)Banyakkan bergaul dengan masyarakat, dengan itu kita dapat tahu tahap mereka dan apa yang mereka perlukan. Kasihi masyarakat diluar sana yang memerlukan bimbingan.
6) Samapaikan mauduk dakwah dengan perasaan penuh kasih sayang, ingin benar mad'u famai apa yang kita sampaikan dan yang paling penting adalah ikhlaskan hati serta banyakkan bermunajat pada Allah agar Dia permudahkan segala urusan.

Jadi, selamat berdakwah pada diri yang menaip ni dan sahabat-sahabat yang lain..jangan malu-malu ye.....

"JOM BERDAKWAH!" (Pinjam trademark akhi Yusri)

AYUH! KITA SEBARKAN KEBENARAN DENGAN PENUH HIKMAH DAN KEBIJAKSANAAN!!!

"ISLAM 4 ALL"