Showing posts with label Ekonomi-i. Show all posts
Showing posts with label Ekonomi-i. Show all posts

Monday, September 15, 2008

Riba dan Ancaman Dari Allah Serta Rasul-Nya

Isu riba' merupakan isu yang penting dalam kehidupan seharian bagi seorang muslim. Ia mungkin sudah difahami oleh sebahagian muslim, tapi tidak dihayati untuk meninggalkannya. Riba' merupakan suatu larangan yang bersifat mutlak oleh Allah swt. Saya mengambil kesempatan ini untuk berkongsi dengan sahabAt-sahabat tentang:

Apa itu Riba'?

Apa Jenis-jenis Riba'?

Apa hukuman bagi orang yang degil untuk meninggalkan amalan Riba'?

Huraian yang saya akan lakukan adalah berdasarkan pembacaan saya terhadap buku berjudul Wang, Anda dan Islam, karangan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman.

Apa itu Riba'?

Takrifan ringkas riba' ialah merupakan sebarang tambahan dalam barangan tertentu (barang ribawi)(1) dan tambahan di atas hutang akibat penangguhan tempoh. Ia merangkumi hasil riba melalui jualan barangan ribawi (riba al-Buyu') dan juga merangkumi riba daripada hutang (riba ad-Duyun). Sudah jelas apa itu riba'?

Apa pula Riba' ad-Duyun dan riba al-Buyu'?

Kita pergi satu persatu ya.

A) Riba' ad-Duyun
Riba jenis ini adalah riba' yang muncul dari hutang. Ia merupakan lebihan yang terhasil disebabkan tempoh. Ia terbahagi kepada dua iaitu:

a) Riba al-qardh: Iaitu sebarang manfaat tambahan yang disyaratkan ke atas pemberian jumlah pinjaman pokok. Syarat ini dibuat pada awal kontrak pinjaman(loan contract). Bukan kontract jual beli ye...
Ia dikenakan oleh pemberi pinjam kepada yang meminjam. Sebagai contoh, Pak Ali nak pinjam rm10 daripada Pak Abu. Tetapi Pak Abu menetapkan syarat bahawa Pak Ali wajib membayar semula hutang tersebut sebanyak Rm12. Lebihan RM2 merupakan riba ad-Duyun jenis al-qardh.

b) Riba al-Jahiliyyah: Merupakan kadar atau sebarang manfaat tambahan lebih dari jumlah pokok, yang dikenakan oleh pemberi pinjam kepada peminjam akibat si peminjam gagal membayar pada tempoh yang telah dipersetujui.Sebagai contoh, Ahmad bersetuju memberi pinjaman kepada Zul sebanyak RM50 dan dikehendaki membayar kembali satu bulan dari sekarang. Tetapi sekiranya Zul gagal membayar hutang Ahmad sebelum atau pada 1bulan yang telah ditetapkan, maka Zul dikehendaki membayar pada Ahmad sebanyak RM60. Lebihan sebanyak RM10 merupakan riba' ad_Duyun jenis al-Jahiliyyah.

B) Riba' al-Buyu'
Riba' jenis ini pula muncul daripada jual beli barangan ribawi. Ia merupakan ketidaksamaan pada berat atau kuantiti pertukaran 2barang ribawi atau pertukaran tersebut dibuat secara tangguh.

a) Riba' an-Nasa': Ia merupakan jual beli atau pertukaran 2 barangan riwabi yang sama jenis dan pertukaran tersebut dibuat secara tangguh(tidak sempurna dalam 1 masa). Sebagai contoh, Cik Ainul membeli emas seberat 3 gram dengan harga RM1000 secara tangguh.(maknanya, ambil emas hari ini, bayarnya keesokan harinya)

b) Riba al-Fadhl: Merupakan jual beli atau pertukaran antara 2 barangan ribawi yang sama jenis dengan berbeza kadar berat(jika dijual dengan timbang) atau kualiti(jika dijual secara bilangan kuantiti). Sebagai contoh, Menukar 10gram emas(jenis 916) dengan 6gram emas(jenis kualiti 750). Pertukaran jenis ini adalah haram kerana sepatutnya kedua-duanya mesti 5gram. Jenis kualiti tidak memberikan kesan kepada hukum.

Menurut Ustaz Zaharuddin, berdasarkan contoh di atas terdapat 2 syarat yang wajib dipenuhi agar terhindar daripada riba al-Fadhl dan riba' an-Nasa', iaitu:
i) Mesti sama beratnya(walau berbeza kualiti dan beratnya)

ii) Transaksi pertukaran mesti dilakukan dalam satu masa atau satu majlis(maksudnya, pembeli dan penjual tidak boleh beredar sebelum menyerahkan barang pertukaran).

Ini adalah perkara asas tentang riba yang perlu setiap Muslim tahu. Lepas kita tahu apa itu riba' dan jenis-jenisnya, saya ingin berkongsi pula, apa ancaman yang datang dari Allah sekiranya kita ambil enteng(ringan) tentang masalah riba' ini.

Apa Ancaman Bagi Orang Islam Yang Mengamalkan Riba'?

A)Pemakan dan Pemberi riba mengisytiharkan perang terhadap Allah dan RasulNya.
Firman Allah swt:

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan saki baki riba' sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan RasulNya. Dan jika kamu bertaubat(daripada pengambilan riba'), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya."(Surah al-Baqarah: 278)

Ini merupakan ancaman keras dari Allah. Bah kan merupakan ayat cabaran dari Allah bagi sesiapa yang degil dan engkar dengan perintahNya. Imam Abu Hanifah pernah berkata;" Ini adalah ayat al-Quran yang paling menakutkan."

Jadi beringat-ingat wahai sahabatku sekalian. Tinggalkan riba jika kamu benar-benar mengaku sebagai pejuang agama Allah. Tinggalkan seboleh yang mungkin. Teruskan berfikir untuk cara meninggalkan sebagaimana kita berfikir sejauh dan se-efisyen mungkin untuk mengalahkan rakan aspirasi dalam PRK atau musuh-musuh Allah yang lain.

B) Kehilangan Berkat Harta dan Kehidupan.
Firman Allah swt:

"Allah menghancurkan keberkatan kerana riba' dan menambahkan keberkatan daripada sedekah." (al-Baqarah: 276)

Hati rasa resah memanjang. Banyak duit tapi hidup tidak tenang. Selalu ini berlaku pada yang memilki duit yang harta yang banyak. Yang tidak pasti dari mana sumbernya diperolehi. Penuh syubhah. Sama-sama kita koreksi diri.

C) Seperti berzina dengan Ibu Bapa Sendiri.
Nabi saw Bersabda:

"Riba' mempunyai 72 pintu. Riba' yang paling ringan(dosanya_ ialah seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya."
(Riwayat at-Tabrani, 7/158; al_Hakim, Sahih menurut syarat al-Bukhari dan Muslim)

Mari kita buka mata dan hati, betapa beratnya ancaman Allah terhadap orang yang mengamalkan riba dalam kehidupan seharian.

D) Lebih berat Daripada 36 Kali Berzina.
Nabi saw bersabda:

" Satu dirham riba' yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk daripada berzina sebanyak 36 kali." (Riwayat Ahmad dan Ad-Dar Qutni)

E) Salah Satu Daripada 7 Dosa Besar.
Nabi saw bersabda:

" Jauhilah 7 dosa besar; syirik, sihir, membunuh tanpa hak, makan riba', makan harta anak yatim, lari dari medan peperangan(kerana takut), dan menuduh perempuan yang suci berzina(tanpa saksi adil)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ayuh Teliti Dan ambil Pengajaran

Sahabat-sahabatku, harapan saya agar sahabat pembaca faham apa itu riba', jenis-jenisnya dan apa ancaman yang datang dari Allah dan Rasulnya bagi sesiapa yang mangamalkan riba' dalam kehidupan meraka. Semak semula, dari mana sumber pendapatan kita selama ini. Untuk kali ini, cukup saya kongsikan perkara-perkara di atas. Akan datang, saya akan kongsikan amalan riba' dalam konteks kontemporari, InsyaAllah.

Rujukan: (1) Barangan ribawi adalah berkaitan dengan hadis Nabi saw yang bermaksud: "Apabila ditukar emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam mestilah sama timbangan dan sukatannya, dan ditukar secara terus(pada satu masa) dan sekiranya berlainan jenis, maka berjual belilah kamu sebagaimana disukai." (Riwayat Muslim nombor 4039, nombor hadis, 11/9)

p/s: Rujukan utama saya tentang penulisan ini ialah al-Quran dan Hais Nabi saw dan tidak kurang pentingnya(sangat penting sebenarnya) buku berjudul Wang, Anda dan Islam, karangan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman.

"SAY NO!, TO RIBA"

Abu Nasih
W. P. Labuan
15 September 2008/15 September 1429

Thursday, July 3, 2008

Empayar Ekonomi Islam: Impian Menjadi Realiti

Salam Mujahid,

Subhanallah..lama sungguh tidak mengadap komputer, lebih-lebih lagi untuk melakukan nukilan di blog yang sudah 'berhabuk' ni... Hampir 2minggu lebih ini, masa saya dihabiskan di negeri Johor untuk menimba ilmu dan pengalaman hidup. Setiap hari, ada sahaja hendak dinukilkan, tapi hajat tak kesampaian. Kesibukan menghalang hajat hendak ke CC.

HIDUP MESTI BERIMPIAN

Satu perkara yang saya belajar selama hampir 2minggu berada di bumi UMNO (tak lama dah tu) ialah berkaitan dengan cara berfikir.

"Apa beza antara engkau dan dia?", Soal abg Azhar.

"hm, macam-macam la berbeza", nak je saya ungkapkan sedemikian rupa, tapi mulut terkunci dengan niat untuk belajar. nAK DENGAR SENDIRI, APA MAKSUD DIA.

"Bezanya ialah cara korang berfikir...", Jawapan yang ringkas, tapi penuh makna.

Betul juga, orang lain bekerja mungkin untuk kumpul harta, untuk tunjuk pada orang yang dia kaya, untuk kepuasan diri, untuk buktikan pada orang kampung bahawa dia mampu jadi orang kaya, untuk perbaiki taraf hidup daripada kemiskinan kepada yang mampu memiliki sesuatu dan juga ada juga yang ingin jadikan kerjaya sebagai wasilah perjuangan Islam....

Hari pertama saya sampai Johor, orang tertinggi di syarikat Pru-BSN Takaful datang untuk memberi 'talk'. Dia membuka bicara tentang impian, tentang 'dream'. Tiba-tiba En. Mas tanya saya..

"Apa impian anda?"

Terkejut saya dibuatnya. mentang-mentanglah saya duduk paling hadapan dikalangan hampir 15 orang yang hadir pada malam itu.

"Hm, saya bercita-cita untuk membantu umat islam melalui wasilah ekonomi". Secara spontan apa yanga ada dihati, saya lafazkan.

"Untuk diri 'you'?", En Mas tanya lagi.

Adui,untuk diri? Hm, tak tau la pulak....yang saya tahu, saya ingin bantu umat islam bila saya mampu nanti. Lebih kurang begitu jawapan saya pada dia.

Dia tetap mengasak saya dengan soalan tersebut. Saya jadi Blur...apa yang dia hendak sebenarnya? Lepas tu, mungkin dia tidak berpuas hati dengan jawapan saya, dia cakap, "Malam ni tak perlu tidur untuk 'set up' impian..", fuh, pedihnya kena bantai...

Rupa-rupanya, baru saya faham bahawa yang dia maksudkan untuk 'set up' matlamat ialah 'keperluan memiliki sesuatu untuk memberi sesuatu'..Maknanya, jika KITA ingin membantu ummah, maka diri perlu berubah dari sekarang. Ekonomi ummah perlu dijana. Tidak cukup hanya makan gaji(bukan bermakna tidak elok, ini sekadar motivasi untuk kita menjadi ummat Islam yang proaktif dan sentiasa ingin majukan diri), kita perlu bekerja sendiri untuk jana seberapa banyak pendapatan untuk disumbangkan pada ummah. Ummah perlu bangkit untuk membina empayar ekonomi tersendiri.

Saya sebenarnya ingin berkongsi tentang konsep kekayaan yang perlu dipandang dalam kaca mata dakwah islamiyyah. Bila bercakap tentang kekayaan, saya tertanya-tanya ke mana perginya jutawan-jutawan islam yang ada di malaysia? Berapa ramai dikalangan mereka yang bergelar jutawan itu menginfakkan sebahagian harta mereka untuk pembangunan ummah?

Ya, saya mengaku, memang wujud sebahagian daripada jutawan Islam yang menginfakkan harta mereka untuk pembangunan Ummah. Tapi saya tertanya-tanya, kenapa masih wujud kemiskinan di tengah-tengah bandar (apatah lagi bahagian pedalaman)? Kenapa ummah masih lemah dibidang ekonomi, padahal sekarang semakin banyak masyarakat Islam yang sedar tentang kepentingan menyumbang kepada ummh ini adalah suatu kewajipan lalu mereka merekrut anak-anak muda Islam untuk membangunkan ekonomi sendiri tanpa bergantung harap dengan kerajaan..

Realiti hari ini, saya melihat bahawa golongan jutawan di Malaysia tidak bersatu untuk membangunkan taraf ekonomi umat Islam, tidak bersatu untuk mewujudkan rangkaian ekonomi umat Islam. Tiada satu badan yang khusus untuk mengumpul dana dan membina empayar ekonomi umat Islam di Malaysia. Masing-masing ada tabung dan yayasan tersendiri. Masing-masing dengan cara tersendiri tanpa wujud kesatupaduan untuk membina empayar ekonomi umat Islam. Saya rasa kagum dengan rangkaian ekonomi yang dibangunkan oleh syarikat 'Global Ikhwan' yang dulunya dikenali dengan Rufaqa'. Tentang masalah aqidah, semua sudah sedia maklum, tapi yang menjadi kekaguman saya apabila kemampuan mereka mewujudkan satu rangkaian ekonomi Islam yang pelbagai. Dari kedai dobi hinggalah kepada penghasilan roti sendiri. Ini merupakan satu pencapaian yang perlu dicontohi oleh pencinta Islam untuk melihat sistem ekonomi Islam kembali utuh seperti di zaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz. Walau bagaimanapun, ia masih tidak cukup. Mereka memerlukan kesepaduan dengan NGO-NGO Islam yang lain dan yang lebih penting sekali ialah 'political will' yang perlu dimiliki oleh umat Islam.

Alhamdulillah, di Kelantan (yang mempunyai 'political will') kita sudah dapat lihat pengaplikasian Dinar Emas dan sekarang telah melebarkan sayapnya di Lembah Kelang iaitu di Jalan Raja Laut. Jadi sama-sama kita meraikan sistem ekonomi Islam yang menjamin keadilan buat semua pihak. Selain itu, terdapat juga ahli-ahli perniagaan Islam yang berjaya yang memiliki pasaraya halal seperti Pasaraya Fitrah, kedai Salun khas buat Muslimah, kedai alat tulis dan macam-macam lagi keperluan umat Islam yang kini sedang rancak membangun di seluruh Malaysia. Tetapi, pada saya masih terdapat kekurangan di dalam kepesatan membangunnya perniagaan yang mengaplikasikan sistem Islam di dalam perniagaan yang diusahakan.

CADANGAN

Saya merasakan adalah perlu wujudnya satu badan khas yang bertindak untuk mengumpulkan jutawan-jutawan atau ahli-ahli perniagaan Islam yang mempunyai keinginan untuk menginfakkan harta mereka kejalan Allah. Satu perancangan strategik perlu dibuat agar dana-dana yang diberikan oleh jutawan-jutawan dan ahli-ahli perniagaan Islam itu dapat disalurkan untuk pembinaan sebuah empayar ekonomi umat islam yang besar. Daripada sekecil-kecil kedai runcit, kedai dobi, alat tulis, kedai gunting rambut, hinggalah kepada pembinaan hospital-hospital pakar yang menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada umat Islam atau bukan Islam. Juga pembinaan kompleks-kompleks sukan yang dapat menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Juga kepada penghasilan produk-produk halal hasil daripada kesepaduan ilmu dan kepakaran ilmuan Islam dalam setiap bidang kehidupan. Idea ini mungkin masih agak kabur, tapi saya merasakan adalah perlu pada ketika ini untuk membangunkan sistem ekonomi Islam yang lebih bersepadu, komprehensif dan penuh inovatif serta memenuhi tuntutan syarak. Ini merupakan JIHAD EKONOMI yang selama ini kita gembar-gemburkan. Tidak cukup hanya individu-individu tertentu yang mempunyai keinginan dan mampu melakukan sesuatu kepada umat islam jika ia dilakukan tanpa secara berjemaah. Mungkin sudah secara berjemaah, tapi yang saya maksudkan di sini ialah secara berjemaah dalam konteks ia mampu membawa kebaikan kepada seluruh ummah.

JIKA RASA RETORIK, REALITIKAN IA

Nampak seolah-olah ia senang dibebelkan, tapi bukan mudah untuk dilaksanakan. Jadi, dari sekarang perlu diwujudkan inisiatif untuk ke arah perkara tersebut. Mungkin juga apa yang saya cadangkan ini sedang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu.. Jika benar, maka teruskan dan saya sudi menjadi pembantu kalian.

Selama 2 Minggu saya di Johor, alhamdulillah, banyak yang saya pelajari..Insyaallah, dari masa ke semasa saya ingin kongsikan dengan sahabat-sahabat...Lusa saya akan pulang ke Labuan...akan bermula episod kehidupan yang lebih mencabar...Mohon sokongan sahbat-sahanat diluar sana mendoakan kejayaan saya dan sahbat-sahabat yang lain dalam usaha membangunkan diri untuk islam tercinta..

P/S: Cita-cita ku ingin membina empayar perniagaan yang dapat memberi manfaat kepada umaat Islam....As-Silmi Corporation...impian ku kini dan selamanya....

TAKBEER!!!

"ISlam 4 all"


Friday, April 4, 2008

SEJARAH MATAWANG DINAR DAN DIRHAM (BHGN. 2)

5) Wang dalam Negara Islam.

1) Di zaman Baginda S.A.W.

Semasa zaman Jahiliyyah, masyarakat Arab di Hijaz tidak memiliki sebarang matawang yang khusus. Sebaliknya, wang-wang yang mengalir masuk ke Hijaz padamasa itu ialah dinar-dinar emas kerajaan-kerajaan Rom di Syam, dan matawang dirham (perak) daripada kerajaan Sasan di Iraq, dan sedikit daripada wang Yaman Himyar. Mengikut kebiasaan, ahli-ahli perniagaan Quraish yang berulang-alik dari Syam (pada musim panas) ke Yaman (pada musim sejuk). Sepertimana yang diceritakan di dalam al Quran di dalam surah Quraish dimana Allah berfirman yang bermaksud : Demi keselamatan, ketenteraman, dan kedamaian yang dinikmati oleh qafilah perniagan Quraish sepanjang pengembaraan mereka di musim sejuk ke Yaman dan pada musim panas di Syam tanpa sebarang gangguan, maka hendaklah mereka mengabdikan diri kepada Allah-Tuan kepada Rumah Allah yang telah memberi kenyang mereka itu daripada lapar, dan mengamankan kita daripada sebarang ketakutan.(Surah Quraish, ayat 1-4)

Penduduk-penduduk Mekah, mereka berjual beli dengan menggunakan logam perak yang masih mentah itu dengan cara timbangan demi mengelakkan daripada sebarang kekecohan.

Maka ketika Baginda S.A.W diutuskan mejadi Nabi dan Rasul, Baginda telah memperakukan apa yang pernah diamalkan oleh penduduk Mekah semasa berjual-beli. Seterusnya Baginda menyarankan agar penduduk Madinah juga mengikut jejak langkah penduduk Mekah iaitu dengan menggunakan timbangan. Dalam salah sebuah sabda Baginda ada menyatakan : \" Timbangan adalah mengikut timbangan penduduk mekah, manakala sukatan dengan mengikut timbangan penduduk Madinah.\"

Kesimpulan :

Semasa pemerintahan Baginda S.A.W., Baginda tidak membuat sebarang perubahan terhadap matawang pada masa itu kerana Baginda memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha pengukuhan agama Islam di Semenanjung Arab. Maka dengan itu, wang-wang emas dan perak dari luar Semenanjung Arab masih digunapakai oleh masyarakat setempat.

2) Wang di zaman pemerintahan khulafa\' ar-rashidin
Memandangkan bahawa semasa pemerintahan Saidina Abu Bakr as-Siddiq R.A hanya selama 2 tahun 4 bulan, beliau tidak sempat membuat sebarang perubahan terhadap kedudukan mata wang Semenanjung Arab disebabkan beliau terpaksa memberikan penumpuan terhadap kumpulan murtad yang muncul di zaman pemerintahannya. urusan peperangan .
Begitu juga keadaan yang berlaku di zaman pemerintahan Saidina Umar al Khattab R.A. pada peringkat awal pemerintahannya, sehinggalah menjelang tahun ke 18 hijrah ( dalam sesetengah riwayat mengatakan tahun 20 hijrah) satu usaha yang dijalankan oleh Saidina Umar ialah mencipta wang dalam Islam, cumanya masih di dalam bentuk wang dirham kerajaan Sasaan di Iraq dengan ukiran-ukirannya dengan sedikit penambahan lambing tauhid Allah Ta\'ala dengan menggunakan tulisan Kufi, seperti Bismillah, Bismillahi Rabbi, Alhamdulillah, dan sesetengahnya pla ditulis dengan Muhammad Rasulullah.

Di zaman pemerintahan Saidina Uthman bin Affan R.A., wang dirham yang dicipta adalah sama dengan wang dirham pada zaman Saidina Umar. Cumanya terdapat sedikit penambahan dengan menyatakan tempat wang itu dicipta, tarikh ia dikeluarkan dengan menggunakan huruf Bahlawiyyah ( Parsi) umpama Bismillah, Barakah, Bismillahi Rabbi, Allah dan Muhammad. Kesemua itu ditulis dengan tulisan Kufi (Iraq).

Semasa pemerintahan Saidina Ali R.A., wang-wang dirham dicipta mengikut dirham di zaman khalifah Saidina Uthman, iaitu dengan menggunakan kalimah-kalimah dan perkataan- perkataan Kufi, seperti Bismillah, Bismillahi Rabbi dan Rabbi Allah.

3) Wang di zaman kerajaan Umawiyyah

Usaha kearah mewujudkan wang dirham di zaman pemerintahan Umawiyyah telah bermula sejak Muawiyah bin Abi Suffian R.A. memerintah dengan mengikut reka bentuk wang kerajaan Sasaan( Parsi) di Iraq dengan meletakkan beberapa lambang tauhid seperti yang berlaku di zaman khulafa\'.

Semasa pemerintahan Abdul Malik bin Mirwan, selain kejayaannya menghapuskan pengaruh dua orang penentangnya iaitu Abdullah dan Mus\'ab bin az-Zubair R.A, beliau telah berjaya mencipta wang dimana ini berlaku pada tahun 76 hijrah dengan munculnya mata wang Islam khas yang bebas daripada sebarang pengaruh Rom dan Parsi. Dengan itu Abdul Malik bin Mirwan dikira sebagai orang atau khalifah yang pertama yang telah berjaya mencipta wang daripada dinar dengan memiliki cirri-ciri keislaman.

Beberapa pendapat tentang kenapa Abdul Malik bin Mirwan bertindak demikian. Setengah pendapat mengatakan ianya berlaku diatas dorongan agama dimana wang dinar pada masa itu diukir dengan tanda-tanda salib (Kristian). Sesetengah pula mengatakan ianya disebabkan berlaku sangketa antara baginda dan raja Rom.

Walau bagaimanapun, kemajuan ang dicapai oleh Abdul Malik bin Mirwan telah menjadikan kerajaan Islam pada masa itu berada dalam keadaan mantap dan berkurangnya gejala penipuan terhadap matawang. Suasana ini berterusan hinggalah ke zaman pemerintahan Yazid bin Abdul Malik dan Hisham bin Abdul Malik.


4) Wang di zaman kerajaan \'Abbasiyyah dan selepasnya

Kerajaan \'Abbasiyyah telah meneruskan kerja-kerja mengeluarkan wang dinar dan dirham seperti mana yang dijalankan oleh kerajaan Umawiyyah sebelum ini.

Akan tetapi, setelah mana kerajaan \'Abbasiyyah telah mulai lemah dan urusan Negara dimonopoli oleh orang-orang Turki, wang Negara banyak digunakan untuk projek-projek mewah dimana kerajaan memerlukan belanja yang besar untuk tujuan tersebut. Maka sejak itu, gejala penipuan wang-wang dirham muncul semula menyebabkan wang-wang dirham palsu mengambil tempat dalam masyarakat. Selepas itu timbul pula masalah inflasi yang menyebabkan turunnya nilai matawang ke peringkat yang paling rendah.

5) Wang di zaman kerajaan Fatimiyyah

Semasa pemerintahan Fatimiyyah, penipuan terhadap wang dirham berlaku secara berleluasa, yang menyebabkan harga perak turun menjunam. Pernah disebutkan bahawa semasa pemerintahan al-hakim bi Amrillah, nilai 1 dinar bersamaan dengan 34 dirham. Di zaman pemerintahan Salahuddin al-Ayyubi, jumlah logam emas tidak mencukupi untuk dijadikan matawang. Ianya berpunca daripada peperangan yang berlaku di zaman tersebut sehingga matawang utama kepada masyarakat pada masa itu ialah wang perak. Itupun bukannya perak yang tulin, sebaliknya logam tersebut telah dicampurkan dengan logam-logam yang lain dimana menyebabkan mutunya makin menurun.

Dan semasa pemerintahan Mamalik (kerajaan Uthmaniyah), wang-wang fulus (wang yang tidak ada nilai umpama satu sen) dikeluarkan secara berleluasa hinggakan wang ini dijadikan wang utama sehingga ke zaman pemerintahan az- Zahir Barquq sementara matawang dirham lenyap dalam pasaran. Antara punca-puncanya ialah : 1) Logam perak dieksport ke Negara Eropah, 2) Bertambahnya jumlah import tembaga daripada negara-negara Eropah akibat daripada bertambahnya lombong-lombong tembaga di kebanyakan wilayah Eropah, 3) Bertambahnya penggunaan barang-barangan perak.

6) Wang di zaman pemerintahan kerajaan Uthmaniyyah
Sejak kerajaan Uthmaniyyah memegan takok pemerintahan itu pada tahun 955 hijrah, bersamaan dengan tahun 1534 masihi, sistem wang yang berjalan pada masa itu ialah mengikut kaedah gabungan dua bentuk logam iaitu emas dan perak dengan nisbah 1 : 15.

Pada tahun 1839 masihi, kerajaan Uthmaniyyah telah mengeluarkan matawang baru dikenali sebagai Qa-I-mah (Gaima) dalam bentuk wang kertas. Dan dalam tahun 1844 masihi, sistem wang baru diperkenalkan sebagai al Majidi (perak) dan begitu juga wang emas (dinar).

Bila berlaku peperangan dunia yang pertama, kerajaan Turki mengisytiharkan bahawa satu-satunya bentuk matawang ialah wang kertas sahaja yang sah diperlakukan, manakala wang emas dan wang perak dimansuhkan. Peraturan ini berkuatkuasa keatas semua negeri-negeri dibawah kuasa kerajaan Uthmaniyyah. Maka sejak tahun 1914 masihi, penggunaan wang-wang kertas di semua negeri-negeri adalah satu kemestian dan matawang ini merupakan matawang asasi dan tidah akan menerima sebarang perubahan.

Setelah tamatnya peperangan dunia yang pertama, kerajaan Inggeris telah cuba untuk kembali berpegang kepada sistem lindungan emas demi menjamin keutuhan matawang agar mantap dalam semua keadaan. Ini berlaku antara tahun 1925 hingga ke tahun 1971 dimana jongkong-jongkong emas dijadikan sebagai pelindung dan penaung kepada matawang kertas.

Begitulah usaha-usaha kerajaan Inggeris untuk cuba menerajui program ini yang kemudiannya diikuti oleh negara Perancis pada tahun 1928 serta seluruh negara-negara yang lain yang menggunapakai sistem jongkong-jongkong emas.

Adapun bagi negara-negara yang sedang membangun, maka peranannya adalah hanya sekadar mengikut jejak langkah negara-negara penjajah. Diantara kesannya ialah emas yang dijadikan cagaran oleh negara-negara yang dijajah dijadikan simpanan di pembendaharaan di negara barat sebagai timbale balik kepada matawang luar yang disimpan di negara sedang membangun sebagai penaung kepada matawang negara-negara tersebut. Dan kesemua matawang negara-negara yang dijajah mesti bersedia untuk ditukar kepada emas dengan cara ditukar kepada matawangluar yang mempunyai daya pertukaran secara langsung.

Walau bagaimanapun, sistem jongkong emas ini tidak bertahan lama, kerana kerajaan inggeris telah menghadapi krisis eknomi yang agak berat dimana suara ramai menuntut agar kerajaan menukar haluan. Dalam masa yang sama, emas simpanan dalam bank Inggeris turun menjunam yang menyebabkan pihaknya dalam tahun 1931 menyatakan bahaw tukaran wang pound sterling kepada emas hendaklah dihentikan. Maka secara automatic, kesemua matawang yang berkaitan dengan wang sterling turut terbantut.

Perancis pula dalm tahun 1936 telah membekukan semua semua kerja-kerja pertukaran matawang, dan bermula dari tarikh itu tidak ada matawang yang boleh ditukar kecuali ringgit Amerika sahaja yang masih mampu untuk berbuat demikian sehinggalah ke tahun 1971 dimana Presiden Amerika Nixon telah membuat kepututsan untuk membekukan tukaran dolar kepada emas. Walau bagaimanapun kesemua negara-negara-sejak berlakunya peperangan dunia pertama telah menjadikan wang kertas sebagai matawang rasmi negara.

Kesimpulan :

Berdasarkan kepada faktor-faktor diatas, pada hemat penulis sudahlah sampai masa dan ketikanya untuk cerdik pandai Islam istimewanya kumpulan professional Islam memikirkan cara yang lebih serius kearah mengangkat martabat Islam dan maruah bangsanya yang telah tercabar dan tercemar akibat pertembungan kekuatan yang tidak seimbang. Kita tetap yakin dengan janji-janji Allah terhadap umat yang memperjuangkan Islam dengan kejayaan dan kecemerlangan. Diantaranya ialah firman Allah dalam surah Quraish…..memeang benar membina kekuatan ekonomi ummah dan kesejahteraannya adalah bergantung rapat kepada sejauh manakah umat Islam itu mengabdikan diri kepada Allah Ta\'ala. Para mufassirin menyatakan at amun min ju\' adalah sebagai sistem kemantapan sesebuah ekonomi dan wan mahum min khauf sebagai aman daripada ancaman-ancaman musuh luar mahupun dalam.

Diantara langkah-langkah yang positif kearah memantapkan kedudukan ekonomi dalam Islam ialah dengan mengembalikan hak ketuanan kepada matawang dinar (emas) dan dirham (perak) sebagai asas demi memelihara kestabilan ekonomi di dalam negara dan masyarakat Islam. InsyaAllah, Allah sentiasa bersama hamba-hambanya yang berusaha gigih dalam mendaulatkan seluruh peraturan dan hukumNya.

والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Disediakan Oleh:
Hj Abd. Aziz Hj Hanafi

Sumber: http://www.igdscc.org

P/S: Berikut adalah sejarah kewujudan matawang dinar dan dirham. Ketika ini, kerajaan Kelantan telah menyahut cabaran Tun Mahathir untuk mengmbalikan kegemilangan penggunaan Dinar emas di dalam aktiviti perdagangan. Ini kerana, nilai emas adalah amat stabil berbanding nilai wang fiat yang kita gunakan ketika ini. Ini salah satu jihad yang perlu dilakukan oleh kerajaan Islam (Kelantan khususnya)untuk mengubah pemikiran masyarakat Kelantan dan Malaysia am nya agar dapat menerima dinar emas sebagai alat pertukaran. Setakat ini, alhamdulillah, di Kelantan telah mula menggunakan dinar emas dalam aktiviti membayar zakat, sebagai mas kahwin dan sebagainya. Ini merupakan permulaan yang baik untuk memajukan lagi penggunaan Dinar Emas. Insyaallah, saya akan cuba dapatkan info berkaitan dengan Kepentingan Dinar Emas dan mengapa ia patut mendapat tempat berbanding wang fiat(wang kertas dan syiling biasa yang digunakan sekarang.)

Thursday, April 3, 2008

SEJARAH MATAWANG DINAR DAN DIRHAM (BGHN. 1)

SEJARAH MATAWANG DINAR DAN DIRHAM

Sumber: http://www.igdscc.org

Muqaddimah

1) Sejarah Lahirnya Matawang

Allah S.W.T. yang Maha Bijaksana telah menciptakan manusia yang memang sejak mula-mula lagi memerlukan kepada makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal. Maka berdasarkan kepada keperluan tersebut, Allah S.W.T. menjadikan seluruh isi langit dan bumi sebagai suatu kemudahan kepada manusia untuk membina kehidupannya. Dalam sebuah firman Allah S.W.T. menyatakan :

{اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقاً لَكُمْ وَسَخَّرَ لَكُمُ الْفُلْكَ لِتَجْرِيَ فِي الْبَحْرِ بِأَمْرِهِ وَسَخَّرَ لَكُمُ الْأَنْهَارَ} [ابراهيم:32 ] Yang bermaksud : Allah S.W.T, Dialah yang menciptakan langit dan bumi dan menurunkan hujan daripada langit, maka, Dialah Allah yang dengannya telah mengeluarkan buah-buahan sebagai rezeki untuk kamu, dan Dialah Allah yang telah memberi kemudahan kepada kamu melalui kapal bahtera untuk belayar di lautan dengan perintahNya, dan Dialah juga Allah yang telah memberi kemudahan kepada kamu dengan sungai-sungai yang mengalir.
Sejak dari saat itu, manusia berusaha bertungkus-lumus bekerja semata-mata untuk menjamin bahawa mereka dapat mengecapi nikmat kehidupan menerusi barang-barang keperluan mereka dan perkhidmatan kurniaan Allah Taa\'la.

Sudah sememangnya, manusia diciptakan Allah untuk hidup secara berkelompok dan bermasyarakat, sebab tiada semua barang-barang dan perkhidmatan diperolehi melalui usaha individu. Seorang ahli ilmuan Islam yang dikenali dengan nama Abu al Fadhl Jaafar bin Ali ad-Dimashqiyy pernah menyatakan bahawa memandangkan kepada usia manusia yang begitu singkat, dia tidak akan mampu untuk menguasai semua bidang pekerjaan walaupun dia memiliki berbagai-bagai kebolehan dan keistimewaan. Ini adalah kerana, sepertimana yang dikatakan olehnya, kerajaan itu sendiri ada bermacam-macam jenis dan setiap satunya mempunyai kaitan dengan kerja-kerja yang lain. Umpamanya, sebuah binaan sememangnya memerlukan kepada buruh binaan. Mereka ini pula memerlukan kepada tukang besi. Dan tukang besi pula memerlukan kepada pihak yang mampu mengusahakan bahan-bahan logam, malah kesemua tugas-tugas dan kerja berkenaan memerlukan kepada wujudnya pusat pengurusan bagi menjayakan projek tersebut, dan begitulah seterusnya (Abu al Fadhl Jaafar bin Ali ad-Dimashqiyy- al Isyarah ila Mahasin al Tijarah, hlmn 20-21, cetakkan 1997) .

Maka dengan wujudnya berbagai-bagai keperluan manusia, akhirnya ianya membawa kepada keperluan manusia sama ada secara langsung ataupun tidak untuk saling membantu antara satu sama lain. Maka sebagai langkah pertama lahirlah sistem al-muqayadhah ( barter system iaitu pertukaran barang dengan barang) sebelum wujudnya matawang yang digunapakai sebagai alat tukaran bagi mendapatkan barang dan perkhidmatan.

2) Matawang Bangsa-Bangsa di Dunia
Secara umumnya, ianya dapat disimpulkan kepada lima perkara berikut:

1) Wang dikalangan masyarakat Lydia
Pernah dikatakan bahawa, orang-orang Lydialah kumpulan manusia pertama yang mengenali wang yang dicap. Ianya bermula dengan lahirnya wang dikalangan ahli-ahli perniagaannya setelah mana mereka menghadapi masalah pertukaran barangan dan perkhidmatan berdasarkan sistem barter. Pihak kerajaan Lydia telah menumpukan perhatian mengecap wang di zaman pemerintahan Crusus di tahun 546-570 sebelum masihi, dimana di zaman inilah kali pertama munculnya wang emas (dinar) dan perak (dirham) yang dicap.

2) Wang di kalangan masyrakat Greek
Masyarakat Greek pula telah menggunakan wang dalam bentuk barangan, kerana itu masyarakat Greek banyak menyimpan kapak dan gelang-gelang besar yang diperbuat daripada gangsa. Kemudian barulah mereka menggunakan emas dan perak, dimana pertama kali yang mereka lakukan ialah menggunakan kepingan-kepingan emas dan perak sehinggalah wang dicap pada tahun 406 sebelum masihi. Orang-orang Greek mengukir di atas wang tersebut dengan ukiran sembahan mereka ataupun pemimpin-pemimpin mereka. Mereka juga sempat mengukir nama negeri asal wang itu diperbuat. Adapun matawang asasi bagi masyarakat Greek dikenali dengan nama drachma, yang diperbuat daripada perak.

3) Wang di kalangan masyarakat Rom
Sebelum kurun ketiga masihi, masyarakat Rom telah menggunakan matawang gangsa yang diberi nama Iz. Mereka juga pernah menggunakan matawang yang diperbuat daripada tembaga. Pernah disebutkan bahawa orang pertama yang mencipta matawang tersebut adalah Numa atau Cirqus Telius. Kemudian pada tahun 269 sebelum masihi, mereka menggunakan matawang perak. Wang emas yang diberi nama dinarus telah dijadikan asas kepada sistem matawang Rom yang telah dicap pada tahun 268 sebelum masihi. Pernah matawang Rom dicipta dengan ukiran gambar tuhan-tuhan dan pahlawan-pahlawan Rom, sepertimana yang berlaku di zaman Julius Ceasor. Pernah berlaku penipuan dalam matawang Rom dimana kadang-kadang logam emas dicampurkan dengan logam-logam lain, yang akhirnya kurang digunapakai oleh masyarakat.

4) Wang di kalangan masyarakat Parsi
Sejak kerajaan Lydia menguasai Parsi pada tahun 546 sebelum masihi, masyarakat disana mempelajari kaedah mencipta wang dimana nilai wang emas melebihi wang perak dengan nisbah 1: 13.5, yang bererti nilai emas lebih tinggi daripada perak.

Buat pertama kali, wang dicipta berbentuk segi empat, kemudian akhirnya bertukar kepada bentuk bulat yang diukir diatas matawang tersebut ukiran rumah-rumah sembahan mereka serta obor-obor api. Dan matawang yang digunakan secara meluas ialah wang perak tulin sebelum jatuhnya kerajaan Parsi.

(bERSAMBUNG....)

"ISLAM 4 ALL"

Wednesday, April 2, 2008

BOIKOT PRODUK BELANDA!!

Salam Mujahid,
berikut adalah di antara produk-produk keluaran negara Belanda/Holland/Dutch:

BOIKOT PRODUK DARI BELANDA/DUTCH


Dutch Lady - Susu
Ferrero Roche - Coklat
Wall’s - Ais Krim
Ing -Insurans
Planta -Magerin
Lady’s Choice -Magerin
Lipton -Teh
Shell -Minyak
Knorr -Perisa Makanan
Dove -Mandian
Sunlight -Magerin/Pencuci Pinggan
Radiant -Deodoran
Rexona -Deodoran
Ponds -Produk Kecantikan
Kieldsens -Coklat
Slimfast -Produk Pelangsing
Lego -Kismis
Philips -Barangan Elektrik
Duyvis -Makanan Ringan
Gouda -Keju
Robin -Pencuci Lantai/Pakaian
Ariel -Pencuci

Sumber :
http://mygamis.blogspot.com/

P/S:
Pada asalnya, hukum berniaga dengan non-muslim adalah harus. Ini kerana Rasulullah saw juga pernah menjalankan perniagaan dengan kaum Yahudi. Walau bagaimanapun, apabila Islam mula(dah lama dah pun) diperlekehkan oleh sesetengah pihak, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberi pengajaran kepada pihak terbabit agar tidak mengulangi kesalahan yang sama. Di pasaran, banyak terdapat barang gantian kepada produk-produk di atas dan saya yakin tiada masalah sekiranya kita mengambil inisiatif untuk membantu melariskan barangan buatan Malaysia(lebih-lebih lagi jika buatan uamat Islam sendiri). Ini sebagai salah satu jihad yang memerlukan penglibatan semua umat Islam. Hendak angkat senjata, tidak sesuai dengan waqi' semasa. Jadi, semoga ini menjadi salah satu jihad dalam usaha untuk menjaga kesucian agama Allah.

Sekadar pendapat untuk renungan bersama....

"ISLAM 4 ALL"

"HATI TENANG TANPA RIBA"

Saturday, November 10, 2007

Dari mana Modal Perbankan Islam?

Salam Mujahid,

Alhamdulillah, habis paper Pengurusan Dana Islam. Satu subjek yang saya rasa perlu diperhalusi bagi sesiapa sahaja yang 'alert' dengan isu semasa berkaitan dengan ekonomi Islam. Saya terfikir betapa ruginya selama saya belajar 3 tahun dalam koz yang saya amat minati ini tidak difahami dengan sebenar-benarnya, kerana saya sedar tanggungjawab selepas keluar dari kampus amat besar dan sedang menanti di hadapan. Oleh itu persiapan dari segi mental,intelek, fizikal dan rohani amat penting. Untuk itu dan buat permulaan ini, akan saya kongsikan bersama ilmu-ilmu melalui artikel-artikal dan huraian berkaitan dengan ekonomi Islam untuk pemahaman kita bersama, dengan tidak mengesampingkan Ilmu Islam yang lain, InsyaAllah. Saya mengajak sahabat-sahabat sekalian untuk menghayati satu isu berkaitan dengan persoalan yang mungkin timbul di benak sahabat-sahabat sekalian iaitu, 'Dari mana modal permulaan Perbankan Islam? yang ditulis oleh Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman...
Dalam arus pesat pembangunan institusi-institusi kewangan Islam di Malaysia khususnya dan dunia amnya, terdapat beberapa isu yang masih lagi dipertikaikan oleh masyarakat yang mana ia perlu ditangani segera oleh para ilmuwan Islam (Ulama). Antara isu yang kerap ditimbulkan adalah berkenaan modal permulaan bagi bank-bank Islam dan syarikat-syarikat Takaful, terutamanya yang berasal daripada syarikat induk beroreintasikan konvensional. Saya kerap mendengar, ramai yang mempersoalkan “kesucian” modal bank-bank Islam dan Takaful untuk permulaan perniagaan Islam. Ini menyebabkan mereka kerap bertanya : adakah Bank-bank Islam dan Takafuk benar-benar bersih dengan modal yang kotor?

Respon ringkas yang dapat saya berikan tehadap soalan ini adalah seperti berikut:
a) Wang itu sendiri adalah “tidak haram” dalam bentuk fizikalnya tetapi menjadi “haram” disebabkan oleh jalan untuk memperolehinya yang haram (tidak selari dengan kehendak Syariat). (Ahkam al-Mal Al-Haram, Dr Abbas Al-Baz, hlm 265).
b) Modal dan keuntungan asal yang didapati oleh syarikat induk kepada bank Islam bukan kesemuanya berasal daripada perniagaan yang haram. Sebahagiannya adalah datang daripada individu-individu dan organisasi-organisasi kerajaan dan swasta. Justeru, wang modal dari sumber yang halal telah bercampur dengan haram. Walaubagaimanapun, perlu diketahui bahawa modal permulaan bagi bank-bank Islam dan Takaful telah disahkan bersih dan halal oleh syarikat induk.

Jika dilihat di sisi Shariah, terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama, di mana majoriti ulama mazhab Hanafi, Ibn Qasim dari mazhab Maliki, mazhab Hanbali dan Ibn Taimiyah menetapkan bahawa adalah harus melakukan transaksi dengan pemilik modal yang bercampur antara halal dan haram jika majoriti modal itu datang daripada sumber yang halal. Imam Ibn Nujaim pula berkata: “Apabila majoriti daripada jumlah modal atau pendapatannya adalah halal, maka tidak menjadi masalah untuk menerima hadiah dan makan hidangan mereka selama mana tiada sebarang tanda yang jelas menunjukkan ia adalah haram. Bagaimanapun, jika majoriti modal atau pendapatannya adalah haram, maka tidak dapat diterima hadiah dan makanan kecuali setelah disahkan kebersihannya(halal). (Rujuk Ibn Nujaim, Asybah wa An Nazair, hlm 125). Imam Ibn Quddamah pula berkata: “….Jika anda tahu (atau diberitahu oleh orang yang bercampur pendapatannya) bahawa sesuatu komoditi, barang atau makanan itu adalah daripada sumber/modal yang halal, maka ia adalah halal.” (Al-Mughni, 4/334)
Ulama terkenal seperti Imam As-Syawkani dan Al-Muhasibi pula berpendapat bahawa adalah DIBENARKAN SECARA TOTAL untuk bertransaksi dengan pemilik kepada pendapatan yang bercampur antara halal dan haram, sama ada bahagian yang halal dalam modal tersebut adalah majoriti atau minoriti. (Rujuk As-Saylur Jarar, 3/19; Al-Makasib wa al-Rizq al-Halal, ms 116).

Dalil-dalil mereka amat banyak, antaranya (rujuk as-Saylul Al-Jarar, As-Syawkani, 3/19) :-
a) Rasulullah SAW telah bertransaksi dengan para sahabatnya dari kalangan penduduk Mekah sebelum Hijrah, malah juga dengan sebahagian puak-puak Kafir. Tidak pernah di dengari sebarang tegahan Rasulullah SAW untuk berurusan dengan mereka, padahal kebanyakan harta mereka adalah dari sumber haram.
b) Telah sabit bahawa Rasulullah SAW pernah berurusan kewangan dengan rombongan ke Madinah dari kalangan arab badwi yang syirik tatkala itu. Sudah tentu harta mereka dipenuhi segala jenis hasil zalim dan haram.
c) Semasa Nabi SAW berhijrah, baginda berurusan dengan orang Yahudi dari kalangan penduduk Madinah dan arab-arab Badawi yang menghalalkan perkara-perkara haram di dalam Islam. Jika berurusan dengan mereka adalah haram, sudah tentu baginda akan menegah dari awal lagi.
d) Taqir (pengakuan) Nabi dengan membiarkan para sahabat berurusan kewangan dengan kelompok orang zalim juga adalah suatu dalil.
e) Jika Islam membenarkan berurusan dengan kafir yang bercampur haram dan halal hartanya, sudah tentu Islam juga membenarkan urusan kewangan dengan Muslim yang bercampur hartanya.f) Para sahabat Nabi juga berurusan dengan perompak-perompak Madinah di zaman Yazid Bin Muawiyah, tiada di kalangan mereka yang mengharamkan. ( Ihya Ulumiddin, Al-Ghazzali, 2/164)g) Jika muamalah seperti ini dihalang, sudah tentu keadaan yang amat sukar akan berlaku kerana di akhir zaman seperti ini, sememangnya amat sukar bagi mencari sesebuah syarikat yang 100 % halal pendapatannya ( Ahkam al-Mal Al-Haram, Dr Abbas, hlm253 )

Oleh yang demikian, adalah tidak benar untuk mengklasifikasikan keseluruhan modal bank-bank konvensional sebagai haram dan tidak boleh digunakan sebagai modal permulaan bank-bank Islam dan syarikat-syarikat Takaful. Tidak dinafikan bahawa adalah menjadi suatu keperluan yang besar bagi pihak bank untuk memastikan bahawa hanya bahagian yang halal sahaja digunakan dan diasingkan khas untuk penubuhan Bank Islam, Takaful atau bahagian perbankan Islamnya.
Akan tetapi, jika masih terdapat sebahagian kecil/minoriti modal yang haram daripada jumlah keseluruhan modal digunakan sebagai modal permulaan bagi bank Islam, saya berpendapat bahawa ia boleh dianggap sebagai Qard Hasan (pinjaman tanpa faedah) daripada syarikat induk konvensional kepada anak syarikatnya. Berikutan itu, bank Islam bolehlah membersihkan modal yang ragu tadi dengan membayar kembali pinjaman itu selain menggunakan sebahagian keuntungannya untuk didermakan.
Jika anda berpandangan bahawa semua cara di atas adalah tidak dibenarkan juga, maka bagaimana mungkin sebuah bank atau syarikat konvensional beralih kepada sistem Islam tanpa bantuan modal atau kewangan yang mencukupi. Oleh itu, selari dengan Maqasid Shariah, ia harus dibenarkan bagi membolehkan proses pertukaran sistem konvensional kepada sistem Islam dialkukan, walaupun pada permulaannya sebahagian daripada modal yang jelas haram terpaksa digunakan untuk tujuan itu.
Selain itu, Ulama silam juga telah membincangkan berkenaan hukum menggunakan keuntungan yang didapati dari perniagaan halal, bagaimanapun modalnya adalah wang curi atau haram. Dalam hal ini, Imam Malik, Imam As-Shafie, Imam Abu Yusof dan Sheikh Zufar Huzayl bersetuju bahawa pencuri tersebut berhak mendapat bahagian keuntungan daripada pelaburannya walaupun modal asalnya adalah haram, tetapi ia wajib memulangkan kembali wang yang dicuri (wang yang digunakan sebagai modal perniagaannya atau pelaburannya) kepada yang berhak. (Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusyd, 2/241; Rawdah at-Tolibin, An-Nawawi, 4/211; Al-Hawi, al-Mawardi, 7/337). Berdasarkan ijtihad ini, kita berpandangan bahawa bank Islam harus mengambil keuntungan daripada perniagaan/ pelaburan yang dijalankan walaupun pada modal yang digunakan untuk tujuan tersebut terdapat bahagian yang haram. Isu ini harus difahami dengan jelas, terutamanya apabila kekeliruan mengenai perkara ini menyebabkan bank Islam dituduh sebagai tidak Islamik dan lebih buruk lagi, meletakkan bank Islam sama darjat dengan bank-bank konvensional.
Semoga mendapat manfaat dan menambah pemahaman daripada artikel di atas..
wassalam....