Monday, February 11, 2008

Matlamat Hidup Berjemaah...

Salam Mujahid...

Hampir 2 bulan saya tidak buat posting. Kadang-kala sikap malas menguasai diri untuk berbuat kebaikan, padahal dalam keadaan sedar tahu yang ia merupakan tanggungjawab setiap individu muslim. Walau bagaimanapun, alhamdulillah, saya diberi kekuatan untuk berkongsi ilmu dengan sahabat2. Sebenarnya, saya terfikir....selama beberapa tahun memahami Islam yang syumul ini, sudah jelas juga matlamat yang ingin dicapai, tetapi timbul persoalan, adakah aku telah melepasi matlamat pertama hidup berjemaah...apa dia? Iaitu dalam usaha membentuk Peribadi Muslim... Saya teringat dalam satu perjumpaan dengan seorang abang dari K.Kinabalu. Dia menerangkan bahawa matlamat hidup berjemaah ini ada lima. Pertama untuk membentuk Individu Muslim. Kedua, membentuk Keluarga Muslim. Ketiga, membentuk Masyarakat Muslim. Keempat, membentuk sebuah Negara Islam. Dan yang kelima, mewujudkan kembali Daulah islamiyyah yang telah tersungkur sejak hampir 84 tahun yang lalu..Memang inilah matlamat kita hidup berjemaah. namun dalam Risalah Taalim,Imam Hassan al-Banna menggariskan 7 matlamat...

Lima matlamat ini amat jelas dan amat mudah difahami oleh insan biasa. Namun memerlukan perlaksanaan yang serius. Daulah Islamiyyah yang diidam-idamkan tidak akan menjadi realiti selagi mana tidak terbentuk individu-individu yang mempunyai semangat jihad yang tinggi. Para pejuang Islam yang ikhlas amat-amat diperlukan sebagai pendukung gerakan Islam yang benar. Tidak guna sistem yang cantik, teratur dan mempunyai pimpinan yang hebat, jikalau tanpa petugas, penggerak atau para amilin yang punyai semangat jihad yang tinggi, berilmu pengetahuan yang mantap, dan tidak mudah berputus asa atas segala mehnah dan tribulasi yang melanda. Memang senang untuk diperkatakan tentang mehnah dan tribulasi, namun sebagai petugas Islam, kita tidak dapat lari dari berhadapan dengannya. Tambahan pula, dalam konteks sebagai mahasiswa, kita berhadapan dengan cabaran seperti masalah kewangan, 'assignment' atau akademik secara umumnya, ukhwah dikalangan sahabat, muslimat, halangan keluarga dan juga kecelaruan dari segi penetapan matlamat diri dan hidup berjemaah. Semua cabaran ini, pasti akan dihadapi oleh seseorang individu yang dipilihNya untuk ditangani dengan penuh hikmah dan bijaksana. Sedar atau tidak, ujian-ujian tersebut sebenarnya akan mematangkan kita agar lebih bersedia menghadapi hari-hari mendatang. Dengan syarat,kita hadapinya de3ngan penuh tabah dan mengharap petunjukNya.

Kembali kepada matlamat pertama tadi iaitu membentuk Individu Muslim. dalam proses membentuk individu muslim, seseorang daie perlu tahu, apa yang sebenarnya hendak digilap agar menjadi seorang individu muslim yang diredhaiNya. Pertama sekali dari segi aturan masa, adakah telah digunakan semaksima mungkin untuk agama Allah? Kehidupan mahasiswa yang memegang panji agama Allah adalah berbeza dengan mahasiswa biasa. Ia memerlukan strategi lain daripada mahasiswa biasa dalam konteks akademik dan cara hidup. Pergantungan dan keyakinan pada Allah mengatasi segala-galanya. Pengurusan masa yang teratur amat perlu dalam kehidupan sebagai mahasiswa mujahid. Selain itu, kemahiran-kemahiran atau dewasa kini disebut 'softskill' perlu digilap untuik memastikan dakwah yang didukung dapat disampaikan dengan jayanya. Kemahiran berorganisasi, berpidato, menulis, dan berdebat perlu dipelajari oleh setiap mahasiswa yang bergelar mujahidin. Sikap berlapang dada perlu ada agar kita tidak merasa tertekan dengan sikap mad'u yang masih belum menerima hidayah,juga dalam berhadapan dengan kerenah sahabat-sahabat. Ini bagi memastikan agar kita sentiasa beringat bahawa kita hanya berusaha dan hanya Allah yang berhak memberikan hidayah. Satu lagi perkara pokok bagi seorang mahasiswa mujahid perlu ada ialah sikap minat membaca. Ini perlu ditanam dalam diri para mujahid muda pada hari ini. Ilmu amat penting dalam berdakwah. Isu-isu semasa perlu diketahui oleh para mujahid muda, berkaitan dengan prihal politik dalam dan luar negara, nasib umat islam, dan keadaan semasa gerakan-gerakan Islam di luar sana. Juga tidak lupa pencapaian-pencapaian gerakan Islam dalam usaha mereka merealitikan Islam dalam kehidupan manusia. Isu-isu ini kemudiannya perlulah dikongsikan bersama dengan sahabat-sahabat sama ada di dalam usrah atau sebarang perjumpaan. Pendek kata, seorang Individu muslim haruslah 'alert' dengan isu-isu semasa masyarakat dalam dan luar negara, pandai mengatur masa, tidak mengenepikan akademik sebagai kewjipan menuntut ilmu agar Islam dapat dibela pada masa akan datang, juga pandai berorganisasi, amanah dalam melakukan tugas dan banyak lagi aspek-aspek positif yang diperlukan oleh seorang da'ie. Ini semua perlu dipelajari dengan bersungguh-sungguh selama mana masih berada dikampus. Walau bagaimanapun, ia tidak terhenti dikampus, malah akan berkesinambungan hingga ke akhir hayat dalam usaha memperbaiki diri.

mungkin setakat itu dahulu untuk masa ini...ia hanyalah sedikit perkongsian ilmu dan sedikit coretan pengalaman yang tidak seberapa. yang baik jadikan ikutan dan yang tidak baik, jadikan iktibar...Redha Allah jua yang kita cari.....

No comments: