Thursday, November 8, 2007

Semangat yang merangsang jiwa...

Golongan muda merupakan satu golongan yang amat mudah dipengaruhi keadaan persekitaran. Maka tidak hairan jika dikatakan bahawa golongan muda adalah sebahagian daripada masyarakat yang mampu membuat satu pembaharuan kepada masyarakat kerana mereka mempunyai idealisma yang tinggi. Perlu difahami di sini bahawa yang dimaksudkan 'mempunyai idealisma yang tinggi' bukanlah bermakna satu angan-angan kosong yang tidak berasas, akan tetapi ia merupakan buah fikiran yang lahir daripada keilmuan yang dimiliki oleh seseorang pemuda itu hasil daripada pembelajaran melalui pengamatan mereka terhadap ilmu, sama ada melalui pendidikan secara formal (seperti di dewan kuliah), pengalaman hidup, pergaulan rakan sebaya dan masyarakat sekitar, mahupun majlis-majlis keilmuan yang mereka hadiri(usrah, ceramah, seminar dll.). Ini semua boleh memberi kesan kepada cara berfikir seseorang pemuda itu. Di dalam Islam, proses tarbiyyah (pendidikan) merupakan proses yang perlu berlangsung secara berterusan. Melalui tarbiyyah Islamiyyah, seseorang pemuda itu dapat mengenal ilmu-ilmu yang dipelajari dalam konteks untuk mendekatkan diri pada Allah. Daripada tarbiyyah yang dimiliki oleh seseorang pemuda, ia mampu melahirkan satu anjakan paradigma dalam diri mereka untuk memperjuangkan apa yang mereka yakini.
Di sini, fokus diberikan kepada semangat pemuda Islam yang perlu wujud dalam jiwa pemuda untuk memastikan agar satu hari nanti, apa yang diyakini mereka akan menjadi realiti di hadapan mereka. Jika tidak sekali pun, ia mampu menjadikan diri mereka sebagai penyumbang kepada kegemilangan Islam pada masa akan datang. Salah satu sistem yang masih releven dan diguna pakai sehingga kini ialah sistem perjalanan Usrah. Usrah merupakan nukleus asas dalam melahirkan para pejuang Islam. Ia telah tercatat di dalam sejarah sebagai sistem yang dapat melahirkan pejuang-pejuang Islam yang berkualiti tinggi. Ini terbukti dengan lahirnya para sahabat Nabi saw yang mempunyai keimanan yang mendalam, semangat juang yang tinggi, dan keazaman yang utuh dalam memperjuangkan apa yang mereka yakini iaitu 'aqidah Islamiyyah' agar tertegak diserata dunia. Peranan ini dimainkan oleh Nabi saw selaku Naqib kepada para sahabat (ahli Usrah). Melalui Usrah ini, para sahabat dapat mengenal Islam secara teori dan seterusnya mengaplikasikan dalam kehidupan mereka sehingga terbentuklah ketamadunan Islam bersendikan 3 sendi Islam iaitu aqidah, ibadah, dan akhlak.
Persoalannya, adakah Usrah yang dijalankan ketika ini memberi impak yang besar kepada pembentukan pemikiran para pemuda Islam yang menyertainya? Inilah yang perlu difikirkan agar produk-produk yang bakal memperjuangkan Islam merupakan produk-produk yang berkualiti tinggi. Kajian demi kajian perlu dilakukan untuk memperbaiki mutu perjalanan usrah. Menurut sebuah buku yang bertajuk 'Usrah dan Perlaksanaannya' terbitan PAS Negeri Kedah, terdapat empat faktor yang mempengaruhi kejayaan dalam perlaksanaan sesuatu usrah iaitu Nuqaba', mauduk usrah, ahli usrah, dan perjalanan usrah. Empat faktor ini perlu diberi penelitian agar usrah dapat mencapai matlamatnya iaitu untuk melahirkan insan yang memahami Islam yang syumul dan dapat mengaplikasikan ia dalam kehidupan seharian sama ada berbentuk pengurusan diri atau pengurusan sistem.
Kepada adik-adik yang menyertai Usrah, teruskan menghadirinya kerana di sana terdapat banyak manfaat. Hidupkan suasana usrah dengan diskusi-diskusi yang berbentuk ilmiah untuk dikongsikan bersama sahabat-sahabat lain yang hadir. Percaya dan yakinlah bahawa Islam akan kembali gemilang satu hari nanti apabila lahirnya para mujahid yang benar-benar ikhlas dan benar-benar memahami apa yang diperjuangkan. Melalui semangat-semangat muda yang adalah, insyaallah, bakal merangsang jiwa untuk sedia berkorban untuk Islam, tidak kira dari segala aspek sekali pun, seperti mana yang terkandung dalam firman Allah swt yang mafhumnya:
"Sesungguhnya Allah telah membeli jiwa-jiwa dan harta benda orang mukmin dan dibalasi dengan syurga"(surah an-Nahl:89)
Ini lah juga harapan kita agar kita sama-sama bersedia untuk mewakafkan diri dan harta benda ke jalan Allah....
Ok...cukup sekadar ini dahulu....nak sambung 'study' Pengurusan Dana Islam'...
Esok 'exam'.....semoga Allah permudahkan urusan kita...
wassalam...

No comments: