Tuesday, March 18, 2008

Masjid sebagai Pusat Penyebaran Ilmu tanpa takut

IPOH, 18 Mac (Hrkh) - Menteri Besar Perak yang baru, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, dalam ucapan sulungnya ketika menyampaikan tazkirah di Masjid Negeri mahu masjid di seluruh negeri ini menjadi tempat pengembangan ilmu dengan lebih berkesan tanpa rasa bimbang dan takut dengan sebarang ugutan.

Menurut beliau, selama ini masjid dibelenggu dengan perasaan bimbang untuk menyampaikan ilmu Islam secara terus terang, ini menyebabkan masyarakat Islam tidak mendapat maklumat yang sebenarnya.

Selepas upacara angkat sumpah Menteri Besar di Istana Iskandariah pada malamnya Ir Mohammad Nizar menunaikan solat maghrib dan menyampaikan tazkirah di Masjid Negeri Perak.

“Para pendakwah di seluruh negeri perlu meningkatkan usaha menyebarkan ilmu Islam tanpa rasa bimbang dan takut, yang penting mereka perlu menyampaikan ilmu Islam kepada seluruh masyarakat Islam agar rakyat khususnya umat Islam memahami ajaran Islam yang sebenar,” ujar beliau.

Beliau berharap para pendakwah dan jawatankuasa masjid menerima kemenangan Barisan Rakyat dengan mempertingkatkan lagi penyebaran ilmu menerusi masjid dan surau.

Menurut beliau, gejala murtad, keruntuhan moral generasi belia hari ini antara lain disebabkan ruang untuk menyebarkan ilmu mendapat sekatan untuk disampaikan di masjid.

Oleh itu kemenangan Barisan Rakyat pada pilihan raya umum 8 Mac lalu adalah untuk membebaskan masjid daripada kongkongan pihak tertentu agar usaha menyebarkan ilmu Islam dapat dijalankan dengan lancar dan baik.

Hadir sama di majlis itu Imam Besar Masjid Negeri, Dato’ Sheikh Mohamad Nor Mansur Al-Hafiz dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak Dato’ Jumri Suri. - mns

Ulasan: Berdasarkan jaminan daripada MB Perak ini, saya yakin ilmu Islam akan dapat difahami dan dihadam oleh umat Islam di Perak. Yang lebih penting sekarang ialah supaya medium-medium tarbiyah yang wujud dan pelbagai dapat dimaksimakan penggunaannya sebagai medan untuk membentuk Modal Insan menurut acuan Allah…Insyaallah…

No comments: