Saturday, August 16, 2008

Perbaiki Uslub, Sayangi Mad'u

Salam Mujahid,


'Budak masjid tu asyik tahu kutuk orang je!"

"Ingat dia tu alim sangat ke! Dia pun sama jer macam aku, nak tegur-tegur aku!"

"Ingat masjid tu Diorang punyer ke?! Nak halau-halau orang pulak... Buat je la 'meeting' tu...Bukan aku nak dengar pun"

Ini antara keluhan yang saya dapat daripada sahabat-sahabat yang terdekat tentang pandangan mad'u terhadap yang mengaku pejuang Allah. Jiwa mahasiswa Islam yang cintakan Islam dan ingin membawa perubahan masyarakat untuk menjadikan islam sebagai cara hidup tidak pernah sesekali luntur jika mereka benar-benar ikhlas. Tetapi ada beberapa perkara yang mesti di ambil serius dalam usaha merealisasikan hasrat melihat terbentuknya masyarakat yang menjadikan Islam sebagai cara hidup.

USLUB

Bab uslub dakwah menjadi suatu yang amat penting untuk dihadam oleh para duat dalam menyampaikan risalah Allah. Kesilapan dalam memahami sikap dan latar belakang mad'u mampu membawa malapetaka besar dalam gerak kerja dakwah Islamiyyah. Akibatnya, sambutan dakwah Islam menjadi hambar dan tidak mendapat sambutan. Dan pada ketika itu, timbul suara-suara atau pendapat-pendapat yang mengatakan inilah sunatullah dalam perjuangan, bila kebenaran disampaikan, orang yang tidak faham menolak. Seterusnya, mereka ini menjadi musuh ketat kepada mad'u. Pada saya, ini merupakan salah faham yang besar dalam kerja menyampaikan dakwah Islam sekiranya dakwah yang dilakukan itu tidak mengikut sunatullah yang menghendaki uslub yang terbaik dan penuh hikmah dalam memastikan risalah dakwah dapat menyerap ke dalam hati mad'u(tanpa mengabaikan kesilapan dalam berdakwah kerana ia merupakan tarbiyah dan perlu diperbaiki pada masa akan datang).

PROMOTE PRODUK YANG KITA ADA

Tidak dinafikan, setiap kali para duat berdakwah, bukan dalam satu masa mad'u akan ikut apa yang kita hendak sampaikan walaupun apa yang kita sampaikan itu adalah jalan ke syurga! Siapa yang tidak mahu syurga? Situasi ini bolehlah diibaratkan dengan seorang ahli perniagaan yang sedang menjual produknya yang terbaik, yang tiada kelebihan produknya pada produk-produk yang ditawarkan syarikat lain. Memang wujud pelanggan yang hanya sekali penerangan, mereka ini akan 'terpikat' dan membeli produk yang ditawarkan. Walau bagaimanapun, tidak boleh dikesampingkan kewujudan para pelanggan yang agak liat atau agak susah untuk 'dipikat' membeli produk yang ditawarkan. Dari situ beberapa teknik penjualan produk akan digunakan untuk menambat hati bakal pelanggan berpotensi tersebut. Selepas beberapa kali mempromosikan barang dengan kaedah atau teknik yang berbeza, barulah mereka bersedia membeli dengan rela hati tanpa paksaan(tapi berjaga-jaga...jangan memaksa pelanggan membeli produk kerana ia boleh bawa impak negatif...begitu juga dalam dakwah).

Apa yang hendak ditekankan di sini ialah, belajar dari kesilapan dalam mendekati mad'u. Untuk belajar dari kesilapan, mahasiswa Islam perlu terjun ke medan tersebut, selepas itu baru tahu apa yang hendak diperbaiki. Dari pengalaman tersebut, bila berhadapan dalam situasi yang sama buat kali kedua, pengalaman yang lepas dapat dijadikan pengajaran dan kaedah baru dapat digunakan. 'Produk' kita indah dan yang terbaik, tapi tidak dapat 'dijual'(diterima mad'u) kerana penyampaian kita yang tidak menarik. Ini semua menghendaki para duat meningkatkan diri berkenaan dengan ilmu dakwah. Antara buku yang di syorkan ialah Jalan ke Hati, karangan Ustaz Abbas As-Saisi dan Dasar-Dasar Dakwah (Jilid 1 & 2), karangan Ustaz Abdul Karim Zaidan. Saya pernah mengesyorkan buku-buku ini dalam artikel saya yang lepas. Tapi tidak salah untuk saya peringatkan semula untuk tatapan sahabat-sahabat pembaca.Ini hanya di antara buku-buku yang ada. Sebenarnya banyak lagi buku-buku yang berkaitan dengan cara berdakwah. Sahabat-sahabat boleh rujuk kepada yang lebih arif.

SAYANGI MAD'U

Biarlah apa yang mereka perkatakan tentang kita. Mungkin benar persepsi mereka dan mungkin juga salah. Semua kenyataan negatif yang keluar dari bibir mereka adalah muhasabah buat diri kita. Di pihak para duat, mereka itu tetap sasaran mad'u kita. sesuatu perlu dilakukan untuk 'menarik hati' mereka agar dapat terima dakwah kita. Mereka tidak boleh dibiarkan dengan persepsi negatif meraka, kerana jika berterusan, persepsi tersebut boleh membuatkan hati mereka tawar untuk mencari hidayah. Sayangi mereka, dekati mereka. Mereka tidak tahu dan perlu diberitahu dengan cara yang terbaik. Jauhi prasangka kerana banyak prasangka yang wujud adalah salah.

Teruskan berdakwah tanpa putus asa. Timba pengalaman melalui 'terjunan' yang dilakukan. Jadikan diri bermanfaat untuk semua... Jangan disebabkan kesalahan kita menyampaikan Islam dengan cara yang tidak menarik, menyebabkan mad'u semakin menjauhi islam. Terus perbaiki uslub dan teruskan menyebarkan Risalah Allah....

"FAHAMI MEREKA SEBELUM DIFAHAMI"

No comments: