Sunday, May 11, 2008

Permulaan Cuti Yang Menyedihkan

Salam Mujahid,

Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya menjejakkan kaki ke bumi Semenanjung Malaysia lebih kurang jam 1.00 petang di LCCT. Selepas sahaja solat di LCCT, saya mengambil bas ke KL Sentral sebelum ke rumah nenek di Puchong. Kalau saya balik Perak terus, alamatnya tak ke rumah neneklah jawabnya nanti. Jadi, sebaik sahaja tiba di KL, selalunya saya akan ke rumah nenek sebelum balik Perak.
Ukhwah antara Muslim
Selalaunya bila saya ke rumah nenek, saya akan jadikan Masjid Abdul Rahman bin 'Auf yang terletak diseberang jalan, berhadapan dengan rumah nenek untuk menunaikan solat. Kali ini saya menziarahi masjid itu, saya melihat sikap sesama muslim bersaudara yang kelihatan tidak mesra antara satu sama lain. Kalau di imbas kembali, mungkin kita akan sedar bagaimana rasanya rupa ahli jemaah sewaktu bersalaman dengan ahli jemaah yang lain. Kelihatan muka yang masam, tangan dihulur tapi mata ke arah lain, salam sesama saudara dalam keadaan seolah-olah 'acuh tak acuh' dan pelbagai lagi ragam ketika bersalam sesama ahli jemaah. Ringkasnya, kelihatan sebahagian besar daripada umat Islam kini seolah-olah tiada rasa kasih sayang diantara saudara seaqidah yang lain, walaupun mereka tidak pernah berjumpa. Saya faham, tidak adil rasanya kalau saya katakan mereka tidak sayang sesama muslim, mungkin mereka sedang menanggung masalah pribadi yang sangat dahsyat, tapi berat sangat kah untuk mengukir senyuman ketika bersalaman dengan sesama muslim walau tidak kenal? Susah sangatkah menunjukkan rasa menghargai sesama muslim dengan memandang muka saudara yang disalami? Padahal Rasulullah saw sentiasa memaniskan muka dengan para sahabatnya. Ini keadaan paling dekat, iaitu ketika solat. Belum lagi dinilai sikap saudara sesama muslim di tengah jalan seperti di Masjid Jamek, sekitar PWTC dan lain-lain tempat(ini tempat yang saya pergi untuk cari bahan bacaan dan berjalan). Saya terfikir, adakah mereka mempunyai rasa sayang sesama setiap muslim ditengah jalan sebagaimana mereka sayang ahli keluarga mereka? Tiada jawpan pada saya. Jawapan hanya ada pada yang membaca nukilan ini dan saudara sesama muslim diluar sana sama ada mempunyai rasa sayang sesama muslim dengan sebenar-benar sayang atau tidak. Tidak cukup hanya ada sayang sekadar melalui percakapan, tapi mestilah ditunjukkan melalui perbuatan.
Harapnya generasi baru pada masa ini yang sedar tentang perlunya kebangkitan Islam, ayuh kita tanamkan rasa sayang sesama muslim. Ayuh kita perbetulkan sikap kita dan cara berfikir kita(mind setting) terhadap saudara-saudara kita yang sedang hanyut dalam kelalaian. Tanamkan rasa sayang dengan mereka dan kita sama-sama fikirkan jalan penyelesaian untuk bantu mereka menggapai kasih Allah. Bukan mereka tak mahu kebaikan, cuma mereka terpengaruh dengan rakan-rakan dan tiada pembimbing. Janganlah kita selalu menghentam tanpa fikir untuk bantu mereka. Juga saya mengharapkan diri saya dan sahabat-sahabat yang lain supaya memaniskan muka ketika bersalaman sesama muslim dan memandang muka ketika bersalaman sesama muslim. Kita kena ingat bahawa kita bersalam dengan manusia yang ada perasaan. Syaitan takkan berdiam diri untuk menghasut dan menanamkan rasa sangsi dan buruk sangka pada saudara kita terhadap kita jika kita sendiri cuai dalam menjaga persahabatn dan sesama muslim. Sama-sama kita muhasabah diri di mana tahap ukhwah kita sesama muslim. Mungkin ini faktor akibat saudara Islam diluar sana menderita, tapi kita seronok bersuka ria memanjang tanpa usaha untuk membantu mereka dengan bersungguh-sungguh. Kalau saudara sesama muslim yang dihadapan kita pun kita seolah-olah tidak hargai, apatah lagi saudara semuslim di luar negara seperti di Palestin, Eropah dan sebagainya.
Tajamkan fikrah Islamiyyah
Waktu cuti adalah waktu untuk rehat bagi mahasiswa biasa. Ia juga adalah waktu untuk melancong atau bekerja mencari duit bagi mengisi poket. Bila sudah berada di alam mahasiswa, sudah wujud rasa mahu berdikari sepenunhnya tanpa bantuan ibu dan ayah. Sudah wujud juga keberanian untuk menzahirkan identiti tersendiri yang mungkin agak berbeza dengan orang lain. Bagi seorang mahasiswa Islam, semua ini mungkin menjadi sebahagian dari apa yang difikirkan. Malah sebenarnya, Mahasiswa Islam perlu tambah lagi tanggungjawab iaitu untuk memantapkan atau menajamkan lagi fikrah Islamiyyah. Masa yang ada perlu diisi dengan menghadiri majlis-majlis ilmu sama ada dimasjid berdekatan atau dimana-mana sahaja. Yang pasti, wajibkan diri mendapat pengisian rohani setiap minggu paling kurang sehari. Tapi lagi kerap, lagi bagus. Selain itu, Mahasiswa Islam atau ahli gerakan islam perlu banyakkan membaca. Tambahkan ilmu melalui pembacaan. Isu-isu semasa perlu sentiasa di 'up date' agar tidak ketinggalan dan sentiasa memikirkan strategi yang perlu dilakukan untuk memperbetulkan fahaman masyarakat terhadap Islam yang benar.
Harapannya, bila buka semester baru nanti, mahasiswa Islam akan mempunyai semangat baru dan hadir dengan fikrah yang jelas berkaitan dengan perjuangan yang didukung. Seterusnya dapat memberi komitmen dengan bersungguh-sungguh untuk bekerja untuk Islam dan belajar bersungguh-sungguh dalam bidang akademik. Semua ini dilakukan hanya untuk Islam. Hindarkan diri seboleh-bolehnya dengan menjadikan amal Islami sebagai penyebab kepada kejatatuhan akademik, padahal sebenarnya ia berkaitan dengan kelemahan diri kita dalam menguruskan masa dan diri.
Sebenarnya hati tertanya-tanya, bila Islam akan tertegak selagi mana umat Islam sendiri tidak mempunyai rasa kasih sesama saudara semuslim? Bila Islam akan tertegak kalau umat Islam memandang 'enteng' bab-bab ilmu yang sebenarnya adalah senjata yang ampuh selain doa untuk berhadapan dengan musuh Islam?
Semoga cuti kali ini dapat memberikan manfaat kepada mahasiswa islam dan seluruh mahasiswa am nya. Nukilan ini sekadar pendapat atau pandangan peribadi terhadap sesuatu isu yang dilihat berlaku dalam masyarakat dan untuk kita bermuhasabah diri.
Selamat bercuti....
"ISLAM 4 ALL"

No comments: