Tuesday, May 6, 2008

Tarbiyyah Amaliyyah


Rasulullah SAW mendidik para sahabat sebagai pendokong Islam bukan penyokong. Baginda membina ummah bukan membangunkan falsafah. Baginda berjaya dalam mendidik, sehingga keimanan Generasi Sahabat itu lahir dalam bentuk amali (praktik) hidup. Apabila Islam berhajatkan pengorbanan maka berlumba-lumba sahabat-sahabat menginfaqkan apa yang ada; dari harta kekayaan hinggalah sebiji kurma. Apabila Islam memerlukan para mujahid maka berlumba-lumba sahabat-sahabat menawarkan diri hinggakan tidak ada tolak ansur antara anak dan ayah; masing-masing ingin berjihad bersama Rasulullah SAW.

Generasi yang telah terdidik dengan tarbiyyah amaliyyah inilah yang dikeluarkan ke tengah masyarakat manusia yang menghuraikan Islam secara amali dan menjadi contoh kepada Aqidah yang mereka dakwahkan. Islam tidak hanya mengemukakan teori semata-mata dalam membentuk keperibadian Muslim tetapi ia membawa mereka ke jalan yang praktik (amali). Rasulullah s.a.w tidak semata-mata mendidik atau mengasuh para sahabat baginda di rumah Arqam bin Abi Al Arqam, tetapi baginda membawa jamaah sahabat itu keluar bersama-sama baginda mencabar segala fikiran dan kepercayaan masyarakat ketika itu. Akhirnya mereka menghadapi tentangan hebat dari masyarakat yang mengamalkan cara hidup Jahiliyyah.

Generasi yang terdidik dengan didikan Rabbani ini keluar membawa contoh-contoh aqidah dan bergaul dengan masyarakat dengan wajah-wajah keimanan hingga berduyun-duyun manusia menyertai kafilah dakwah ini. Kumpulan yang telah dilatih dan dibangunkan jiwa tauhid ini tidak lagi terpengaruh atau dipengaruhi oleh nilai tamakkan dunia. Malah hanya bercita-citakan keredhaan Allah s.w.t semata-mata. Kumpulan ini ketika mana mendengar panggilan Iman kepada Allah s.w.t dan kepada Rasul Nya, mereka merasakan kehidupan Jahiliyyah sudah tiada nilai lagi dan tidak lagi memberi kesan terhadap mereka. Jiwa mereka memberontak ketika berada di dalam cengkaman Jahiliyyah. Jiwa mereka tidak sabar-sabar lagi untuk pergi menyahut panggilan Iman kepada Allah s.w.t dan Rasul Nya. Setelah keyakinan tauhid benar-benar menguasai jiwa mereka, mereka terus menghulurkan tangan untuk mengikat janji setia dan penyerahan sepenuhnya dengan lafaz:- “Aku bersaksi bahawa Tiada Illah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah Pesuruh Allah”
Mereka menyerah jiwa raga mereka di bawah perintah Rasulullah s.a.w pada hal mereka mengetahui benar bahawa jiwa mereka diancam, hidup mereka tergugat dan mereka akan menghadapi berbagai kesulitan dan kesusahan untuk sampai kepada matlamat tersebut. Tetapi kumpulan yang dididik dan diasuh oleh Rasulullah s.a.w dengan al Quran al Karim ini memahami dan menyakini akan realiti tersebut. Firman Allah s.w.t terjemahannya :

“Alif laam miim. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan : Kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji lagi ? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
( Surah al’Ankabuut : 1-3 )

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan ) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu ?. Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman : Bilakah datangnya pertolongan Allah ? Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”
(Surah al Baqarah : 214 )

Segala kesulitan, kesusahan dan pahit getir perjuangan dan jihad di Jalan Allah s.w.t yang mereka tempuhi itu tidak sesekali melemahkan Iman mereka. Malah mereka kian bertambah yakin dan bertambah tabah menghadapi apa yang mereka sifatkan sebagai ujian dari Allah s.w.t. Ini dapat dilihat di dalam al Quran al Karim di dalam firman Allah s.w.t terjemahannya:-

“Dan tatkala orang-orang mu’min melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata : Inilah yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul Nya kepada kita. Dan benarlah Allah dan Rasul Nya . Dan yang demikian itu tidaklah menambahkan kepada mereka kecuali iman dan ketundukan.”
( Surah al Ahzab : 22 )

Begitulah Rasulullah s.a.w mengasuh jiwa mereka dengan al Quran al Karim, mendidik hati nurani mereka dengan Iman, mengajak mereka mematuhi Allah dalam melaksanakan segala kewajipan yang diwajibkan oleh Allah s.w.t. Dengan didikan demikian maka kian bertambah tinggilah jiwa dan hati mereka, bertambah luhurlah akhlaq mereka dan kian bertambah bebaslah mereka dari kekuasaan kebendaan dan rintihan hawa nafsu yang menyesatkan dan terpancarlah rasa cintakan Allah s.w.t, Pencipta langit dan bumi serta segala sesuatu yang berada di dalamnya. Rasulullah s.a.w juga mengajar mereka bersabar menghadapi kesusahan, mengajar mereka mengawal jiwa mereka yang pernah benar-benar terlatih dengan peperangan semasa Jahiliyyah seolah-olah mereka dilahirkan bersama-sama pedang. Mereka dihidup di zaman yang tidak pernah sunyi daripada peperangan dan pertumpahan darah, seperti peperangan Basus, Dahit dan peperangan Ghabra. Begitu juga dengan peperangan al Fijar belum lagi sejuk dan masih terasa bahangnya. Tetapi Rasulullah s.a.w melalui asuhan dan didikan al Quran al Karim mengikut proses yang ditentukan oleh Allah s.w.t membendung jiwa peperangan dan semangat kebangsaan dengan arahan baginda yang bermaksud :- “Hentikanlah kekerasan dan dirikan solah”
Maka secara patuh mereka menghentikan peperangan dan kekerasan serta bersabar dalam menghadapi siksaan Kuffar Quraisy. Ini bukanlah kerana lemah dan takut. Sejarah tidak pernah mencatatkan bahawa seseorang Muslim di tahap Makkah pernah mempertahankan diri dari kezaliman Quraisy dengan senjata meskipun ia berkemampuan untuk berbuat demikian. Inilah suatu sifat kepatuhan dan ketaatan kepada kepimpinan hasil daripada pembentukan Rasulullah s.a.w mengikut proses yang ditentukan oleh Allah s.w.t yang tidak ada tolok bandingnya di dalam sejarah kemanusiaan.

Dengan roh tauhid dan keImanan, dengan pengajaran Nabi yang sempurna, dengan pendidikan yang teliti dan bijaksana, dengan peribadi Rasulullah s.a.w yang luarbiasa dan dengan Kitab suci al Quran al Karim yang dipenuhi dengan mukjizat, maka Rasulullah s.a.w dapat membangunkan kehidupan yang baru kepada Generasi Pertama dahulu dan mengangkat kembali nilai kemanusiaan yang hampir musnah. Kemudian Rasulullah s.a.w meletakkan di tempat yang sewajarnya untuk mengisi hidup baru kepada kemanusiaan.
Hasil dari usaha-usaha Rasulullah s.a.w yang gigih lahirlah peribadi Muslim seperti Abu Bakr as Siddiq yang terkumpul pada sifat-sifat terpuji. Orang dahulunya tidak pernah menyangka dan tidak pernah disangka akan menjadi orang yang pertama meneruskan amanah Allah s.w.t yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w untuk memimpin manusia ini ke matlamat yang suci murni. Lahir juga peribadi Muslim seperti ‘Umar al Khattab yang dahulunya mengembala unta bapanya, al Khattab, meskipun padanya terdapat sifat-sifat tegas dan berani tetapi tidak pernah menyediakan tapak untuk meletakkan ke tempat yang tinggi dan tiada siapa yang menyangka dengan pimpinan dan didikan baginda Rasulullah s.a.w tiba-tiba ‘Umar muncul menggemparkan alam ketika itu dengan kepintaran dan ketegasannya serta keberaniannya dapat merobohkan singgahsana Kaisar Romawi.

Juga lahir peribadi-peribadi seperti ‘Ali bin Abi Talib, ‘Aisyah, Ibn Mas’ud, Ibn ‘Abbas, Ibn ‘Umar, Zaid bin Thabit, sebagai tokoh-tokoh ulama yang tiada bandingannya dari dahulu hingga sekarang dan mungkin juga di masa akan datang. Mereka ini adalah hasil daripada latihan dan didikan Madrasah Rasulullah s.a.w. Inilah satu revolusi pembentukan peribadi yang luarbiasa dan satu-satunya yang pernah berlaku di dalam sejarah kemanusiaan dan hingga kini revolusi seumpama itu tidak berulang kembali. Revolusi yang menghasilkan kumpulan Mu’min sejati tampil mengepalai kepimpinan alam ke arah kesejahteraan dengan sifat-sifat kepimpinan yang tinggi dan mulia bagi menjamin kesejahteraan dan kejayaan manusia di bawah kepimpinan tersebut.

Sumber: http://muflihun.com/node/186

P/S: Saya terfikir, boleh ke generasi yang diceritakan seperti di atas dapat 'dibangunkan semula'? Generasi yang berjiwa kental dan sanggup berkorban apa sahaja untuk Islam. Tanpa langsung fikirkan tentang diri sendiri..Adui...diri yang menulis pun masih jauh dari sifat-sifat di atas...tapi rindu rasanya ingin melihat generasi yang sedemikian rupa...Tatkala Islam memerlukannya, dia lantas bersedia. Segala program untuk membangunkan generasi seperti di atas, sentiasa dia hadiri atas dasar kefahaman dan kesungguhan untuk perbaiki diri. Jiwanya selalu dahagakan ilmu dan kasih sayang Allah..Semangat sentiasa membara dan dipandu oleh iman dan taqwa pada Allah dalam usaha untuk menyebarkan risalah Allah dimuka bumiNya...semoga kita tergolong dalam golongan yangs sentiasa mengislah diri dan sentiasa komited untuk mendaulatkan Islam...Ayuh kita lahirkan kasih sayang kita pada Allah dan Islam dengan melaksanakan perintahNya dan meninggalkan laranganNya...

"ISLAM 4 ALL"

No comments: