Wednesday, May 14, 2008

Murtadnya Siti Fatimah Tan - Antara Kebimbangan dan Strategi

Ekoran dari keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang yang membenarkan Siti Fatimah Tan Abdullah keluar Islam, berbagai-bagai pihak mengambil sikap yang berbeza.
Ada sebilangan yang mengambil sikap menentang tindakan Mahkamah tersebut, samada secara jelas atau secara "sinis", lantaran bimbang berlaku kejadian yang sama terhadap saudara-saudara baru yang lain.
Dan ada pihak yang lain pula, menganggap tindakan Mahkamah itu adalah tindakan yang bijak, memandangkan dimasa akan datang, sudah pasti Non Muslim juga akan berani berinteraksi dengan Mahkamah Syariah, yang dengan itu Mahkamah Syariah menjadi kuat dan mempunyai kedudukan yang sama taraf dengan Mahkamah sivil.
PANDANGAN TOKOH POLITIK

Merujuk kepada artikel tulisan Saudara Roslan SMS dalam mengulas isu ini[1], beliau mengemukakan beberapa ulasan dari tokoh politik, yang antaranya adalah seperti berikut;
Presiden MCA, Ong Ka Ting;
"Ianya merupakan HAK Siti Fatimah untuk memeluk Islam sebagaimana beliau juga BERHAK untuk kembali ke agama asalnya. Ianya adalah sesuatu bagi beliau untuk memutuskan dan bukan pihak lain"
Dalam ulasan Roslan, beliau menggambarkan kebimbangan disebalik kenyataan Ong Ka Ting. Ini kerana, dengan kenyataan ini menggambarkan disana akan wujud satu suasana bahawa urusan masuk dan keluar Islam adalah hak yang wajib diberikan kepada mereka.
Disamping itu, Timbalan Presiden PAS iaitu Ustaz Nasaruddin Mat Isa juga ada mengeluarkan kenyataan, iaitu seperti berikut;
"Tindakan keluar dari Islam dilarang sama-sekali melainkan seseorang itu dipaksa memeluk Islam. Sekiranya seseorang memeluk Islam atas kerelaannya sendiri, ketika itu ianya mesti tertakluk kepada perundangan Islam, dan perundangan Islam melarang seseorang Muslim keluar dari agamanya, kerana ia melibatkan kepercayaan seseorang pada agama itu".
Kenyataan Timbalan Presiden PAS itu, menggambarkan betapa Islam meletakkan larangan bagi orang Islam keluar dari agamanya. Disamping itu juga, Islam tidak pernah memaksa Non Muslim masuk kepada Islam, melainkan mereka sendiri menawarkan diri untuk masuk Islam.
MASUK ISLAM ATAU BELUM ISLAM LAGI
Merujuk kepada ulasan dari Ustaz Ahmad Jailani, peguam bela kepada Siti Fatimah Tan dalam memohon agar mahkamah mengisytiharkan dirinya telah keluar dari Islam, bahawa permohonan yang dibuat oleh siti Fatimah itu, BUKAN PERMOHONAN KELUAR ISLAM, tetapi PERMOHONAN DALAM MENENTUKAN STATUS AGAMANYA, adakah Islam atau tidak.
Ekoran dari itulah, ketua hakim syarie Perlis, iaitu Othman Ibrahim memerintahkan agar pihak MAIPP (majlis Agama Islam Pulau Pinang) supaya membatalkan sijil pemelukkan Islam Siti Fatimah Tan menandakan bahawa status agama bagi Siti Fatimah Tan adalah tidak Islam.
Secara peribadi, aku melihat ada benarnya hujjah ini, tetapi amat pelik pada sudut penggunaan peruntukan bidang kuasa dalam menentukan status agama siti Fatimah ini.
Apa yang dapat dilihat dari akhbar-akbar, kedudukan kes ini, peruntukan bidang kuasa yang digunakan, BUKANLAH dirujuk kepada PENENTUAN STATUS AGAMA, tetapi merujuk kepada kedudukan siti Fatimah, adakah SUDAH KELUAR DARI ISLAM ATAU TIDAK [2]? Bermakna, secara undang-undangnya, Mahkamah mengakui keislamannya, tetapi dibenarkan ia keluar Islam. Dari itu, aku melihat kes ini berbahaya kepada kedudukan orang-orang Islam yang mahu murtad. Kerana, sekadar pembacaanku, sesuatu kes akan dijadikan sebagai hujjah dalam mengendali kes yang agak sama di masa akan datang.
Maka dengan itu, tindakan berani Ustaz Ahmad Jailani ini, sedikit sebanyak memberi kesan bahaya dalam berurusan dengan mereka yang memohon keluar agama.
BENAR TAPI BAHAYA
Memang tidak dinafikan, dalam wawancara yang dilakukan oleh sahabat-sahabat dari Al-Ahkam.net bersama Ustaz Ahmad Jailani, beliau menyatakan bahawa, status agama Siti Fatimah bukanlah islam, disebabkan dia tidak pernah mengamalkan pengamalan Islam.
Dalam kes ini, pihak yang wajib dipersalahkan adalah pihak Jabatan Agama Islam yang tidak memandangkan kepentingan mendidik saudara-saudara baru atau muallaf. Ini membuktikan, kedudukan muallaf di Malaysia ini banyak diabaikan sehingga menyebabkan lahirnya banyak kes tuntutan keluar agama.
Lantaran itulah, adalah sewajibnya disokong dan didokong atas tindakan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin (PKR) berjanji akan membawa keperhatian SPB Yang Dipertuan Agong darihal kemelut murtad dan menyarankan langkah-langkah bagi mengelakkan kejadian seumpama Siti Fatimah berulang lagi di Pulau Pinang, apabila beliau diperkenankan mengadap Tuanku nanti. Begitu juga, sewajibnya diberikan sokongan terhadap kenyataan Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin yang menyarankan agar kuasa Wang Zakat diperluaskan, ianya adalah untuk disalurkan kepada golongan Muallaf bagi melunakkan hati mereka dengan Islam, lalu isu muallaf keluar dari islam dapat di hadapi dengan baik[3].
Merujuk kepada keberanian Ustaz Ahmad Jailani, ia mengharapkan dengan kejadian kes sebegini, akan lahirlah satu perbincangan dalam usaha memperkasakan Mahkamah Syariah dalam berurusan dengan isu murtad disamping memperkuatkan segala kelemahan dan kekurangan yang ada.
Pada pandangan peribadiku, tindakan itu adalah betul dan baik, tetapi apa yang membimbangkannya pula, sekadar manakah kemampuan yang boleh dilakukan dalam memenangkan isu ini kepada Islam, seperti usaha hendak mewujudkan undang-undang murtad di Malaysia dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Disamping itu juga, jika keadaan ini berjaya diusahakan juga dalam kerangka perlembagaan persekutuan, iaitu berjaya mewujudkan undang-undang murtad, tetapi apakah mereka yang mahu murtad akan merujuk kepada Mahkamah Syariah, sedangkan Mahkamah Sivil juga mempunyai kuasa dalam berurusan kes-kes seperti ini atas nama akta dan peruntukan yang lain. Yang dengan ini, sudah pasti, mereka yang mahu murtad, tidak akan merujuk kepada Mahkamah Syariah, kerana didapati disana terdapat hukuman yang akan dikenakan kepada mereka.
MURTAD DAN HUKUMANNYA
Secara hukum, murtad itu boleh berlaku dengan tiga unsur, samada dengan perkataan, perbuatan dan juga dengan 'itiqad[4]. Menunjukkan, tidak perlu kepada pengisytiharan dari Mahkamah pun sudah memadai untuk menentukan seseorang itu murtad. Pun begitu, dalam berinteraksi dengan Siyasah Syariyyah, disana terdapat satu perbincangan tentang hukuman yang perlu dikenakan semenjak di bumi lagi, iaitu perlunya dikenakan hukuman bunuh terhadap orang yang murtad. Hukuman itu dikenakan adalah bersebab, agar penyakit murtad ini tidak merebak kepada orang lain, disamping dapat membenteras sebaran palsu terhadap islam yang akan dilakukan oleh orang murtad.
Disebabkan Malaysia tidak mempunyai peruntukan undang-undang dalam mengenakan hukuman kepada orang murtad, penyelesaian kes Siti Fatimah Tan ini dilihat agak memberi bahaya kepada umat Islam, disebabkan ruang keluar dari Islam telah terbukti dengan kedudukan kes yang berlaku ini terjadi dari sudut perundangan. Yang dengan itu, apabila orang lain yang mahu keluar dari Islam, mereka akan merujuk kes ini untuk membenarkan hujjah mereka. Tidak dinafikan, jika mereka masih Islam pun, ada beberapa masalah yang timbul, iaitu seperti masalah mempusakai harta, hubungan suami isteri dan sebagainya. Tetapi, dari sudut siyasah syariyyahnya pula, apabila dilihat dengan kes ini, menyebabkan lahirnya pemikiran atas kemudahan untuk masuk dan keluar Islam, yang dengan itu Non Muslim akan masuk Islam, kemudiannya mereka bebas pula keluar dari Islam, yang akhirnya, akan menggambarkan mereka bermain-main dengan Islam. Perkara ini jelas, berdasarkan kepada kenyataan Ong Ka Ting yang kenyataan beliau telah dinukilkan di atas.
Di samping itu juga, selagi undang-undang hukuman terhadap orang murtad tidak dapat dilaksanakan, golongan murtad ini akan mudah menyebarkan kesangsian mereka terhadap islam kepada sesiapa sahaja, yang dengan itu, akan berlaku kemudharatan dalam agama.
PERUNTUKAN 121(1A) TIDAK KUAT ?
Mungkin bagi menguatkan lagi hujjah, perlunya dirujuk kepada artikle 121 (1A) yang menyatakan tentang kedudukan Mahkamah Syariah dalam perlembagaan persekutuan.
Menurut Perlembagaan persekutuan, Artikel 121(1A) menyatakan ;
"Mahkamah-mahkamah yang disebutkan pada Fasal (1) tidaklah boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah [5]"
Menurut Prof Ahmad Ibrahim, kuasa agama Islam dan undang-undang islam itu terletak di bawah kuasa negeri-negeri[6]. Maka dengan itu, bagi memastikan kewujudan undang-undang Murtad, perlunya persetujuan dalam dewan rakyat dalam menentukan kedudukan undang-undang itu benar-benar diwujudkan.
Pun begitu, jika ianya dapat diwujudkan, ianya agak mustahil untuk dilaksanakan. Ianya kerana, dibimbangi dihujjah oleh golongan non Islam dan Non Muslim, bahawa peruntukan itu bercanggah dengan perlembagaan persekutuan yang merujuk kepada kebebasan beragama di Malaysia, iaitu pada artikle 3 (1) :
"Agama Islam ialah agama bagi persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan[7]"
Mereka akan berhujjah, jika hukuman murtad dikenakan kepada orang murtad, ketika itu, seakan-akan menafikan hak beragama dalam negara. Kerana, kebiasaannya, orang yang murtad itu, bukan bermakna dia keluar Islam, dan dia hidup tanpa beragama, tetapi dia akan masuk kepada agama yang lain, yang dengan itu, mereka ada hak untuk beramal dengan agama yang baru mereka anuti.
Jika dilaksanakan juga hukuman murtad terhadap mereka, seakan-akan bercanggah pula dengan artikle 5 (1) yang menyatakan :
"tidak seseorang pun boleh diambil nyawa atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali menurut undang-undang [8]"
Sedangkan menurut menurut Artikel 4(1) pula;
"Perlembagaan ini (perlembagaan Persekutuan) adalah undang-undang utama persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas hari merdeka dan yang berlawanan dengan perlembagaan ini, hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu[9]"
Dari itu, jika undang-undang murtad berjaya diluluskan di Mahkamah Syariah diperingkat negeri-negeri, tetapi ianya agak mustahil berjaya dilaksanakan kerana dilihat seakan-akan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Maka dengan sebab itulah, tidak hairan, Prof Ahmad Ibrahim pernah mencadangkan agar ditambah satu lagi artikle dalam perlembagaan Persekutuan, iaitu;
"Jika terdapat mana-mana undang-undang di Malaysia yang bertentangan dengan undang-undang Islam, maka hendaklah undang-undang itu terbatal setakat mana ia bertentangan[10]"
Walaupun cadangan itu telah dikemukakan oleh Prof Ahmad Ibrahim, tetapi ianya tidak berjaya dilaksanakan sehingga kini.
Maka dengan itu, undang-undang murtad yang hendak ditubuhkan akan mengalami masalah, walaupun ianya berjaya diluluskan diperingkat Dewan Rakyat sekalipun.
PENUTUP
Secara peribadi, aku melihat isu dalam menentukan kewujudan peruntukan undang-undang bagi kes murtad ini, ianya tidak dapat dilaksakana melainkan dengan kuasa politik.
Ini kerana, segala kelulusan dalam sesuatu akta, enakmen atau undang-undang itu tertakluk kepada keputusan majlis dewan rakyat atau majlis Parlimen.
Perkara ini jelas melalui peruntukan dalam perkara 66, perlembagaan persekutuan yang menyatakan ;
"Kuasa bagi parlimen membuat undang-undang hendaklah dijalankan dengan rang undang-undang yang diluluskan oleh kedua-dua majlis Parlimen (atau dalam hal yang tersebut dalam perkara 68, oleh Dewan Rakyat) [11]"
Melihat keadaan politik sekarang, tidak diyakini usaha hendak mewujudkan undang-undang murtad ini akan berjaya, melainkan perlunya muslim yang mahukan Islam menguasai Majlis Parlimen atau Dewan Rakyat.
Apa yang berlaku sekarang, kebanyakkan Majlis Parlimen atau Dewan rakyat telah dikuasai oleh mereka yang non Islam dan dari parti non Islam, yang dengan ini, dalam keadaan sekarang, kejayaan itu dilihat agak mustahil.
Maka dengan itu, secara peribadi, pandangan Ustaz Ahmad Jailani dalam kes ini akan menjadi relevan, sekiranya Majlis Parlimen dan Dewan Rakyat dikuasai oleh mereka dari Parti Islam.
Sekian, Wallahua'lam
p/s : tulisan ini adalah sekadar pandangan peribadi, dan diharapkan ianya boleh dibincangkan secara ilmiyyah bagi menghasilkan natijah yang menguntungkan islam di malaysia.
[2http://www.malaysianbar.org.my/berita/komen_undang_undang/siti_fatimah_dibenar_murtad_keputusan_mahkamah_tinggi_syariah_p._pinang_itu_adalah_kes_pertama_di_negara_ini.html
[3]http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?
y=2008&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
[4] Mustika Hadis, muqaddimah dan jilid pertama : 1/415-420.
[5] Perlembagaan persekutuan : m.s 165
[6] Sekatan-sekatan dalam Perlaksanaan undang-undang Islam di Malaysia : Al-ahkam : 4/47.
[7] Perlembagaan persekutuan : m.s 2.
[8] Perlembagaan persekutuan : m.s 5.
[9] Perlembagaan persekutuan : m.s 3.
[10] Sekatan sekatan dalam perlaksanaan Islam di Malaysia, Al-Ahkam : 4/51.
[11] Perlembagaan Persekutuan : m.s 80.
P/S: Saya tertarik dengan artikel ini untuk diteliti bersama bahawa penting dan relevennya para pejuang Islam tanpa mengenal kumpulan-kumpulan NGO dan sebagainya yang benar-benar cintakan Islam untuk menyokong perjuangan Islam melalui PAS sebagai wasilah di Malaysia. Umat Islam perlu bersatu dan penerangan serta dakwah tentang Islam kepada masyarakat perlu dipergiatkan lagi agar Islam dapat difahami.....
"ISLAM 4 ALL"

1 comment:

Hafiz said...

Assalamualaikum, sedikit pemberitahuan, masa ana ke kuliah maghrib 16 mei hari 2, ada Ustaz Johari maklumkan, di peringkat Pulau Pinang sendiri, satu sesi Muzakarah di kalangan para ulama diadakan pada malam tersebut berikutan ada pro dan kontranya kes Fatimah Tan ini, tiada orang luar dibenarkan dan tempat dirahsiakan kerana bimbang jika dihadiri orang luar, berbagai-bagai spekulasi dan tragedi lain pulak yg berlaku. Ini faktor keselamatan.

Yg benar-benar 'arif dahulu berbicara, setelah selesai, maklumat dari muzakarah tersebut akan disebarkan ke semua peringkat apa kesudahannya.