Tuesday, September 16, 2008

Hidup Mesti Berperanan

Sepatutnya, hari ini saya akan berkongsi tentang contoh riba' yang wujud secara kontemporari. Tetapi saya terpaksa tangguhkan hajat dan keinginan saya buat sementara waktu. Untuk melengkapkan penulisan saya, saya sepatutnya berjumpa dengan pensyarah Usul Fiqh saya, Encik Zulkifli Muhammad. Ada beberapa persoalan semasa yang saya sedang mencari jawapan mengenainya.Tapi, dia ada kelas petang tadi. Bila tengok jadual dia, Insyaallah, esok jam 2.00 petang, dia free dan memang slot berjumpa dengan pelajar yang ada urusan(Consultation Hour).

Hidup mesti diteruskan kerana ia adalah perjuangan....

HIDUP TANPA PERANAN

Hidup manusia mesti berperanan. Tidak boleh untuk tidak berperanan. Setiap jiwa pasti ada tujuan dan tanggungjawab untuk dilaksanakan. Tidak boleh untuk berfoya-foya. Setiap manusia ada potensi diri untuk ditonjolkan. Potensi yang terpendam di dalam diri perlu diasah dan diserlahkan . Tujuannya, tidak lain dan tidak bukan, adalah untuk memberi manfaat kepada orang lain. Setiap hari yang berlalu tanpa manfaat, amat merugikan. Sepanjang hari, hati tidak tenang dan seperti hilang arah tuju. Tetapi, jika hidup seharian dimanfaatkan sebaik mungkin, secara automatik kita akan optimis dan lebih bersedia untuk menghadapi hari esoknya.

Orang yang optimis mampu menjadikan persekitarannya berada di dalam kawalannya. Dia tahu apa yang hendak dilakukan dan mengapa dia bertindak sedemikian rupa. Dia berinisiatif tinggi untuk menyelesaikan sesuatu tugasan. Semua ini memerlukan tarbiyyah berterusan. Untuk permulaan, mungkin agak berat dan susah untuk istiqamah. Tetapi, Islam mengajar untuk kita terus bermujahadah dalam usaha mendapat redha Allah.

Kita adalah manusia, yang mempunyai peranan dalam kehidupan. Kemenangan awal telah kita kecapi sejak permulaan kejadian kita di dalam rahim ibu kita lagi. Ia diteruskan sebaik sahaja kita lahir melihat dunia yang penuh ujian dan dugaan. ujian untuk bertatih, ujian untuk berjalan dan berlari, ujian untuk fasih berkata-kata, ujian untuk membaca, menulis dan mengira. Semua itu manusia dapat hadapi dengan jayanya walaupun payah.

Saya teringat lagi, dulu sewaktu kecil, saya kena hafal sifir dua hingga sifir dua belas. Setiap hari saya menghafal hingga tertidur-tidur. Sampaikan ada satu hari tu, disebabkan saya gagal hafal, saya kena kurung dalam tandas. Betapa payahnya hendak hafal sifir waktu itu. Tapi sekarang, alhamdulillah, saya dapat atasi cabaran itu. Nampak remeh, tapi ia membuktikan bahawa kita sebenarnya mampu untuk menghadapi segala cabaran yang mendatang. Cuma cepat atau lambat sahaja. Kesabaran diperlukan dalam menghadapi cabaran. Kuncinya, jangan berputus asa dan terus mencuba dan meredah. Jangan mengalah. Sebab kita tidak pernah mengalah sejak kita kecil. Kalau kita seorang yang mudah mengalah dengan cabaran, sudah tentu kita tidak pandai berjalan, bercakap atau menulis sekarang.

TERUSKAN PERJUANGAN, MENGHADAPI HARI ESOK

Teruskan perjuangan mencari identiti diri yang kian terhakis akibat persekitaran. Identiti diri yang mampu menjadikan kita duduk sebaris dengan orang-orang mukmin yang diredhai Allah. Jangan putus asa menhadapi ujian yang mendatang, kerana kita tidak tahu, mungkin cubaan kita yang seterusnya mampu menjadi titik tolak perubahan dalam kehidupan kita agar menjadi lebih bermakna. Seterusnya kita dapat memberi manfaat kepada orang lain.

"JADIKAN DIRI BERMANFAAT KEPADA SEMUA"

"Perkasakan Diri Martabatkan Islam"

Abu Nasih
W. P. Labuan
16 September 2008/16 Ramadhan 1429

No comments: