Monday, September 15, 2008

Riba dan Ancaman Dari Allah Serta Rasul-Nya

Isu riba' merupakan isu yang penting dalam kehidupan seharian bagi seorang muslim. Ia mungkin sudah difahami oleh sebahagian muslim, tapi tidak dihayati untuk meninggalkannya. Riba' merupakan suatu larangan yang bersifat mutlak oleh Allah swt. Saya mengambil kesempatan ini untuk berkongsi dengan sahabAt-sahabat tentang:

Apa itu Riba'?

Apa Jenis-jenis Riba'?

Apa hukuman bagi orang yang degil untuk meninggalkan amalan Riba'?

Huraian yang saya akan lakukan adalah berdasarkan pembacaan saya terhadap buku berjudul Wang, Anda dan Islam, karangan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman.

Apa itu Riba'?

Takrifan ringkas riba' ialah merupakan sebarang tambahan dalam barangan tertentu (barang ribawi)(1) dan tambahan di atas hutang akibat penangguhan tempoh. Ia merangkumi hasil riba melalui jualan barangan ribawi (riba al-Buyu') dan juga merangkumi riba daripada hutang (riba ad-Duyun). Sudah jelas apa itu riba'?

Apa pula Riba' ad-Duyun dan riba al-Buyu'?

Kita pergi satu persatu ya.

A) Riba' ad-Duyun
Riba jenis ini adalah riba' yang muncul dari hutang. Ia merupakan lebihan yang terhasil disebabkan tempoh. Ia terbahagi kepada dua iaitu:

a) Riba al-qardh: Iaitu sebarang manfaat tambahan yang disyaratkan ke atas pemberian jumlah pinjaman pokok. Syarat ini dibuat pada awal kontrak pinjaman(loan contract). Bukan kontract jual beli ye...
Ia dikenakan oleh pemberi pinjam kepada yang meminjam. Sebagai contoh, Pak Ali nak pinjam rm10 daripada Pak Abu. Tetapi Pak Abu menetapkan syarat bahawa Pak Ali wajib membayar semula hutang tersebut sebanyak Rm12. Lebihan RM2 merupakan riba ad-Duyun jenis al-qardh.

b) Riba al-Jahiliyyah: Merupakan kadar atau sebarang manfaat tambahan lebih dari jumlah pokok, yang dikenakan oleh pemberi pinjam kepada peminjam akibat si peminjam gagal membayar pada tempoh yang telah dipersetujui.Sebagai contoh, Ahmad bersetuju memberi pinjaman kepada Zul sebanyak RM50 dan dikehendaki membayar kembali satu bulan dari sekarang. Tetapi sekiranya Zul gagal membayar hutang Ahmad sebelum atau pada 1bulan yang telah ditetapkan, maka Zul dikehendaki membayar pada Ahmad sebanyak RM60. Lebihan sebanyak RM10 merupakan riba' ad_Duyun jenis al-Jahiliyyah.

B) Riba' al-Buyu'
Riba' jenis ini pula muncul daripada jual beli barangan ribawi. Ia merupakan ketidaksamaan pada berat atau kuantiti pertukaran 2barang ribawi atau pertukaran tersebut dibuat secara tangguh.

a) Riba' an-Nasa': Ia merupakan jual beli atau pertukaran 2 barangan riwabi yang sama jenis dan pertukaran tersebut dibuat secara tangguh(tidak sempurna dalam 1 masa). Sebagai contoh, Cik Ainul membeli emas seberat 3 gram dengan harga RM1000 secara tangguh.(maknanya, ambil emas hari ini, bayarnya keesokan harinya)

b) Riba al-Fadhl: Merupakan jual beli atau pertukaran antara 2 barangan ribawi yang sama jenis dengan berbeza kadar berat(jika dijual dengan timbang) atau kualiti(jika dijual secara bilangan kuantiti). Sebagai contoh, Menukar 10gram emas(jenis 916) dengan 6gram emas(jenis kualiti 750). Pertukaran jenis ini adalah haram kerana sepatutnya kedua-duanya mesti 5gram. Jenis kualiti tidak memberikan kesan kepada hukum.

Menurut Ustaz Zaharuddin, berdasarkan contoh di atas terdapat 2 syarat yang wajib dipenuhi agar terhindar daripada riba al-Fadhl dan riba' an-Nasa', iaitu:
i) Mesti sama beratnya(walau berbeza kualiti dan beratnya)

ii) Transaksi pertukaran mesti dilakukan dalam satu masa atau satu majlis(maksudnya, pembeli dan penjual tidak boleh beredar sebelum menyerahkan barang pertukaran).

Ini adalah perkara asas tentang riba yang perlu setiap Muslim tahu. Lepas kita tahu apa itu riba' dan jenis-jenisnya, saya ingin berkongsi pula, apa ancaman yang datang dari Allah sekiranya kita ambil enteng(ringan) tentang masalah riba' ini.

Apa Ancaman Bagi Orang Islam Yang Mengamalkan Riba'?

A)Pemakan dan Pemberi riba mengisytiharkan perang terhadap Allah dan RasulNya.
Firman Allah swt:

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan saki baki riba' sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan RasulNya. Dan jika kamu bertaubat(daripada pengambilan riba'), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya."(Surah al-Baqarah: 278)

Ini merupakan ancaman keras dari Allah. Bah kan merupakan ayat cabaran dari Allah bagi sesiapa yang degil dan engkar dengan perintahNya. Imam Abu Hanifah pernah berkata;" Ini adalah ayat al-Quran yang paling menakutkan."

Jadi beringat-ingat wahai sahabatku sekalian. Tinggalkan riba jika kamu benar-benar mengaku sebagai pejuang agama Allah. Tinggalkan seboleh yang mungkin. Teruskan berfikir untuk cara meninggalkan sebagaimana kita berfikir sejauh dan se-efisyen mungkin untuk mengalahkan rakan aspirasi dalam PRK atau musuh-musuh Allah yang lain.

B) Kehilangan Berkat Harta dan Kehidupan.
Firman Allah swt:

"Allah menghancurkan keberkatan kerana riba' dan menambahkan keberkatan daripada sedekah." (al-Baqarah: 276)

Hati rasa resah memanjang. Banyak duit tapi hidup tidak tenang. Selalu ini berlaku pada yang memilki duit yang harta yang banyak. Yang tidak pasti dari mana sumbernya diperolehi. Penuh syubhah. Sama-sama kita koreksi diri.

C) Seperti berzina dengan Ibu Bapa Sendiri.
Nabi saw Bersabda:

"Riba' mempunyai 72 pintu. Riba' yang paling ringan(dosanya_ ialah seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya."
(Riwayat at-Tabrani, 7/158; al_Hakim, Sahih menurut syarat al-Bukhari dan Muslim)

Mari kita buka mata dan hati, betapa beratnya ancaman Allah terhadap orang yang mengamalkan riba dalam kehidupan seharian.

D) Lebih berat Daripada 36 Kali Berzina.
Nabi saw bersabda:

" Satu dirham riba' yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk daripada berzina sebanyak 36 kali." (Riwayat Ahmad dan Ad-Dar Qutni)

E) Salah Satu Daripada 7 Dosa Besar.
Nabi saw bersabda:

" Jauhilah 7 dosa besar; syirik, sihir, membunuh tanpa hak, makan riba', makan harta anak yatim, lari dari medan peperangan(kerana takut), dan menuduh perempuan yang suci berzina(tanpa saksi adil)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ayuh Teliti Dan ambil Pengajaran

Sahabat-sahabatku, harapan saya agar sahabat pembaca faham apa itu riba', jenis-jenisnya dan apa ancaman yang datang dari Allah dan Rasulnya bagi sesiapa yang mangamalkan riba' dalam kehidupan meraka. Semak semula, dari mana sumber pendapatan kita selama ini. Untuk kali ini, cukup saya kongsikan perkara-perkara di atas. Akan datang, saya akan kongsikan amalan riba' dalam konteks kontemporari, InsyaAllah.

Rujukan: (1) Barangan ribawi adalah berkaitan dengan hadis Nabi saw yang bermaksud: "Apabila ditukar emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam mestilah sama timbangan dan sukatannya, dan ditukar secara terus(pada satu masa) dan sekiranya berlainan jenis, maka berjual belilah kamu sebagaimana disukai." (Riwayat Muslim nombor 4039, nombor hadis, 11/9)

p/s: Rujukan utama saya tentang penulisan ini ialah al-Quran dan Hais Nabi saw dan tidak kurang pentingnya(sangat penting sebenarnya) buku berjudul Wang, Anda dan Islam, karangan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman.

"SAY NO!, TO RIBA"

Abu Nasih
W. P. Labuan
15 September 2008/15 September 1429

No comments: