Thursday, September 11, 2008

Jangan Jadi Hamba Kepada Minda Diri Sendiri

"Abang, saya ada masalah sikitlah.. Hm, tambah-tambah bila waktu puasa begini, kadang-kadang waktu berbual-bual dengan kawan, saya jadi leka dan mula lah, mengumpat dan sebagainya.. Macam mana saya nak hindarkan perkara macam ni ye, bang?" Nadil timbulkan persoalan malam tadi.

Susah juga nak jawab. Saya berfikir panjang sebelum menjawab.

"Hm, Nadil... Sebelum Abang terus kepada jawapan soalan tersebut, abang nak kongsi dengan Nadil tentang Satu teori yang mengatakan bahawa personaliti kita pada hari ini ditentukan oleh 3 teori, dipanggil Teori Determinisme.

Pertama ialah Determinisme Genetik. Determinisme ini mengatakan bahawa personaliti kita pada hari ini dipengaruhi oleh personaliti nenek moyang kita dahulu. Sebagai contoh, jika kita seorang pemarah pada hari ini, bermakna sikap kita itu diwarisi daripada nenek moyang kita.

Kedua ialah Determinisme Psikik. Determinisme ini pula mengatakan bahawa ibu bapa kita yang menentukan apa yang berlaku pada diri kita hari ini. Ia berkaitan dengan cara didikan ibu bapa kita pada masa lalu. Hasilnya ialah personaliti kita pada hari ini. Sebagai contoh, ketika kecil, mungkin ibu bapa kita jenis yang tidak suka anak-anaknya menceburi atau mengambil tahu tentang politik kerana politik itu kotor(pada pandangan mereka sahaja). Kesannya, kita pada hari ini juga terus menganggap bahawa politik itu kotor.

Ketiga pula ialah Determinisme Persekitaran. Determinisme ini mengatakan bahawa suami atau isteri, rakan-rakan, situasi ekonomi semasa, dasar sesebuah negara atau apa sahaja yang berlaku dipersekitaran kita itulah yang mempengaruhi personaliti kita pada hari ini." Nadil terlopong. Entah dia faham, entah tidak. Saya terangkan secara perlahan-lahan agar dia faham.

"Faham ke, Nadil?"
"Faham, Bang."

"Ok, seterusnya penentu-penentu tersebut boleh diibaratkan sebagai rangsangan dan jika kita bertindak berdasarkan rangsangan, ia dipanggil respon. Apa yang menjadi permasalahan di sini ialah, apabila kita merespon, kita bergantung kepada rangsangan semata-mata. Bila orang kata kita seorang yang pemarah, kita pun rasa kita ini memang pemarah kerana kononnya moyang kita ada sifat pemarah. Bila orang kata kita ini dari keturunan yang lembab, kita pun rasa yang kita ini pun akan turut jadi lembab macam moyang kita. Dan kepada persoalan tadi, bila orang dikeliling kita sedang mengumpat sebagai contoh, ia merupakan rangsangan. Seterusnya terpulang pada kita, bagaimana kita merespon. Adakah kita akan turut hanyut dengan ransangan persekitaran yang menuntut agar kita mengumpat sama atau kita bersikap berlepas diri dan tidak terlibat sama sekali?"

Selalunya, sedar atau tidak, keputusan yang kita selalu buat adalah mengikut arus dan membuat keputusan yang tidak bebas, sambil lewa dan bakal menghasilkan keputusan negatif yang asalnya kita memang tidak mahu tanggung. Respon yang dibuat adalah atas dasar keperluan persekitaran semata-mata dan bukan atas dasar nilai.

RESPON ATAS DASAR NILAI, BUKAN PERASAAN

"Dalam situasi Nadil, Nadil sepatutnya bebas membuat pilihan untuk merespon. Maknanya, jika Nadil hendak ikut mengumpat bersama mereka, maka Nadil turut sama mengumpat bukan kerana terpaksa dan ikut 'trend' ketika itu. Dan juga, jika Nadil tidak mahu ikut mengumpat, respon itu juga bukan dibuat kerana terpaksa(jika tidak, ia akan buat Nadil terasa bebanan).Pendek kata, Nadil buat pilihan untuk merespon adalah atas dasar penilaian Nadil terhadap pilihan Nadil. Akibat-akibat yang bakal ditanggung, telah dinilai. Baik buruk setiap pilihan, telah dipertimbangkan. Suara hati turut memainkan peranan tentang apa yang betul dan apa yang salah kerana ia berkaitan dengan prinsip diri sebagai seorang Muslim(perkara yang betul menghasilkan hati yang tenang, perkara yang salah menghasilkan hati yang gundah-gulana). Untuk lebih jelas lagi dalam situasi ini, Nadil membuat pilihan untuk merespon atas dasar faham tujuan Nadil merespon. Atas dasar rela dan bukan terpaksa. Atas dasar nilai dan bukan perasaan atau emosi."

Bila konsep rangsangan dan respon ini difahami, maka dengan sendirinya, kita akan faham bahawa antara rangsangan dan respon terdapat ruang untuk membuat pilihan secara bebas berpandukan kepada kesedaran kendiri, imiginasi, suara hati, dan keinginan bebas. Bagi kita sebagai Muslim, semua faktor membuat pilihan di atas adalah mesti dan wajib berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Bukan kerana faktor luaran atau logik akal semata-mata.

Buat Nadil dan kita semua, sebagai Muslim, jadilah manusia yang bebas membuat pilihan di dalam hidup di dalam batas-batas syarak. Berani buat, berani tanggung. Jika sesuatu tugasan telah ditetapkan, minda kita memainkan peranan untuk berfikir secara positif agar tugasan tersebut tidak kita rasa sebagai beban, tetapi ia dibuat atas dasar tanggungjawab dan kita memang bebas memilihnya! Janganlah diri kita menjadi hamba kepada minda kita sendiri dan persekitaran. Tanda kita bebas daripada menjadi hamba kepada minda kita sendiri dan persekitaran ialah kita tenang melakukan segala respon yang kita telah pilih. Bukan atas dasar terpaksa dan rasa terbeban.

Jadilah hamba Allah yang tulen....

P/S: Buku 7 Habits of Highly Effective People menjadi rujukan saya untuk artikel ini...


Abu Nasih
W. P. Labuan
11 September 2008/11 Ramadhan 1429

No comments: