Friday, September 12, 2008

Teladan Dari Eropah

Muka kepenatan dan kesejukan

Saya teringat kenangan saya dan sahabat-sahabat MPPUMS sesi 2006/07 yang lepas, diberi peluang oleh Allah untuk menimba pengalaman di Switzerland dan Italy. Dua negara eropah yang mempunyai kelebihan masing-masing. Negara yang menjaga warisan sejak zaman berzaman. Kami pergi dalam bulan Januari 2008 yang lepas. Masih dalam musim sejuk. Sangat sejuk sehingga suhu minima yang kami rasai ialah sekitar -3 darjah celsius. Banyak sebenarnya yang saya ingin kongsikan bersama kerana pengembaraan ini membuatkan saya bermuhasabah diri sama ada betul ke Islam itu dijadikan sebagai cara hidup atau sekadar retorik semata-mata. Bukan sahaja kepada puak-puak atau golongan yang menolak hukum Islam, malah penyakit mengambil ringan pengamalan Islam di dalam kehidupan, turut melanda kehidupan golongan-golongan yang mengaku berjuang pada jalan Allah. Memang banyak sudut yang perlu di nilai, cuma saya ingin berkongsi tentang kenangan saya di tepian tasik di Bandar Luzern, Switzerland.

ANJING YANG COMEL

Kami diberi peluang untuk berpusing sekitar Luzern dari jam 11pagi waktu swiss sehingga jam 2 petang. Subhanallah... Bayangkan, kami tinggal kat luar, dalam cuaca sekitar 1-3 darjah Celsius selama hampir 4 jam...aduh...sejuknya, hanya Allah sahaja yang tahu(bagi orang yang tak biasa macam kami ni lah). Sekitar jam 2.00 petang, kami berkumpul di tepi tasik Luzern sementara menunggu bas datang.

Di dataran kecil yang diselimuti rumput hijau, di tepi tasik Luzern, kelihatanbeberapa orang warga Swiss sedang bersiar-siar bersama dengan 2 ekor anjingnya. Seekor berbadan besar dan seekor lagi berbadan kecil. Sebenarnya, saya dan beberapa sahabat lain baru sahaja sampai ke tepi tasik tersebut sebelum terserempak dengan anjing-anjing tersebut beserta tuannya. Waktu kami datang, tuan anjing tersebut berada dalam keadaan menggelabah. Sekejap ke hulu, sekejap ke hilir. Pelik saya dibuatnya. Saya bertanya pada sahabat saya yang sudah agak lama di tepian tasik tersebut.

"Kenapa dengan Mat Salleh tu? Gelabah semacam je..."

'O, dia tengah gelabah cari tahi anjing-anjing dia." Spontan sahabat saya balas.

"Cari tahi? Kenapa?"

"Kalau tidak, kena samanlah jawabnya..."

Baru saya tahu, Mat Salleh yang ke hulu ke hilir sekitar dataran kecil itu sebenarnya mencari tahi anjing-anjing dia yang 'dilepaskan' di sekitar dataran itu. Depan mata saya, saya nampak Mat Salleh itu tunduk dan mengutip sesuatu dengan menggunakan plastik. Lepas itu, dia dan anjing-anjingnya berjalan pulang. Begitu sekali tahap kesedaran kebersihan yang berjaya diterapkan dalam diri warga Swiss.

BANDAR YANG KOTOR

Selepas hampir 4 hari kamai berada di Switzerland, kami meneruskan perjalanan dan pengembaraan kami di tempat pemain bola sepak terkenal menetap..Kaka...

Ketika dalam perjalanan ke Pejabat Konsulat Malaysia, bas terpaksa diparkir jauh dari pejabat konsulat. Akibatnya, kami pun terpaksa berjalan kaki agak jauh untuk sampai ke Pejabat Konsulat Malaysia di Italy. Di Italy, Malaysia tidak menghantar Duta Besar, seperti mana yang terdapat di Switzerland, yang ada ialah Konsulat.
Dalam perjalanan ke Pejabat Konsulat Malaysia, kami terpaksa berjaga-jaga ketika berjalan kerana tahi anjing kelihatan bersepah-sepah kesan dipijak oleh kaki manusia dan sebagainya. Rasa geli dan risau waktu berjalan. Bimbang terpijak tanpa sedar, lalu dibawa tetamu luar negara itu ke dalam bas nanti.

MALAYSIA YANG DI KASIHI
Terkenang waktu di rumah lama di Taman Melati, Lumut, Perak. Sebelum pindah ke Taman Bukit Maju, di bandar Lumut juga. Antara rutin saya pada setiap hari(hampir setiap hari) ialah mengutip dan membuang tahi kucing di depan rumah. Nak kata kucing kami sekeluarga, kami tidak bela pelihara kucing waktu itu. Tapi atas dasar tanggungjawab dan tidak mahu menyusahkan tetamu yang datang ke rumah, yang mungkin terpaksa berjengket-jengket(macam di Italy), saya atau adik-adik saya akan buang tahi kucing tersebut.

DI MASJID, RUMAH ALLAH

Perkara yang menimbulkan marah saya apabila ada dikalangan sahabat-sahabat yang memandang ringan kebersihan, selepas makan dan minum air tin, mereka tinggalkan sesuka hati di dalam masjid, tangga masjid, dalam bilik gerakan aktiviti dan di mana-mana sahaja sekitar masjid. Akibatnya, bila sampah sarap itu dibiarkan untuk tempoh yang lama, berkerumunlah semut-semut pada sampah-sampah tersebut. Sikap yang tidak bertanggungjawab ini bukan sikap muslim yang sebenar. Ini sikap orang yang tidak berilmu. Kalau berilmu sekali pun, dia masih tidak menghayati ilmu tersebut. Atau mungkin terlupa. Kalau terlupa, hendak buat macam mana? Persoalan ini ialah bagi sesiapa yang dengan sengaja meninggalkan sisa-sisa makanan dan minuman tersebut di rumah Allah dengan sengaja.

"Nantilah buang...nak ambil wudhuk dulu."

Akhirnya, sampai habis solat, sisa-sisa tersebut tidak dibuang. Amat memalukan kalau non-muslim melihat telatah umat Islam yang kononnya berbangga dengan cara hidup Islam yang syumul, tapi pada masa yang sama, penganutnya sendiri yang seolah-olah tidak percaya dengan ajaran Islam. Dalam kes ini ialah mengutamakan kebersihan. Tambah-tambah lagi di kawasan masjid. Belum lagi kebersihan di bilik individu tersebut......

Di mana akhlak Islamiyyahnya dalam situasi begini?

CONTOHI APA YANG PATUT
Mereka di Eropah, majoritinya tidak faham Islam. Yang faham Islam sudah tentu masuk Islam(tapi tidak nafikan, ada orang Islam juga yang tidak faham Islam).

Tetapi, mereka ini ada mengamalkan beberapa aspek-aspek yang ditekankan dalam Islam, seperti menjaga kebersihan persekitaran sebagai contoh. Mungkin kita boleh mencontohi perbuatan Mat Salleh yang di Switzerland itu. Walau nampak remeh, tapi bagi saya ia amat besar. TIDAK PERNAH SAYA LIHAT WARGA MALAYSIA YANG MENGUTIP NAJIS KUCING ATAU ANJING MEREKA YANG DIBAWA DI TAMAN-TAMAN AWAM.

Mungkin dari segi aspek kebersihan, warga Swiss ini dapat dicontohi oleh warga Italy, rakyat Malaysia, sahabat-sahabat di Masjid dan yang saya khususkan ini ialah sahabat-sahabat yang mengaku berjuang dijalan Allah. Jagalah kebersihan diri masing-masing, lebih-lebih lagi kebersiahan rohani iaitu dari sifat-sifat mazmumah(bangga diri, sombong, bersangka buruk dan sebagainya) dan tanamkanlah di dalam diri para pejuang sekalian dengan sifat-sifat mahmudah(berbaik sangka dengan sahabat dan orang lain, pemurah, pembersih, merendah diri dan sebagainya)

Semoga kita tergolong dalam golongan yang mengamalkan Islam dalam hidup kita.

"Perbaiki Diri Dan Seru Yang Lain"

P/S: Saya mohon maaf kalau banyak gunakan perkataan tahi, yang mungkin agak sensitif...Tapi kena guna untuk lebih faham..

Abu Nasih
W. P. Labuan

12 September 2008/12 Ramadhan 1429

No comments: