Sunday, September 14, 2008

Sumbu Semangat Kembali Menyala

Bengkel Nuqaba' yang berlangsung di Kolej Matrikulasi Labuan, hampir satu hari, bermula 12 September malam, selepas solat sunat tarawikh dan baru sahaja berakhir petang semalam. Kehadiran abang Fairus sebagai Ketua Fasi pada kali ini walau secara ad-hock, sangat banyak membantu kelancaran program tersebut.

Semalam, waktu kuliah pertama kepada para peserta(para nuqaba') yang merupakan pelajar Kolej Matrikulasi Labuan, merangkap AJK-AJK Surau al-Irfan, diisi oleh abang Fairus. Tajuknya berkisar tentang kepentingan usrah dan perkaitannya dengan sejarah perjuangan Rasulullah SAW serta perjuangan para pejuang Islam di seluruh dunia.

Tanpa sedar(sedar la jugak), air mata saya meleleh. Saya rasa sebak dengan cerita yang abang Fairus bawa. Rasanya macam sudah lama tidak kena 'sentakan' untuk membangunkan 'ruh yang sedang tidur tanpa sedar'. Pada hal, hampir setiap minggu kerap ada program di kampus, tapi diri yang lemah ini masih gagal menjiwai program-program yang dianjurkan saban minggu. Tapi alhamdulillah, pada malam semalam, semangat saya kembali mengisi kekosongan di hati. Kosong dari pengisian yang bersifat kesedaran. Kesedaran yang mampu membangkitkan semangat untuk terus bergerak kerja demi Islam. Jiwa yang kosong tidak mampu memberi sesuatu kepada jiwa lain.

DISKUSI ILMIAH MINGGUAN

Selepas berbuka puasa di bandar dengan sahabat-sahabat seperjuangan, setelah selesai program di KML, saya meneruskan agenda hidup saya dengan mengadakan Diskusi Ilmiah Mingguan (DIM) bersama adik-adik yang di sayangi kerana Allah. Kehadiran mereka menjadikan saya semakin bersemangat untuk menghayati kepuasan memberi. Memberi perkara yang bermanfaat, dengan harapan si penerima akan menjadi orang yang bermanfaat kepada manusia.

"Abang harap, adik-adik mampu menjadi 'somebody' pada sesi pengajian yang akan datang. Masa tu, abang dah 'grad', insyaAllah... Dan abang nak lihat adik-adik di depan abang ini akan menggantikan tempat abang. Berkongsi sesuatu yang berharga dengan adik-adik kamu nanti. Juga sebagai pejuang Islam yang rela berkorban untuk Islam dengan penuh Ikhlas dan sabar." Ini antara harapan yang saya zahirkan pada mereka. Semoga mereka dapat tangkap apa yang saya maksudkan.

Selama hampir 1 jam 30 minit berlangsungnya DIM, saya cuba menekankan solat tauhid, kerana ia tunjang dalam beribadah. Tunjang dalam setiap perkara yang dilakukan. Ia merupakan tumpuan peribadatan kita. Dia merupakan tumpuan untuk kita memohon perlindungan tatkala berada dalam kesusahan, kesedihan, kemurungan dan terdesak. Dia tumpuan kita untuk melafazkan rasa cinta yang tidak berbelah bahagi. Bahkan, memang hanya Dia yang layak dicintai kerana sifatNya yang Maha Memberi tanpa meminta. Kerana sifatNya yang Maha Pengampun tanpa mengungkit. Dia juga tumpuan kita memohon rezeki kerana Dia yang memberikan rezeki kepada kita. Walau kita membuat maksiat, tapi Dia tetap memberikan rezeki dengan izinNya. Dia juga sumber perundangan. Sumber yang menjadi rujukan kita dalam menjalani kehidupan sebagai manusia. Rujukan ini bersifat 'evergreen'. Melalui al-Quran dan Sunnah, Dia mengajar manusia tatacara kehidupan. Tapi sayang, manusia menjadi ego dan bongkak. Baru memiliki sedikit kepakaran, kepandaian dan kemampuan mengatur menggunakan akal, mereka dengan bongkak menukar hukum Allah. Faraid, wasiat, hudud dan qisas, di katakan sudah tidak releven. Sudah ketinggalan zaman.

Allahu Akhabar!

Salah anggap ini perlu diperjelaskan pada umat Islam keseluruhannya. Sama ada melalui kuliah-kuliah agama, ceramah-ceramah agama, forum dan sebagainya. Para ustaz dan ustazah mesti mempunyai keberanian untuk menyampaikan apa yang benar. Gunalah sehikmah mungkin untuk menyampaikan ilmu berkisar tentang politik menurut Islam. Tetapi, janganlah sekali-kali menyimpan ilmu itu atau menyembunyikan ilmu tentang aspek kenegaraan menurut Islam.

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

"Sesiapa ditanya tentang ilmu yang ia ketahui, kemudian ia menyembunyikannya, ia akan dikekang dengan kekangan daripada api neraka pada hari kiamat." (Riwayat Abu Daud daan at-Tirmizi)

Saya yakin, para ustaz dan ustazah mempunyai cara masing-masing untuk menyampaikan ilmu mereka, tapi entah mengapa, hati nurani saya tidak bersetuju jika ada dikalangan para ustaz dan ustazah(segelintirlah, bukan semua) yang apabila ditanya tentang aspek-aspek kenegaraan menurut Islam(contohnya masalah hudud, qisas), mereka seolah-olah seperti mengelak(ayat berbunga-bunga). Saya pun tidak tahu kenapa mereka macam tu. Semoga kita sama-sama dapat muhasabah diri tahap keimanan dan kesungguhan kita untuk memperjuangakan Islam dan beramal dengannya.

Semoga DIM yang baru sahaja selesai tadi, mampu membentuk peribadi unggul yang berani menegakkan kebenaran Islam. Walaupun bukan dari aliran agama, tapi mampu menyumbang sesuatu untuk Islam dengan sedaya upaya.

Daripada Muawiyah bin Aku Sufyan R.A, Nabi SAW bersabda:

"Siapa yang Allah mahukan kebaikan kepadanya, nescaya Allah memberikan kefahaman agama kepadanya." (Riwayat Bukhari)

"HIDUP UNTUK ISLAM"

Abu nasih
W. P. Labuan
14 September 2008/14 Ramadhan 1429

1 comment:

gugugaga said...

Ramadhan baru saja berlalu dan diganti dgn Bulan Syawal yang kini masih berlangsung dan berjuang untuk menamatkan hingga ke akhirnya.Namun ,Apakah Ramadhan yg kita lalui hari itu tinggal sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja?apakah Ramadhan itu medan pencarian iman dan takwa terletak pada bulan yg dikatakan bulan umat Rasullullah s.a.w shj?Hal ini perlu diperbetulkan mentalitinya kerana pencarian serta pemburuan iman dan hidayah bukan setakat berhenti didalam bulan Ramadhan sahaja,malah pencarian itu seharusnya dilakukan di luar bulan tersebut..Kalau kita perhatikan ayat2 alquran yg menerangkan tentang keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t ,tidak ada perkara/ayat yang terperinci(spesifik) bila kita memperoleh iman,bagaimana hendak memperoleh iman dan cara untuk memperoleh iman .Maka itulah sebab iman perlu dicari dan diburu setiap hari kerana Allah berfirman(maaf,terlupa surah dan ayatnya)"Allah akan beri apa sahaja apa yang hambanya minta dan Allah tidak akan memberi iman melainkan yg Allah sukai...Ini jelas tidak semua org dikurniakan iman dr Allah taala.maka dengan itu,dalam usaha untuk memburu iman dan hidayah Allah,selagi hayat dikandung badan dan sebelum jasad kita dikandung tanah kemudian hari,ingin menyeru supaya carilah iman itu diatas muka bumi pinjaman allah s.w.t sebelum kita bertemu dengannya nnti.Bak serangkap lagu Raihan"Iman tak dapat diwarisi dr seorg ayah yang bertakwa,Ia x dpt dijual beli,ia tiada di tepian pantai"....wallahua'lam