Monday, September 8, 2008

Sekarang Ini Ingat Allah, Tapi Nanti....?

Salam Mujahid,

Perjalanan pulang dari bandar 2 hari lepas atas urusan peribadi membuatkan saya menjadi lebih beryukur kepada Allah. Kerana masih memberikan saya kehidupan menghirup udara di bulan Ramadhan yang amat barakah pada tahun ini.

Sambil melihat suasana di dalam bas, waktu hendak pulang ke kampus, saya melihat ada di antara penumpang yang sedang khusyuk mendengar MP3 sambil tersenyum sendirian, ada yang sedang tidur, ada yang sedang berbual dan ada juga yang bergaduh sesama mereka. Itu antara gelagat yang saya perhatikan sambil-sambil membaca buku karangan Dr. 'Aidh Abdullah al-Qarni. Saya pula yang hilang fokus membaca dan menghayati. Tiba-tiba, muncul persoalan... Rasa-rasanya, dalam satu bas yang dipenuhi hampir 20 orang ini, berapa ramai yang mengingati Pencipta Yang Maha Agung? Berapa ramai yang sedang koreksi diri untuk persediaan menghadapi hari Akhirat kelak? Atau berapa ramai yang sedang memikirkan apa juadah yang hendak dihidangkan sempena berbuka puasa nanti?

Saya bersyukur kerana pada saat itu saya diberi peluang untuk sedar tentang kewujudan Allah di sisi saya. Tapi nanti? Esok? Lusa? Saya tidak tahu sama ada saya masih lagi terpilih untuk diberi peluang mengingatiNya atau tidak...

BENCI BAU ARAK

Saya teringat peristiwa beberapa minggu yang lalu, sewaktu 'kampus taman ilmu' ini menganjurkan konsert Zainal Abidin bersempena Pesta Konvokesyen UMS peringkat kampus Labuan. Malam itu, selepas Isyak Bob maklumkan pada saya yang dia jumpa 3 tin Anchor Beer yang ditinggalkan di kawasan MAsjid Al-Hikmah.

Ya Allah... Apa dah jadi!

Cadangnya, nak ambil gambar tentang tin-tin yang 'bergelimpangan' di sekitar masjid tu, tapi disebabkan ada mesyuarat, saya tangguhkan perkara itu. Tambahan pula, menurut sahabat saya, ada gambar yang sudah diambil untuk diserahkan pada HEP. Moga tindakan yang tegas dapat diambil.

Keesokan paginya, saya dan Hasli bercadang untuk memungut botol-botol dan tin-tin arak yang bersepah disekitar kampus 'taman ilmu' ini untuk sebagai bukti kepada HEP yang seolah-olah 'menghalalkan' kehadiran 'konsert negatif'(bermakna ada 'konsert positif') yang membawa kesan negatif kepada mahasiswa dan masyarakat Labuan. Waktu sedang memungut dan mengumpul dalam plastik, saya terbau 'haruman' arak, kencing syaitan. Sangat memualkan. Rasa benci yang meluap-luap bila terhidu bau arak di dalam plastik yang dipegang. Waktu itu, timbul rasa risau di hati, kalau sekarang saya benci dengan bau dan botol arak, adakah esok, lusa atau pada masa akan datang, saya tetap istiqamah membencinya? Ya Allah, risaunya hati kalau Allah tarik nikmat iman dan Islam di hati. Siapa dapat meramal dirinya pada hari esok, sama ada kekal beriman atau tidak?

AYUH MUHASABAH DIRI

Dua peristiwa di atas antara peristiwa-peristiwa yang membuatkan saya sedar untuk sentiasa mensyukuri nikmat-nikmat yang terlampau banyak Dia kurniakan. Setiap saat kita bernafas dan degupan jantung yang berfungsi serta dihiasi nikmat Iman dan Islam di dalam hati, melengkapkan diri sebagai hambaNya...sebagai kunci ke Syurga. Tapi itu semua adalah semalam, itu semua ada tadi, itu semua adalah saat saya sedang menulis pengalaman ini. Tapi, nanti, esok, lusa, bagaimana?

Saya amat berharap nikmat-nikmat Allah ini akan kekal hingga saya menhembuskan nafas terakhir. Hidup ini adalah perjuangan melawan hawa nafsu dan berusaha mengenali Allah serta berusaha memperbaiki diri agar menjadi hambaNya yang bertaqwa..

"WAHAI TUHAN YANG MAMPU MEMBOLAK-BALIKKAN HATI KAMI,
TETAPKAN HATI KAMI DI ATAS AGAMAMU
DAN JUGA KETAATAN KEPADA PERINTAHMU"

Abu Nasih
W. P. Labuan
8 September 2008/8 Ramadhan 1429

No comments: