Friday, April 4, 2008

"FITNA" ISU SEJAGAT:SEMUA MEMAINKAN PERANAN

By: Aliff Basri

"Fitna"
Beberapa hari sebelum Fitna hangat diperkatakan, saya mendapat tahu tentang agenda Geert Wilders ini dari laman web Lim Kit Siang. Artikel tentang Fitna ini diulas oleh Farish A. Noor. Beberapa hari selepas itu(selepas Maulidur rasul), isu ini mula hangat diperbincangkan oleh hampir lapisan masyarakat(tidak ketinggalan mahasiswa-mahasiswa di IPT). Yang kaya, berkuasa, tidak berkuasa, berkepentingan, tidak berkepentingan dan para ulamak, semua membincangkan tentang isu ini. Ini merupakan isu umat Islam dan sejagat. Ia adalah soal keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dunia. Bagaimana mungkin singa akan membaham manusia jika habitat mereka tidak diterokai hingga menyebabkan mereka tiada sumber makanan? Begitu juga di analogikan kepada hidup manusia. Umat Islam tidak akan bertindak agresif untuk menjaga Islam tercinta(memboikot produk Belanda) jika Islam tidak diperlekehkan atau difitnah seperti yang dilakukan oleh Geert Wilders. Ramai ulamak telah menyokong usaha ini. Walau bagaimanapun, saya yakin bahawa pemboikotan ini adalah bersifat sementara untuk 'mengajar' Belanda agar mendidik rakyatnya untuk menghormati sensitiviti agama lain.


Sedar atau tidak, sebenarnya ada segolongan masyarakat yang keliru dengan tindakan pemboikotan ini. Saya ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat tentang perbincangan santai(tapi berisi) saya dengan seorang rakan mahasiswa saya yang berbangsa India dan beragama Hindu. Namanya Srideran a/l Tamil mogan. Dia seorang yang 'alert' dengan politik tanah air dan berminat dengan gerakan mahasiswa serta suasana reformasi yang sedang berlaku ketika ini. Dia datang bilik saya lebih kurang jam 1.00 pg tadi. Perbincangan yang berlanjutan sehingga jam 3.00 pagi itu banyak berkisar tentang perbandingan agama antara Islam, Hindu dan sedikit tentang Kristian. Antara yang dibincangkan ialah tentang video klip Fitna. Sebenarnya pertemuan pada pagi ini memang sudah dirancang sejak petang tadi semasa terserempak dengan dia waktu hendak ke bandar Labuan. Jadi saya ambil kesempatan itu untuk tanya pendapat dia tentang Fitna. Tapi perbincangan terhad kerana waktu terhad. Akhirnya, pertemuan ditetapkan pada pagi tadi. Setakat sedikit ilmu yang saya ada, saya kongsikan pada beliau tentang salah faham yang berlaku dalam video klip tersebut dan turut diberitahu, mengapa umat Islam mesti berjihad. Alhamdulillah, dia faham(risau juga kalau tak faham, bimbang dia makin keliru pula).


Kemudian bangkit isu pemboikotan. Dia sebenarnya rasa 'kurang selesa' dan tidak faham, mengapa perlu boikot? Sedangkan dia pun suka guna produk seperti Dutch lady dan beberapa keluaran produk Belanda. Ini kerana, berdasarkan apa yang dia lihat dan dengar di media masa seperti TV 3(dia bagi contoh), menteri-menteri dan ilmuan Islam yang mengeluarkan kenyataan, tidak menerangkan secara jelas, mengapa produk Belanda perlu di Boikot? Sampai bila? Ini antara persoalan yang bermain di fikirannya. Saya pun menerangkan tujuan pemboikotan ini dan selama mana perlu diboikot. Pemboikotan ini sebagai tindak balas kepada perbuatan pihak yang tak bertanggungjawab(macam Geert Wilders) agar mereka sedar bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah tidak betul dan boleh menggugat ketenteraman awam. Kemudian dia menambah, bahawa sekiranya ia diterangkan dengan jelas, pada dia tiada masalah untuk yang bukan Islam turut menyokong usaha ini kerana ia melibatkan isu sejagat. Itulah serba sedikit yang saya hendak kongsikan di sini.

Moral yang saya hendak sampaikan ialah betapa perlunya kita mendekati non muslim untuk menerangkan situasi sebenar. Bukan semua masyarakat non Muslim yang benar-benar faham apa yang berlaku ketika ini. Pada saya, diskusi tentang isu ini(Fitna) untuk memberi kefahaman kepada masyarakat non Muslim perlu dilakukan dan diperbanyakkan. Bukan sahaja dalam hal ini, malah dalam hal-hal yang lain seperti dalam fiqh Jinayah (contoh hukum hudud), Fiqh siyasah dan daulah(seperti istilah negara Islam) dan banyak lagi isu-isu lain yang perlu didedahkan kepada masyarakat non muslim, apatah lagi kepada yang Muslim. Ini semua tanggungjawab kita bersama sebagai mahasiswa Islam. Pihak kepimpinan mahasiswa(MPP), universiti, NGO-NGO Islam, dan kerajaan perlu memainkan peranan untuk memberi kefahaman kepada non Muslim tentang Islam yang benar(bukan Islam Hadhari yang terpesong). Dalam hal ini, tidak cukup dengan kenyataan untuk memboikot, malah perlu di adakan diskusi ilmiah tentang isu ini.

Sekadar perkongsian pengalaman dan pendapat.....

Dan saya ingin berkongsi 5 Kompenan yang disyorkan oleh Dr Yusof al-Qaradhaawi untuk kita laksanakan:


1. Membuktikan secara ilmiah bahawa tuduhan yang dilemparkan terhadap Rasulullah adalah tidak benar.
2. Meminta supaya Negara-negara Islam bertegas dalam hal ini seperti yang disifatkan oleh beliau sebagai ‘berdiri secara jantan”.
3. Mendesak pemerintah kaum Muslimin supaya tegas membantah tindakan tersebut.
4. Menerbitkan karya yang mengmbarkan keindahan Islam supaya non-Muslim lebih memahami Islam yang indah.
5. Memboikot produk negara-negara yang mnghina Islam dan umatnya.

5 kompenan yang disyorkan ini adalah ehsan dari: http://ibnu-qayyim.blogspot.com/


No comments: