Thursday, April 3, 2008

SEJARAH MATAWANG DINAR DAN DIRHAM (BGHN. 1)

SEJARAH MATAWANG DINAR DAN DIRHAM

Sumber: http://www.igdscc.org

Muqaddimah

1) Sejarah Lahirnya Matawang

Allah S.W.T. yang Maha Bijaksana telah menciptakan manusia yang memang sejak mula-mula lagi memerlukan kepada makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal. Maka berdasarkan kepada keperluan tersebut, Allah S.W.T. menjadikan seluruh isi langit dan bumi sebagai suatu kemudahan kepada manusia untuk membina kehidupannya. Dalam sebuah firman Allah S.W.T. menyatakan :

{اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقاً لَكُمْ وَسَخَّرَ لَكُمُ الْفُلْكَ لِتَجْرِيَ فِي الْبَحْرِ بِأَمْرِهِ وَسَخَّرَ لَكُمُ الْأَنْهَارَ} [ابراهيم:32 ] Yang bermaksud : Allah S.W.T, Dialah yang menciptakan langit dan bumi dan menurunkan hujan daripada langit, maka, Dialah Allah yang dengannya telah mengeluarkan buah-buahan sebagai rezeki untuk kamu, dan Dialah Allah yang telah memberi kemudahan kepada kamu melalui kapal bahtera untuk belayar di lautan dengan perintahNya, dan Dialah juga Allah yang telah memberi kemudahan kepada kamu dengan sungai-sungai yang mengalir.
Sejak dari saat itu, manusia berusaha bertungkus-lumus bekerja semata-mata untuk menjamin bahawa mereka dapat mengecapi nikmat kehidupan menerusi barang-barang keperluan mereka dan perkhidmatan kurniaan Allah Taa\'la.

Sudah sememangnya, manusia diciptakan Allah untuk hidup secara berkelompok dan bermasyarakat, sebab tiada semua barang-barang dan perkhidmatan diperolehi melalui usaha individu. Seorang ahli ilmuan Islam yang dikenali dengan nama Abu al Fadhl Jaafar bin Ali ad-Dimashqiyy pernah menyatakan bahawa memandangkan kepada usia manusia yang begitu singkat, dia tidak akan mampu untuk menguasai semua bidang pekerjaan walaupun dia memiliki berbagai-bagai kebolehan dan keistimewaan. Ini adalah kerana, sepertimana yang dikatakan olehnya, kerajaan itu sendiri ada bermacam-macam jenis dan setiap satunya mempunyai kaitan dengan kerja-kerja yang lain. Umpamanya, sebuah binaan sememangnya memerlukan kepada buruh binaan. Mereka ini pula memerlukan kepada tukang besi. Dan tukang besi pula memerlukan kepada pihak yang mampu mengusahakan bahan-bahan logam, malah kesemua tugas-tugas dan kerja berkenaan memerlukan kepada wujudnya pusat pengurusan bagi menjayakan projek tersebut, dan begitulah seterusnya (Abu al Fadhl Jaafar bin Ali ad-Dimashqiyy- al Isyarah ila Mahasin al Tijarah, hlmn 20-21, cetakkan 1997) .

Maka dengan wujudnya berbagai-bagai keperluan manusia, akhirnya ianya membawa kepada keperluan manusia sama ada secara langsung ataupun tidak untuk saling membantu antara satu sama lain. Maka sebagai langkah pertama lahirlah sistem al-muqayadhah ( barter system iaitu pertukaran barang dengan barang) sebelum wujudnya matawang yang digunapakai sebagai alat tukaran bagi mendapatkan barang dan perkhidmatan.

2) Matawang Bangsa-Bangsa di Dunia
Secara umumnya, ianya dapat disimpulkan kepada lima perkara berikut:

1) Wang dikalangan masyarakat Lydia
Pernah dikatakan bahawa, orang-orang Lydialah kumpulan manusia pertama yang mengenali wang yang dicap. Ianya bermula dengan lahirnya wang dikalangan ahli-ahli perniagaannya setelah mana mereka menghadapi masalah pertukaran barangan dan perkhidmatan berdasarkan sistem barter. Pihak kerajaan Lydia telah menumpukan perhatian mengecap wang di zaman pemerintahan Crusus di tahun 546-570 sebelum masihi, dimana di zaman inilah kali pertama munculnya wang emas (dinar) dan perak (dirham) yang dicap.

2) Wang di kalangan masyrakat Greek
Masyarakat Greek pula telah menggunakan wang dalam bentuk barangan, kerana itu masyarakat Greek banyak menyimpan kapak dan gelang-gelang besar yang diperbuat daripada gangsa. Kemudian barulah mereka menggunakan emas dan perak, dimana pertama kali yang mereka lakukan ialah menggunakan kepingan-kepingan emas dan perak sehinggalah wang dicap pada tahun 406 sebelum masihi. Orang-orang Greek mengukir di atas wang tersebut dengan ukiran sembahan mereka ataupun pemimpin-pemimpin mereka. Mereka juga sempat mengukir nama negeri asal wang itu diperbuat. Adapun matawang asasi bagi masyarakat Greek dikenali dengan nama drachma, yang diperbuat daripada perak.

3) Wang di kalangan masyarakat Rom
Sebelum kurun ketiga masihi, masyarakat Rom telah menggunakan matawang gangsa yang diberi nama Iz. Mereka juga pernah menggunakan matawang yang diperbuat daripada tembaga. Pernah disebutkan bahawa orang pertama yang mencipta matawang tersebut adalah Numa atau Cirqus Telius. Kemudian pada tahun 269 sebelum masihi, mereka menggunakan matawang perak. Wang emas yang diberi nama dinarus telah dijadikan asas kepada sistem matawang Rom yang telah dicap pada tahun 268 sebelum masihi. Pernah matawang Rom dicipta dengan ukiran gambar tuhan-tuhan dan pahlawan-pahlawan Rom, sepertimana yang berlaku di zaman Julius Ceasor. Pernah berlaku penipuan dalam matawang Rom dimana kadang-kadang logam emas dicampurkan dengan logam-logam lain, yang akhirnya kurang digunapakai oleh masyarakat.

4) Wang di kalangan masyarakat Parsi
Sejak kerajaan Lydia menguasai Parsi pada tahun 546 sebelum masihi, masyarakat disana mempelajari kaedah mencipta wang dimana nilai wang emas melebihi wang perak dengan nisbah 1: 13.5, yang bererti nilai emas lebih tinggi daripada perak.

Buat pertama kali, wang dicipta berbentuk segi empat, kemudian akhirnya bertukar kepada bentuk bulat yang diukir diatas matawang tersebut ukiran rumah-rumah sembahan mereka serta obor-obor api. Dan matawang yang digunakan secara meluas ialah wang perak tulin sebelum jatuhnya kerajaan Parsi.

(bERSAMBUNG....)

"ISLAM 4 ALL"

No comments: