Friday, April 18, 2008

Memorandum B.A.S.M.I

Salam Mujahid,

Sebagai respon terhadap isu FITNA dan beberapa lagi isu penghinaan terhadap Islam, Persatuan Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan telah mengambil inisiatif dengan membuat satu memorandum bantahan terhadap isu pendiskriminasian terhadap Islam.

Bantahan Spekulasi Media Internasional (BASMI)

Ia merupakan memorandum rasmi yang dibuat oleh pihak MPP UMS Labuan yang disokong oleh Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa(JAKMAS) dan Badan Dakwah dan Kerohanian (BADAR). Bagi menjayakan kempen kesedaran ini terhadap warga kampus, beberapa perkara telah dilakukan seperti majlis penerangan tentang ancaman yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam dan perlunya kesatuan semua mahasiswa Islam UMS KAL bertempat di Masjid al-Hikmah, UMS KAL. Selain itu, warga UMS KAL juga diedarkan risalah tentang kronologi penghinaan terhadap Islam yang telah dilakukan sejak sekian lama. Perlu ditekankan di sini bahawa tujuan diadakan protes ini sebagai menunjukkan rasa sensitifnya umat Islam terhadap sebarang isu yang tidak benar dan disebarkan oleh golongan-golongan tertentu yang bertujuan untuk mengelirukan umat manusia seluruhnya terhadap Islam.

Sebagai usaha untuk menunjukkan protes yang bersungguh-sungguh daripada mahasiswa, kempen Boikot Barangan Belanda telah dilakukan. Pihak MPP UMS KAL dengan kerjasama JAKMAS dan BADAR serta mahasiswa-mahasiswa UMS KAL juga telah bersetuju untuk melakukan 'perhimpunan aman'. Walau bagaimanapun, perhimpunan tersebut tidak dapat dilaksanakan selepas solat Jumaat tadi kerana tidak mendapat kebenaran pihak HEP. Pelik dan penuh tanda tanya. Kenapa HEP susah sangat hendak memberi kebenaran pada pelajar untuk mencuba sesuatu yang baru?(UMS KAL tak pernah buat sebarang perhimpunan aman atau demonstrasi seperti di IPT-IPT di semenanjung). Bukannya mahasiswa hendak mengganas...bukannya mahasiswa hendak melawan kerajaan.. Inikan isu sejagat, isu antarabangsa... Sepatutnya pihak universiti memberi peluang kepada mahasiswa untuk bebas bersuara menurut saluran yang betul. Dan perhimpunan aman adalah salah satu cara atau saluran untuk menyatakan hasrat mereka. Ini dilakukan oleh negara-negara demokrasi yang benar. Bukankah Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen?

Mungkin mereka takut dan masih belum bersedia untuk menerima perubahan daripada mahasiswa-mahasiswa yang celik isu-isu semasa. Mungkin pada sangkaan mereka bantahan-bantahaan berupa perhimpunan awam tidak memberikan sebarang faedah pada mahasiswa UMS KAL. Cukup sekadar belajar dan menuntut ilmu di dewan kuliah. Yang penting, perbaiki diri. Macam mana nak perbaiki diri kalau TIDAK TIMBUL KESEDARAN? Tujuan perhimpunan itu adalah untuk menunjukkan tahap kematangan mahasiswa UMS KAL bahawa 'kami sudah besar dan mahu bertindak sebagai seorang dewasa'. Perlu difahami bahawa perhimpunan aman itu bukan satu-satunya tindakan yang diambil sebagai tanda kasih dan sayang pada Rasulullah dan Islam, malah lebih dari itu, mahasiswa disaran agar sentiasa memperbaiki diri untuk menghiasi peribadi sebagai Individu Muslim. Jihad ekonomi juga dilaksanakan dengan melakukan pemboikotan terhadap barangan keluaran Belanda. Pihak PMUMS KAL juga mengharapkan suatu tindakan yang rasmi dari pihak UMS KAL diambil dalam usaha untuk bersama-sama menjaga perpaduan antara agama dan bangsa. Sememangnya UMS KAL adalah sebuah kampus yang unik. Mahasiswanya yang terdiri dari berbilang-bilang bangsa dan agama perlu diberi kefahaman yang lebih jelas lagi tentang Islam walaupun pada pengamatan saya tahap perpaduan antara kaum berada diperingkat yang sangat baik di UMS KAL ini.

Pada pandangan saya, pihak HEP UMS KAL tidak sepatutnya menghalang mahasiswa-mahasiswa untuk melakukan perhimpunan aman selagi mana akhlak-akhlak terjaga dan mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak universiti. Pihak universiti boleh mengambil tindakan sekiranya garis panduan mengadakan perhimpunan awam di kawasan kampus dilanggar oleh mahasiswa yang terlibat. Tidak menjadi masalah. Pokoknya di sini, pihak universiti seharusnya sedar bahawa dalam usaha membentuk modal insan yang gemilang, minda mereka perlu kritis. Kritis dari segi mampu mmpersoalkan dasar-dasar universiti atau kerajaan yang didapati tidak memberi manfaat malah memberi mudarat kepada rakyat dan mahasiswa. Mahasiswa tidak boleh hanya sekadar menerima atau mengkritik isu-isu berkaitan dengan apa yang dipelajari di dewan kuliah atau hanya yang berkaitan dengan jurusan yang diambil sahaja. Jangan bimbang, kritikan yang diberikan oleh mahasiswa yang professional bukan hanya dengan air liur basi sahaja, malah ia disertai dengan idea-idea atau cadangan-cadangan bagi mengatasi persoalan yang timbul. Ini merupakan peluang yang perlu diberikan oleh pihak universiti kepada mahasiswa-mahasiswa, terutamanya mahasiswa-mahasiswa UMS KAL.

Harapan saya agar pihak universiti dapat mengkaji persoalan ini samada perlu memberi peluang kepada mahasiswa untuk melakukan sebarang perhimpunan aman di kampus atau tidak. Sekiranya dibenarkan, saya menyarankan agar satu garis panduan digubal untuk memastikan perhimpunan yang akan dilaksanakan tidak menimbulkan masalah. Kepada aktivis mahasiswa, terutamanya aktivis-aktivis mahasiswa Islam UMS KAL, teruskan pejuangan kalian di bumi Labuan. Tingkatkan pergantungan kepada Allah agar dakwah Islam dapat tersebar dengan cemerlang di bumi UMS KAL. Ingatlah, jangan ghairah berjuang tanpa memahami maksud dan matlamat perjuangan. Kefahaman perlu dipertingkatkan dan diperteguhkan dijiwa dan hati sanubari kita semua. Jangan gentar dengan musuh-musuh Allah. Teruskan perjuangan... Ini sekadar perkongsian pandangan peribadi....

"ISLAM 4 ALL"

No comments: