Thursday, April 24, 2008

Jangan abaikan soal Tarbiyyah..wahai pejuang Islam

By: Aliff Basri

Tengah hari tadi, waktu membaca berita di harakahdaily, saya tertarik dengan berita berkaitan dengan 'Usaha Pemantapan PAS Pasca PRU-S/u Agung PAS'. Borang keahlian PAS habis dibeberapa buah negeri. Ini menunjukkan bahawa PAS, yang merupakan wadah perjuangan untuk menegakkan Islam di Malaysia melalui saluran demokrasi, sudah semakin diterima masyarakat umum.Saya juga optimis untuk mengatakan bahawa, sekiranya keahlian PAS dibuka kepada non-muslim, sudah tentu mereka juga akan berpusu-pusu untuk menjadi sebahagian dari ahli keluarga PAS. Ini kerana mereka yakin keadilan Islam yang dibawa oleh PAS.

Sewaktu membaca berita berkenaan, secara spontan hati saya tidak tenang, badan saya menggigil dan seolah-olah nak nangis. Saya terfikir sekiranya keahlian PAS bertambah, alangkah baiknya jika usrah dapat dikembangkan untuk setiap orang yang menjadi ahli PAS. Ini bermakna setiap ahli masyarakat yang menyertai PAS melalui pengisian borang, akan diadakan program khas buat mereka sekurang-kurangnya setiap bulan sekali secara berterusan. Tidak hanya terhad pada penggerak sepenuh masa atau yang komited dengan gerak kerja jemaah. Tapi sekiranya pertambahan tersebut tidak didasari dengan kefahaman yang benar tentang perjuangan yang dibawa oleh PAS, ia mungkin boleh membawa fitnah besar pada gerakan satu masa nanti. Saya bimbang jika satu hari nanti PAS menjadi wadah politik semata-mata dengan terabainya TARBIYYAH ahlinya. Walau bagaimanapun, saya yakin dengan kepimpinan parti bahawa tidak akan sama sekali mengabaikan soal tarbiyyah yang menjadi nadi perjuangan.

Politik, politik juga, tapi aspek tarbiyyah jangan ditinggalkan

Kefahaman terhadap perjuangan Islam mesti sentiasa diasah oleh setiap ahli gerakan. Selain usrah, banyak lagi medium tarbiyyah yang mesti diambil berat oleh setiap ahli gerakan. Sebarang program tarbiyyah yang dianjurkan oleh jemaah, masti dihadiri tanpa sebarang alasan. Setiap ahli gerakan mesti faham bahawa setiap program yang ditentukan oleh pimpinan bukan suka-suka, bahkan ia sebenarnya bertujuan untuk melahirkan pejuang Islam yang berkualiti tinggi. Pejuang yang berkualiti tidak akan dapat dibentuk tanpa latihan yang berterusan. Pendek kata, jangan 'escape' program tarbiyyah. Setiap ahli gerakan yang mengaku untuk menjadi pejuang Islam seharusnya bermuhasabah, benarkah diri ini seorang pejuang Islam? Atau sekadar untuk tumpang 'glamour' bila dipuji kerana berani atau sebagainya? Ini yang perlu diambil perhatian oleh setiap ahli gerakan. Saya risau sangat, jika diri saya sendiri berjuang ketika ramai sahabat seperti di kampus, tapi bila sudah keluar kampus, adakah saya akan bertahan jika satu hari nanti saya hanya berkeseorangan?Itu satu persoalan. Selain itu timbul pula persoalan, betul ke apa yang diperjuangkan? Sekali lagi aspek kefahaman dasar perjuangan memainkan peranan yang penting agar tidak berada diawang-awangan dan 'tidak mudah ditiup angin'.

Jika ahli gerakan Islam tidak faham dasar perjuangan yang dibawa melalui wasilah PAS, amat mudah bagi seseorang ahli gerakan Islam itu semakin menjauhi jemaah(Nauzubillah...haaai...risau nye..moga dijauhkan..). Sebab itulah, sebarang program tarbiyyah mesti diikuti oleh setiap ahli gerakan Islam. Jika sibuk sekali pun, carilah sekelumit masa untuk menambah kefahaman melalui perbincangan dengan sahabat-sahabat atau ustaz jika tidak faham tentang sesuatu perkara bersangkutan dengan jemaah dan Islam(jika dikampus atau di luar lepas belajar nanti), menghadiri majlis ilmu (walau sehari seminggu) atau membaca harakah. Semoga roh perjuangan Islam sentiasa mekar dihati kita.

Sebab itu saya amat berharap agar setiap ahli gerakan Islam dapat menitik beratkan soal tarbiyyah. Di peringkat jemaah, sudah tentu ada program-program yang ditetapkan untuk meningkatkan kualiti ahlinya. Manakala diperingkat ahli itu sendiri, perlu kreatif untuk mendapat kefahaman yang jelas tentang perjuangan. Tarbiyyah ruhiyyah perlu dipertingkatkan melalui penyucian hati dan menanamkan sifat-sifat mahmudah. Seterusnya meningkatkan pergantungan diri kepada Allah. Tarbiyyah ini pula perlu difahami, tidak hanya berkaitan dengan ruhiyyah, malah ia juga berkaitan dengan jihadiyyah (ketahanan fizikal), amal soleh(solat, baca al-Quran), jamaiyyah (adab berjemaah), siyasiyyah(etika berpolitik menurut Islam) dan sebagainya. Jemaah ingin menghasilkan jundu-jundu yana berpakej lengkap dengan ilmu pengetahuan yang jelas tentang Islam, berkemahiran tinggi dalam pengurusan organisasi dan boleh masuk dalam masyarakat.

Semoga para pejuang Islam dapat bermuhasabah diri sama ada benar atau tidak diri ini seorang pejuang Islam. Ini sekadar pandangan dari saya yang masih perlukan tarbiyyah dan ilmu serta amat kurangnya pengalaman....

"ISLAM 4 ALL"

No comments: