Friday, April 4, 2008

SEJARAH MATAWANG DINAR DAN DIRHAM (BHGN. 2)

5) Wang dalam Negara Islam.

1) Di zaman Baginda S.A.W.

Semasa zaman Jahiliyyah, masyarakat Arab di Hijaz tidak memiliki sebarang matawang yang khusus. Sebaliknya, wang-wang yang mengalir masuk ke Hijaz padamasa itu ialah dinar-dinar emas kerajaan-kerajaan Rom di Syam, dan matawang dirham (perak) daripada kerajaan Sasan di Iraq, dan sedikit daripada wang Yaman Himyar. Mengikut kebiasaan, ahli-ahli perniagaan Quraish yang berulang-alik dari Syam (pada musim panas) ke Yaman (pada musim sejuk). Sepertimana yang diceritakan di dalam al Quran di dalam surah Quraish dimana Allah berfirman yang bermaksud : Demi keselamatan, ketenteraman, dan kedamaian yang dinikmati oleh qafilah perniagan Quraish sepanjang pengembaraan mereka di musim sejuk ke Yaman dan pada musim panas di Syam tanpa sebarang gangguan, maka hendaklah mereka mengabdikan diri kepada Allah-Tuan kepada Rumah Allah yang telah memberi kenyang mereka itu daripada lapar, dan mengamankan kita daripada sebarang ketakutan.(Surah Quraish, ayat 1-4)

Penduduk-penduduk Mekah, mereka berjual beli dengan menggunakan logam perak yang masih mentah itu dengan cara timbangan demi mengelakkan daripada sebarang kekecohan.

Maka ketika Baginda S.A.W diutuskan mejadi Nabi dan Rasul, Baginda telah memperakukan apa yang pernah diamalkan oleh penduduk Mekah semasa berjual-beli. Seterusnya Baginda menyarankan agar penduduk Madinah juga mengikut jejak langkah penduduk Mekah iaitu dengan menggunakan timbangan. Dalam salah sebuah sabda Baginda ada menyatakan : \" Timbangan adalah mengikut timbangan penduduk mekah, manakala sukatan dengan mengikut timbangan penduduk Madinah.\"

Kesimpulan :

Semasa pemerintahan Baginda S.A.W., Baginda tidak membuat sebarang perubahan terhadap matawang pada masa itu kerana Baginda memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha pengukuhan agama Islam di Semenanjung Arab. Maka dengan itu, wang-wang emas dan perak dari luar Semenanjung Arab masih digunapakai oleh masyarakat setempat.

2) Wang di zaman pemerintahan khulafa\' ar-rashidin
Memandangkan bahawa semasa pemerintahan Saidina Abu Bakr as-Siddiq R.A hanya selama 2 tahun 4 bulan, beliau tidak sempat membuat sebarang perubahan terhadap kedudukan mata wang Semenanjung Arab disebabkan beliau terpaksa memberikan penumpuan terhadap kumpulan murtad yang muncul di zaman pemerintahannya. urusan peperangan .
Begitu juga keadaan yang berlaku di zaman pemerintahan Saidina Umar al Khattab R.A. pada peringkat awal pemerintahannya, sehinggalah menjelang tahun ke 18 hijrah ( dalam sesetengah riwayat mengatakan tahun 20 hijrah) satu usaha yang dijalankan oleh Saidina Umar ialah mencipta wang dalam Islam, cumanya masih di dalam bentuk wang dirham kerajaan Sasaan di Iraq dengan ukiran-ukirannya dengan sedikit penambahan lambing tauhid Allah Ta\'ala dengan menggunakan tulisan Kufi, seperti Bismillah, Bismillahi Rabbi, Alhamdulillah, dan sesetengahnya pla ditulis dengan Muhammad Rasulullah.

Di zaman pemerintahan Saidina Uthman bin Affan R.A., wang dirham yang dicipta adalah sama dengan wang dirham pada zaman Saidina Umar. Cumanya terdapat sedikit penambahan dengan menyatakan tempat wang itu dicipta, tarikh ia dikeluarkan dengan menggunakan huruf Bahlawiyyah ( Parsi) umpama Bismillah, Barakah, Bismillahi Rabbi, Allah dan Muhammad. Kesemua itu ditulis dengan tulisan Kufi (Iraq).

Semasa pemerintahan Saidina Ali R.A., wang-wang dirham dicipta mengikut dirham di zaman khalifah Saidina Uthman, iaitu dengan menggunakan kalimah-kalimah dan perkataan- perkataan Kufi, seperti Bismillah, Bismillahi Rabbi dan Rabbi Allah.

3) Wang di zaman kerajaan Umawiyyah

Usaha kearah mewujudkan wang dirham di zaman pemerintahan Umawiyyah telah bermula sejak Muawiyah bin Abi Suffian R.A. memerintah dengan mengikut reka bentuk wang kerajaan Sasaan( Parsi) di Iraq dengan meletakkan beberapa lambang tauhid seperti yang berlaku di zaman khulafa\'.

Semasa pemerintahan Abdul Malik bin Mirwan, selain kejayaannya menghapuskan pengaruh dua orang penentangnya iaitu Abdullah dan Mus\'ab bin az-Zubair R.A, beliau telah berjaya mencipta wang dimana ini berlaku pada tahun 76 hijrah dengan munculnya mata wang Islam khas yang bebas daripada sebarang pengaruh Rom dan Parsi. Dengan itu Abdul Malik bin Mirwan dikira sebagai orang atau khalifah yang pertama yang telah berjaya mencipta wang daripada dinar dengan memiliki cirri-ciri keislaman.

Beberapa pendapat tentang kenapa Abdul Malik bin Mirwan bertindak demikian. Setengah pendapat mengatakan ianya berlaku diatas dorongan agama dimana wang dinar pada masa itu diukir dengan tanda-tanda salib (Kristian). Sesetengah pula mengatakan ianya disebabkan berlaku sangketa antara baginda dan raja Rom.

Walau bagaimanapun, kemajuan ang dicapai oleh Abdul Malik bin Mirwan telah menjadikan kerajaan Islam pada masa itu berada dalam keadaan mantap dan berkurangnya gejala penipuan terhadap matawang. Suasana ini berterusan hinggalah ke zaman pemerintahan Yazid bin Abdul Malik dan Hisham bin Abdul Malik.


4) Wang di zaman kerajaan \'Abbasiyyah dan selepasnya

Kerajaan \'Abbasiyyah telah meneruskan kerja-kerja mengeluarkan wang dinar dan dirham seperti mana yang dijalankan oleh kerajaan Umawiyyah sebelum ini.

Akan tetapi, setelah mana kerajaan \'Abbasiyyah telah mulai lemah dan urusan Negara dimonopoli oleh orang-orang Turki, wang Negara banyak digunakan untuk projek-projek mewah dimana kerajaan memerlukan belanja yang besar untuk tujuan tersebut. Maka sejak itu, gejala penipuan wang-wang dirham muncul semula menyebabkan wang-wang dirham palsu mengambil tempat dalam masyarakat. Selepas itu timbul pula masalah inflasi yang menyebabkan turunnya nilai matawang ke peringkat yang paling rendah.

5) Wang di zaman kerajaan Fatimiyyah

Semasa pemerintahan Fatimiyyah, penipuan terhadap wang dirham berlaku secara berleluasa, yang menyebabkan harga perak turun menjunam. Pernah disebutkan bahawa semasa pemerintahan al-hakim bi Amrillah, nilai 1 dinar bersamaan dengan 34 dirham. Di zaman pemerintahan Salahuddin al-Ayyubi, jumlah logam emas tidak mencukupi untuk dijadikan matawang. Ianya berpunca daripada peperangan yang berlaku di zaman tersebut sehingga matawang utama kepada masyarakat pada masa itu ialah wang perak. Itupun bukannya perak yang tulin, sebaliknya logam tersebut telah dicampurkan dengan logam-logam yang lain dimana menyebabkan mutunya makin menurun.

Dan semasa pemerintahan Mamalik (kerajaan Uthmaniyah), wang-wang fulus (wang yang tidak ada nilai umpama satu sen) dikeluarkan secara berleluasa hinggakan wang ini dijadikan wang utama sehingga ke zaman pemerintahan az- Zahir Barquq sementara matawang dirham lenyap dalam pasaran. Antara punca-puncanya ialah : 1) Logam perak dieksport ke Negara Eropah, 2) Bertambahnya jumlah import tembaga daripada negara-negara Eropah akibat daripada bertambahnya lombong-lombong tembaga di kebanyakan wilayah Eropah, 3) Bertambahnya penggunaan barang-barangan perak.

6) Wang di zaman pemerintahan kerajaan Uthmaniyyah
Sejak kerajaan Uthmaniyyah memegan takok pemerintahan itu pada tahun 955 hijrah, bersamaan dengan tahun 1534 masihi, sistem wang yang berjalan pada masa itu ialah mengikut kaedah gabungan dua bentuk logam iaitu emas dan perak dengan nisbah 1 : 15.

Pada tahun 1839 masihi, kerajaan Uthmaniyyah telah mengeluarkan matawang baru dikenali sebagai Qa-I-mah (Gaima) dalam bentuk wang kertas. Dan dalam tahun 1844 masihi, sistem wang baru diperkenalkan sebagai al Majidi (perak) dan begitu juga wang emas (dinar).

Bila berlaku peperangan dunia yang pertama, kerajaan Turki mengisytiharkan bahawa satu-satunya bentuk matawang ialah wang kertas sahaja yang sah diperlakukan, manakala wang emas dan wang perak dimansuhkan. Peraturan ini berkuatkuasa keatas semua negeri-negeri dibawah kuasa kerajaan Uthmaniyyah. Maka sejak tahun 1914 masihi, penggunaan wang-wang kertas di semua negeri-negeri adalah satu kemestian dan matawang ini merupakan matawang asasi dan tidah akan menerima sebarang perubahan.

Setelah tamatnya peperangan dunia yang pertama, kerajaan Inggeris telah cuba untuk kembali berpegang kepada sistem lindungan emas demi menjamin keutuhan matawang agar mantap dalam semua keadaan. Ini berlaku antara tahun 1925 hingga ke tahun 1971 dimana jongkong-jongkong emas dijadikan sebagai pelindung dan penaung kepada matawang kertas.

Begitulah usaha-usaha kerajaan Inggeris untuk cuba menerajui program ini yang kemudiannya diikuti oleh negara Perancis pada tahun 1928 serta seluruh negara-negara yang lain yang menggunapakai sistem jongkong-jongkong emas.

Adapun bagi negara-negara yang sedang membangun, maka peranannya adalah hanya sekadar mengikut jejak langkah negara-negara penjajah. Diantara kesannya ialah emas yang dijadikan cagaran oleh negara-negara yang dijajah dijadikan simpanan di pembendaharaan di negara barat sebagai timbale balik kepada matawang luar yang disimpan di negara sedang membangun sebagai penaung kepada matawang negara-negara tersebut. Dan kesemua matawang negara-negara yang dijajah mesti bersedia untuk ditukar kepada emas dengan cara ditukar kepada matawangluar yang mempunyai daya pertukaran secara langsung.

Walau bagaimanapun, sistem jongkong emas ini tidak bertahan lama, kerana kerajaan inggeris telah menghadapi krisis eknomi yang agak berat dimana suara ramai menuntut agar kerajaan menukar haluan. Dalam masa yang sama, emas simpanan dalam bank Inggeris turun menjunam yang menyebabkan pihaknya dalam tahun 1931 menyatakan bahaw tukaran wang pound sterling kepada emas hendaklah dihentikan. Maka secara automatic, kesemua matawang yang berkaitan dengan wang sterling turut terbantut.

Perancis pula dalm tahun 1936 telah membekukan semua semua kerja-kerja pertukaran matawang, dan bermula dari tarikh itu tidak ada matawang yang boleh ditukar kecuali ringgit Amerika sahaja yang masih mampu untuk berbuat demikian sehinggalah ke tahun 1971 dimana Presiden Amerika Nixon telah membuat kepututsan untuk membekukan tukaran dolar kepada emas. Walau bagaimanapun kesemua negara-negara-sejak berlakunya peperangan dunia pertama telah menjadikan wang kertas sebagai matawang rasmi negara.

Kesimpulan :

Berdasarkan kepada faktor-faktor diatas, pada hemat penulis sudahlah sampai masa dan ketikanya untuk cerdik pandai Islam istimewanya kumpulan professional Islam memikirkan cara yang lebih serius kearah mengangkat martabat Islam dan maruah bangsanya yang telah tercabar dan tercemar akibat pertembungan kekuatan yang tidak seimbang. Kita tetap yakin dengan janji-janji Allah terhadap umat yang memperjuangkan Islam dengan kejayaan dan kecemerlangan. Diantaranya ialah firman Allah dalam surah Quraish…..memeang benar membina kekuatan ekonomi ummah dan kesejahteraannya adalah bergantung rapat kepada sejauh manakah umat Islam itu mengabdikan diri kepada Allah Ta\'ala. Para mufassirin menyatakan at amun min ju\' adalah sebagai sistem kemantapan sesebuah ekonomi dan wan mahum min khauf sebagai aman daripada ancaman-ancaman musuh luar mahupun dalam.

Diantara langkah-langkah yang positif kearah memantapkan kedudukan ekonomi dalam Islam ialah dengan mengembalikan hak ketuanan kepada matawang dinar (emas) dan dirham (perak) sebagai asas demi memelihara kestabilan ekonomi di dalam negara dan masyarakat Islam. InsyaAllah, Allah sentiasa bersama hamba-hambanya yang berusaha gigih dalam mendaulatkan seluruh peraturan dan hukumNya.

والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Disediakan Oleh:
Hj Abd. Aziz Hj Hanafi

Sumber: http://www.igdscc.org

P/S: Berikut adalah sejarah kewujudan matawang dinar dan dirham. Ketika ini, kerajaan Kelantan telah menyahut cabaran Tun Mahathir untuk mengmbalikan kegemilangan penggunaan Dinar emas di dalam aktiviti perdagangan. Ini kerana, nilai emas adalah amat stabil berbanding nilai wang fiat yang kita gunakan ketika ini. Ini salah satu jihad yang perlu dilakukan oleh kerajaan Islam (Kelantan khususnya)untuk mengubah pemikiran masyarakat Kelantan dan Malaysia am nya agar dapat menerima dinar emas sebagai alat pertukaran. Setakat ini, alhamdulillah, di Kelantan telah mula menggunakan dinar emas dalam aktiviti membayar zakat, sebagai mas kahwin dan sebagainya. Ini merupakan permulaan yang baik untuk memajukan lagi penggunaan Dinar Emas. Insyaallah, saya akan cuba dapatkan info berkaitan dengan Kepentingan Dinar Emas dan mengapa ia patut mendapat tempat berbanding wang fiat(wang kertas dan syiling biasa yang digunakan sekarang.)

No comments: