Tuesday, April 15, 2008

Satu Hari di Banglo Berhantu....(BHGN. 1)

Salam Mujahid,

Semalam, hari Isnin bersamaan 14 April 2008, adalah hari untuk 'presentation' bagi subjek yang saya ambil pada sem ini iaitu Fiqh Muamalat. Setiap kumpulan diminta untuk membuat pembentangan berkaitan tajuk masing-masing. 'Event' dibuat di sebuah banglo di dalam kampus. Banglo itu merupakn tempat para VIP yang hadir ke kampus untuk menghadiri sebarang 'event' di UMS Labuan. Kenapa saya panggil banglo berhantu? Sebabnya, kononnya sebelum ini, sesiapa yang tinggal di banglo itu akan dikacau dengan bunyi-bunyian atau pintu secara tiba-tiba seolah-dikunci dari luar (menurut pengalaman rakan MPP yang pernah tinggal di sana). Kebenarannya hanya mereka yang merasainya sahaja yang tahu..Walau apapun, bukan ini fokus saya untuk penulisan kali ini. Sebenarnya ia berkaitan dengan hari pembentangan 'assignment' yang dilakukan dengan suasana santai iaitu dengan adanya BBQ dan jamuan ringan. Hampir 15 kumpulan membentangkan tugasan masing-masing. Bermula jam 10.00 pagi dan berehat jam 12.30 t.hari untuk solat dan makan. Kemudian disambung pada jam 2.30 petang sehingga ke kumpulan saya yang terakhir pada jam 6.15 petang semalam. Sememangnya suatu penantian yang panjang. Ada beberapa perkara yang ingin dikongsi dengan sahabat-sahabat. Semoga memberi manfaat hendaknya...

Cerita 1

Pembentang kedua membentangkan tajuk mereka berkaitan dengan zuhud yang sebenarnya. Selepas selesai pembentangan, pensyarah kami, berkongsi pengalaman tentang bagaimana merasa cukup dengan kewangan yang ada di poket. Beliau bawa sebuah kisah tentang Saidina Ali Karamallahu wajhah dengan buah delima.

Suatu hari, isteri beliau, Saidatina Fatimah mengidam buah delima. Lalu beliau pergi ke pasar untuk membeli buah tersebut. Beliau membeli sebanyak 3 biji. Dalam perjalanan, beliau terserempak dengan seorang tua yang mahukan buah delima, lalu diberikan. Perjalanan diteruskan dengan tinggal 2 biji sahaja buah delima. Sekali lagi, dipertengahan jalan, beliau terjumpa dengan seorang yang memerlukan makanan. Lalu beliau memberikan sebiji lagi buah delima kepada orng tersebut. Tinggal lagi sebiji buah delima. Ketika hendak sampai di rumah beliau, sekali lagi beliau terserempak dengan seorang fakir miskin yang berhajat kepada makanan. Lalu habislah ketiga-tiga buah delima yang diidamkan oleh isteri beliau. Beliau sangat sedih kerana tidak dapat menunaikan hasrat isterinya. Apabila sampai sahaja di rumah, beliau menerangkan apa yang berlaku sepanjang perjalanan kepada Saidatina Fatimah. Dengan senang hati Saidatina Fatimah menjawab bahawa sebentar tadi ada seseorang yang tidak dikenali telah memberikan sebakul buah delima sebanyak 30 biji kepada beliau. Beliau amat terkejut dan bersyukur pada Allah.

Moralnya, sebenarnya ada satu hadis Nabi saw berkaitan dengan anjuran bersedekah walau disaat kesusahan dan akan dibalasi dengan kebaikan yang berlipat kali ganda. Saya lupa mafhum hadis tersebut. Mohon sahabat-sahabat boleh berkongsi jika tahu... Melalui hadis tersebut, Nabi saw menggalakkan bersedekah walau di saat kesusahan dan percayalah, bahawa Allah pasti akan membalasnya dengan kelebihan berkali-kali ganda. Kemudian, dia berkongsi cerita tentang kehidupannya sewaktu belajar di Jordan. Ada satu ketika beliau berada dalam situasi kewangan yang amat terhad, bantuan kewangan masih belum sampai sedangkan beliau mampu untuk meminta bantuan kewangan yang lebih dari keluarga, namun beliau tidak melakukannya. Tetapi alhamdulillah, beliau masih dapat memenuhi segala keperluan hidup dengan baik seperti makan minum, tempat tinggal dan juga bersedekah walau dalam keadaan serba sederhana dan kewangan yang terhad. SAlah satu amalan yang beliau praktikkan setiap hari ialah baki hasil perbelanjaan pada hari setiap, misalnya 10sen, akan dikumpul selama 5 hari (bermakna berjumlah 50sen), lalu di hari terakhir, wang yang terkumpul itu, beliau sedekahkannya sama ada dimasjid atau mana-mana tabung. Maknanya di sini, satu cara yang saya lihat kita boleh amalkan untuk mendapat ketengangan dalam hidup dan bersikap Qana'ah adalah dengan memperbanyakkan sedekah dan salah satu untuk melatih jiwa adalah seperti cara beliau lakukan. Mungkin sebagai permulaan buat kita yang mungkin jarang bersedekah. Dari situ, ia dapat meningkatkan ketaqwaan kita pada Allah dan mensyukuri segala nikmat untuk dikongsi dengan hambaNya yang lain. Yakin dan percayalah, pengorbanan di jalan Allah adalah tidak sia-sia(pesanan untuk diri sebenarnya).

Cerita 2

Pembentangan kumpulan kami adalah bertajuk "Penggunaan Dinar Emas Sebagai Alat Pertukaran Perdagangan Antarabangsa: Releven atau Tidak?"....Selepas pembentangan, timbul persoalan, mengapa Dinar Emas masih gagal dilaksanakan secara meluas di peringkat Malaysia, apatah lagi dunia? Kami memberi salah satu saranan bahawa ia disebabkan masih kurangnya pendedahan kepada masyarakat umum tentang kelebihan pengaplikasian Dinar Emas sebagai alat pertukaran barangan. Oleh itu, pakar-pakar ekonomi perlu memikirkan cara yang terbaik untuk memberi penerangan yang jelas kepada setiap peringkat lapisan masyarakat tentang kepentingan Dinar Emas dan kesan positifnya pada masyarakat dan umat Islam. Dan ini pula jawapan pensyarah kami:Umum mengetahui, pakar-pakar ekonomi mengetahui bahawa Dinar Emas mempunyai potensi yang tinggi dan mampu mewujudkan persaingan diperingkat antarabangsa sebagai alternatif kepada pergantungan terhadap penggunaan Dolar Amerika, tetapi menurut pensyarah kami lagi bahawa kebanyakan negara-negara Arab tidak menyokong dengan bersungguh-sungguh dalam usaha membangunkan semula kegemilangan perlaksanaan ekonomi menurut acuan Islam. Malah ada di atara negara-negara Arab yang tidak menyokong usaha murni ini. Kami ditanya, mengapa jadi begitu? Sebabnya tidak lain dan tidak bukan kerana keterikatan negara-negara Arab dengan Amerika Syarikat dalam soal menjaga kepentingan negara masing-masing. Perlu diketahui juga bahawa, bank-bank pusat bagi setiap negara (contoh di Malaysia adalah Bank Negara Malaysia), mereka telah terikat dengan perjanjian untuk menggunakan Dolar Amerika sebagai sandaran dalam sebarang transaksi perdaganagn diperingkat antarabangsa. Ini merupakan 'penjajahan ekonomi' yang ada diantara kita tidak sedar tentang perkara ini. Akibatnya, setiap kali Tun Dr Mahathir mengutarakan hal ini(sejak 201), begitu juga ahli ekonomi islam yang lain seperti Dr Umar Vadillo dan sebagainya, Amerika Syarikat menjadi antara penentang terkuat dalam usaha membangunkan mekanisma penggunaan Dinar Emas ini. Mereka sebenarnya bimbang kedudukan ekonomi mereka akan tergugat dengan pengaplikasian transaksi menggunakan Dinar Emas ini.

Di sinilah peranan OIC yang bertindak sebagai suara ummah untuk memikirkan dan mengkaji dengan lebih serius tentang pengaplikasian Dinar Emas ke atas setiap negara-negara Islam. Kesannya, negara-negara Islam akan dapat mewujudkan satu sistem ekonomi baru masa kini dan juga memiliki matawang tersendiri seperti mana yang Kesatuan Eropah telah wujudkan (matawang EURO). Ini sebenarnya memberi kekuatan ekonomi kepada umat Islam untuk 'survive' di lapangan dunia globalisasi yang bersifat menindas yang lemah. Salah satu cara berjihad yang utama buat umat Islam pada hari ini adalah bagaimana untuk membangunkan ekonomi umat Islam...Ini perlu difikirkan dan dilaksanakan bersama.

Kelantan telah mengorak langkah dengan penubuhan rangkaian Ar-Rahnu sebagai medium gadaian cara Islam dan pengaplikasian Dinar Emas sebagai alat membayar zakat, mas kawin, simpanan dan juga sebagai hadiah. Ini merupakan usaha yang patut dipuji dan diambil pengajaran oleh kerajaan Malaysia untuk lebih serius hendak membangunkan ekonomi umat Islam. Menurut Prof Remali Yusof, seorang pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaysia Sabah telah mendapati bahawa, salah satu masalah utama yang wujud dalam usaha pengaplikasian ekonomi islam di Malaysia adalah maslah perundangan. Sistem perundangan sekarang masih belum kuat dan masih belum mampu untuk menyokong pengaplikasian sistem ekonomi Islam secara menyeluruh. Jadi, isu ini memerlukan perhatian bagi kerajaan Malaysia, jika benar hendak mendaulatkan Islam dibumi Malaysia. Bukan hanya melaungkan retorik Islam Hadhari yang boleh menimbulkan kekeliruan pada umat Islam seMalaysia dan sedunia sahaja.

(Bersambung...)

No comments: