Tuesday, April 29, 2008

Rumahku, Syurgaku...

Salam Mujahid,

Beberapa hari lepas, saya mendapat panggilan daripada seorang sahabat saya, akhi Fikri, dari UIA kampus Kuantan. Dia akan melangsungkan pernikahan pada bulan Jun ini. Subhanallah...pantas masa berlalu. Tanpa sedar, saya sedang berada dalam zaman sudah sampai masanya untuk berumah tangga. Kalau bukan saya sekali pun, sahabat-sahabat saya ada yang sudah dan akan melangsungkan perkahwnan dalam masa terdekat.

Pada saya, saya amat menyokong sesiapa yang hendak mendirikan rumah tangga dalam usia muda. Ada pro n kontra bila mengambil keputusan untuk berkahwin sama ada diwaktu usia masih muda seawal 20-an atau usia yang lanjut. Ia tidak menjadi masalah dan bergantung kepada situasi bakal pengantin. Yang penting, adalah amat perlu persediaan rapi dari segi ilmu, emosi, rohani dan jasmani serta restu dari ibu bapa. Saya juga yakin bahawa sesiapa yang berkahwin, Allah swt pasti akan mempermudahkan rezeki untuknya. Sesiapa yang nak kaya, kena kahwin(Allah menjamin rezeki orang berkahwin). Jangan khuwatir atau bimbang. Perbetulkan niat dan pastikan kita tahu tujuan kita berkahwin.

Perlu kita sedar bahawa perkahwinan adalah sunnah Nabi saw yang amat dituntut dalam Islam. Rasullullah amat berbangga bila mendapati umatnya ramai dihari Akhirat nanti. Bagi penggerak Islam, sudah tentu mereka mengimpikan anak-anak yang bakal lahir sebagai anak-anak yang akan menjadi aset kepada Islam. Anak-anak yang bakal dilahirkan, sudah tentu akan diberikan tarbiyyah rabbaniah atau menurut acuan Islam. Kemahuan melihat anak-anak membesar dalam suasana Islam, berfikir dengan cara Islam dan seterusnya bersedia menginfakkan diri untuk Islam. Pendek kata, kemahuan para pejuang Islam ingin melihat cahaya mata mereka menjadi pejuang Islam sebagai penyambung mata rantai perjuangan Islam sejak dahulu lagi. Sebagai suami, mengimpikan isteri yang solehah, yang memahami perjuangan suami dan sentiasa memberi motivasi kepada suami tatkala berada dalam suasana tertekan dan memerlukan sokongan. Sepertimana yang Saidatina Khadijah lakukan terhadap Rasulullah saw sewaktu menerima wahyu pertama dan sepanjang kehidupan Rasullullah. Juga suami mengimpikan isteri yang akan menjadi umi yang mithali kepada anak-anaknya. Yang bakal menjadi pendidik bagi melahirkan jundullah yang mempunyai kefahaman Islam yang jelas. Suasana rumah tangga yang harmoni turut diimpikan oleh setiap para pejuang Islam iaitu suasana yang penuh sakinah, mawaddah dan rahmah.

Begitu juga sang isteri. Mereka mengimpikan suami yang penyayang terhadap keluarga. Yang juga merupakan pejuang Islam yang mempunyai fikrah Islamiyyah yang syumul. Sang suami diharapkan dapat menjadi murabbi kepada sang isteri dan anak-anak, nakhoda bahtera yang dipercayai dan dapat membawa seluruh ahli keluarga ke syurga Allah. Begitu tulusnya impian sang isteri terhadap sang suami. Tatkala sang suami sedang dalam kepenatan, sang isteri sudi berkhidmat untuk suami dengan menyediakan minuman dan makanan. Kerana sang isteri tahu ganjaran besar yang dijanjikan oleh Allah kepada isteri yang solehah. Isteri juga mengharapkan akan wujudnya suasana yang Islami dalam rumah tangga. Usrah dan tarbiyyah menjadi asas dalam memastikan halatuju bahtera kehidupan rumah tangga sentiasa tidak tersasar dari laluan yang sebenar.

Alangkah tingginya harapan setiap para pejuang Islam yang punyai halatuju yang jelas dalam perjuangan Islam. Alangkah manisnya kehidupan bila sentiasa menjadikan Islam sebagai cara hidup dan redha Allah sebagai matlamat hidup. Sesebuah keluarga muslim itu mengimpikan masyarakat yang soleh dan mengamalkan cara hidup Islam. Begitu juga diperingkat negara, khususnya Malaysia. Lalu setiap keluarga muslim bekerja untuk Islam demi memastikan Islam dapat ditegakkan di bumi Malaysia.

Timbul persoalan, layak ke diri mendapat pasangan yang soleh dan solehah? Yang punya matlamat hidup yang jelas demi meraih cinta Allah. Saya teringat keadaan sewaktu Luqmanul Hakim (kalau tak salah saya), ketika orang bertanya, bagaimana anda mendapatkan anak yang soleh? lalu Luqman menjawab bahawa, dia telah membuat persediaan sejak 40 tahun sebelum lahirnya anak. Ini bermakna, untuk mendapatkan anak-anak yang soleh, perlulah para bakal ibu dan bapa berusaha mengislah diri dari sekarang. Perbaiki akhlak dan cara hidup. Sentiasalah kita berusaha untuk menjadi 'parent' yang soleh bermula dari sekarang. Allah menyediakan lelaki yang soleh untuk perempuan yang soleh, begitu juga sebaliknya. Semoga kita sama-sama berusaha untuk mendirikan baitul muslim yang sentiasa berada dalam redha Allah.

Saya tidak pasti dapat pergi Sg. Petani ke tidak pada bulan Jun nanti. Sebab ada program di Johor sepanjang bulan Jun nanti. Walau apapun, insyaallah, akan saya usahakan untuk melihat hari bersejarah bagi sahabat saya.

P/S: Moga hidup ku sentiasa dipandu Allah untuk mendapat kebaikan kehidupan dunia dan Akhirat...Ya Allah, kurniakan daku isteri dan cahaya mata yang menjadi penyejuk hati, penawar duka dan menjadi iamam bagi golongan muttaqiin....doakan ye, sahabat-sahabatku...sekadar perkongsian pandangan dan pendapat...

"BAITI JANNATI"

1 comment:

Normaziah Khori said...

bertapa kerdilnya kurasakan diri ini..